NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Misi MB baharu Kedah harmoni politik, pacu ekonomi negeri

Oleh Ibrahim Ahmad

KEMELUT politik Kedah berakhir dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Ke-14 pada 17 Mei lalu.

Bukan mudah menjadi Menteri Besar Kedah! Ini ungkapan saya sebagai anak jati Sik dan membesar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri.

Banyak cabaran dan liku perlu diredah untuk membangunkan negeri Jelapang Padi kepada sebuah negeri maju tanpa mengetepikan industri pertanian.

Menangani masalah kemiskinan cabaran utama kerana Yan, Sik dan Baling masih dalam senarai 28 daerah termiskin di Malaysia. DUN Jeneri di Sik yang diwakili Menteri Besar juga termasuk kategori ini.

Rata-rata penduduk masih bergantung sumber pendapatan harian sebagai penoreh getah, nelayan, bersawah dan mencari hasil hutan.

Lebih menyedihkan, ada sudah pada tahap 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Gagasan Kedah Sejahtera dilakar ketika Allahyarham Tan Sri Azizan Razak menjadi Menteri Besar Kedah antara 2008 hingga 2013. Ketika itu, Muhammad Sanusi berperanan sebagai setiausaha politik dan pastinya ia masih segar dalam pemikiran.

Berpaksi gagasan itu, sudah tentu beliau menggalas tanggungjawab besar untuk memadam tiga daerah terbabit daripada senarai daerah termiskin.

Belanda dan Denmark berjaya mengubah tanah gersang hingga muncul negara pengeksport hasil keluaran pertanian dunia.

Tidak mustahil dengan kecanggihan teknologi moden, Kedah juga mampu dengan menyusun atur semula kawasan bendang sebagai kawasan 'industri makanan' negara.

Tanah terbiar boleh diambil alih kerajaan negeri dan diusahakan secara sistematik dengan menjadikan pemiliknya pemodal bersama.

Kenyataan Muhammad Sanusi untuk meneruskan dan menambah baik usaha membangunkan ekonomi negeri oleh kepemimpinan terdahulu sangat rasional.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memaklumkan Kedah antara negeri tercorot dari segi pertumbuhan ekonomi, rizabnya terhad, sumber pendapatan tidak melimpah ruah, selain memikul tanggungjawab menjamin bekalan makanan negara.

Ia pasti menuntut kerja keras untuk memacu semula kemajuan ekonomi negeri agar terus stabil.

Dakwa Mukhriz juga ketika pentadbirannya pelaburan hingga RM14.7 bilion dibawa masuk untuk pelbagai sektor dan sebanyak RM11.5 bilion dalam sektor pembuatan. Ini tidak boleh dikesampingkan atas sentimen kepartian.

Jika ada projek kurang praktikal dan mendatangkan 'musibah kewangan' ia memang wajar dinilai semula agar Kedah tidak terus terbeban masalah kewangan.

Pentadbiran sebelum ini merancang dan melaksanakan pelbagai projek menguntungkan ekonomi negeri serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pelaburan asing RM8.09 bilion dari Amerika Syarikat, China, Jerman, Hong Kong dan Taiwan seperti dijelaskan Mukhriz 'istimewa' untuk rakyat Kedah.

Semua projek berimpak tinggi dan bermanfaat kepada ekonomi negeri dan rakyat wajar diteruskan.

Untuk itu ideologi kepartian perlu diketepikan, sebaliknya memfokuskan kepada gerak kerja mensejahterakan rakyat Kedah.

Bagi kerajaan negeri pula, tidak perlu bimbang isu 'ketandusan idea' kerana bukan semua dasar kerajaan terdahulu merugikan. Dengan berfikiran terbuka, keberadaan Mukhriz dalam DUN masih boleh 'disadur' supaya sederap hasrat pentadbiran baharu dalam meneruskan usaha itu.

Bak kata orang Kedah - 'pi mai, pi mai tang tu juga' - untuk kemajuan dan kesejahteraan Kedah juga!

Institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri seperti Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Kuala Ketil (UniSHAMS) perlu dimartabatkan sekurang-kurangnya ke peringkat ASEAN.

Begitu juga Maktab Mahmud perlu dilakarkan sebagai institusi peringkat menengah terunggul, manakala Institut Latihan Belia Sejahtera (ILBAS) terus diperkasa dengan program kemahiran menepati keperluan semasa.

Kepakaran anak jati Kedah dalam pelbagai bidang, termasuk di luar negara perlu dibawa balik untuk mencurah bakti di negeri kelahiran melalui syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Begitu juga institusi pondok yang bertapak kukuh di Kedah perlu diangkat sebagai hab pendidikan keagamaan hingga ke peringkat antarabangsa.

Pada peringkat kepemimpinan, budaya menuding jari dan mencari salah atas kepentingan politik perlu diketepikan.

Muhammad Sanusi perlu menonjol sebagai Menteri Besar Kedah bukan Menteri Besar kepada PAS atau Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional.

Begitu juga semua ADUN wajar tampil sebagai pemimpin negeri Kedah, bukan untuk parti masing-masing.

Untuk mewujudkan politik kondusif, Muhammad Sanusi perlu bijak mengevolusi landskap politik Kedah ke arah perdamaian dan keharmonian sesama kepimpinan.

Pensyarah UniKL Royal College of Medicine Perak

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo