NOTIS:
Normal baharu bidang guaman
TERMA normal baharu diperkenalkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi rakyat mengadaptasi suasana dan kehidupan baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Normal baharu itu bukan sahaja terpakai di Malaysia tetapi bersifat universal. Ia mungkin suatu yang tidak pernah difikirkan sebelum ini atau asing di minda kita sebelum PKP.
Normal baharu tersebut dilihat akan mengubah beberapa adat resam, budaya dan amalan lazim yang diamalkan dalam negara. Kalau dahulu melepak di kedai kopi adalah perkara biasa namun kini ia suatu yang perlu difikirkan semula khususnya dalam konteks penjarakan sosial.
Sebelum PKP majlis sosial seperti perkahwinan, sambutan hari lahir, graduasi dan konsert dihadiri ramai orang tetapi kini ia perlu dikawal kerana dibimbangi akan menyebarkan virus Covid-19.
Pakaian kita juga sangat dipengaruhi dengan pemakaian penutup muka dan hidung, berpakaian menutup tubuh agar tidak tersentuh dengan orang lain serta tidak lagi berpakaian mencolok mata. Itulah natijah pandemik Covid-19.
Dalam bidang guaman sama ada sivil atau syariah pula, pasti bidang tersebut terkesan dengan normal baharu. Baru-baru ini disiarkan secara langsung persidangan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang dibuat secara maya. Ia julung kalinya mahkamah berkenaan membuat persidangan secara maya.
Sebagaimana yang kita maklum, pada hari biasa beratus-ratus orang peguam akan hadir ke mahkamah, belum dikira lagi pegawai mahkamah, saksi, pihak-pihak berkaitan dan pihak berwajib.
Sudah pasti pada hari biasa ramai yang akan berisiko menyebarkan Covid-19. Oleh itu, normal baharu bidang guaman adalah mengurangkan kehadiran pihak berkenaan ke mahkamah.
Disebabkan itulah perbicaraan secara maya dilakukan, namun perbicaraan sebegitu memerlukan bukan sahaja peguam tetapi pelbagai pihak mengubah minda dan melazimi sesuatu yang baharu, malah dikatakan pula tidak semua kes sesuai dilakukan perbicaraan secara maya.
Oleh itu, pelbagai persediaan perlu dilakukan oleh semua pihak bagi menggarap normal baharu dalam bidang guaman ini.
Elektronik
Mungkin suatu hari nanti kes-kes permohonan tidak lagi perlu dihujahkan secara lisan, cukup sekadar hujahan bertulis dihantar kepada kesemua pihak dan keputusan diberikan melalui medium elektronik, mungkin juga perbicaraan dilakukan secara sidang maya dan jarak jauh.
Hal itu semua memerlukan pindaan undang-undang dan peraturan yang berkaitan bagi memberi garis panduan dan kepastian kepada semua pihak.
Berubah daripada suatu yang lazim dilakukan kepada perkara baharu bukanlah perkara mudah untuk dilakukan. Sudah tentu juga normal baharu itu akan diuji kesesuaiannya berdasarkan 'try and error'. Ia perlu dikaji dari masa ke masa bagi memastikan keadilan dapat dilakukan kepada semua pihak.
Normal baharu tidaklah boleh bersifat rigid dengan menghalang perkembangannya atau diubah suai dari masa ke masa. Mudah-mudahan kita dapat mencari formula melaksanakan normal baharu tanpa berkompromi untuk berlaku adil dalam bidang guaman.
Pastinya ia bukan sahaja mahu menyelesaikan jumlah kes di mahkamah tetapi perlu berteraskan keadilan.
Bukan hanya di mahkamah, bagi para peguam pengubahsuaian juga perlu dilakukan semasa berjumpa anak guam, menyediakan dokumentasi perundangan, mengambil arahan serta banyak lagi dilakukan di luar mahkamah.
Adalah lazim bagi ramai peguam akan pulang ke rumah lewat malam khususnya apabila terdapat perbicaraan keesokan harinya, malah ada peguam yang langsung tidak pulang ke rumah bagi persediaan perbicaraan ini.
Selepas PKP tamat, adakah hal ini masih boleh dilakukan? Bagaimana pula para legal, pelatih dalam kamar dan pembantu peguam mengendalikan tugasan mereka? Semua itu perlu dilakukan dalam konteks normal baharu kini. Normal lazim yang dahulunya dilakukan perlu diubah dan disesuaikan.
**Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment