NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengenang 72 tahun Nakbah Palestin yang pilu



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

15 Mei setiap tahun semenjak 1948 adalah tarikh yang menikam hati dan perasaan umat Islam, nakbah Palestin atau pun bencana Palestin yang hilang daripada peta digantikan dengan negara haram Israel. Pengusiran dan pembantaian kepada umat Palestin tidak berhujung, seolah dunia Islam sudah pekak dan tuli terhadap jeritan mangsa penindasan. Israel dengan dokongan Amerika Syarikat tidak peduli dengan bantahan dan jerkahan masyarakat antarabangsa, dibantu oleh regim negara-negara Arab yang pro kepada kuasa adijagat dunia yang juga "polis dunia", Amerika Syarikat.

15 Mei ini juga menoreh sejarah hitam kepada umat Islam sejagat apabila, Amerika menyokong perpindahan ibunegara Israel daripada Tel Aviv kepada baitul Maqdis. Amerika Syarikat dengan segunung kesombongan telah memindahkan juga Kedutaan mereka ke tanah suci milik umat Islam itu walaupun mendapat bantahan umat Islam. Rakyat Gaza semenjak dua hari lepas telah mengadakan perarakan bantahan dan terkini lebih 41 nyawa telah terkorban, ratusan yang cedera malah dijangka angka kematian ini akan terus meningkat jika dunia tidak berbuat sesuatu untuk menghentikan sikap barbarik regim zionis.

Gerakan Zionis yang ditubuhkan pada tahun 1897, terus merancang dengan teliti untuk menakluki tanah Palestin. Zaman imperialisme Barat yang menyaksikan umat Islam yang terpuruk kebelakang turut mempercepatkan kewujudan negara haram Israel di atas tanah Palestin.

Teodor Hezl yang memimpin konspirasi zionis ini meminta Sultan Abdul Hamid (ii) untuk melepaskan Palestin dengan tukaran wang, namun khilafah Uthmaniah yang semenjak pemerintahan Khalifah Uthman Urthugul tetap menjaga setiap inci tanah Palestin. Gerakan Zionis telah berjaya memperalatkan Britain untuk melakukan peluasan kuasa di Palestin sehingga berlaku perang pada tahun 1917 yang dimenangi oleh tentera British. British menjemput migran Yahudi daripada pelbagai pelusuk dunia terutama daripada Eropah selepas daripada Deklarasi Balfour.

Negara haram Israel menjadi duri dalam daging kepada ummat Islam, dengan pengusiran dan pembantaian terhadap ummat Islam Palestin. Nakbah Palestin yang berlaku semenjak Mei 1948 terus berterusan memotret luka kepada ummat Islam. Perang Palestin yang melibatkan mujahidin Ikhwanul Muslimin pada tahun 1940an dan dengan alasan inilah Ikhwan Muslimin telah diseret ke jeriji penjara pada tahun 1948.

Malangnya negara-negara Arab dalam dekad 1950an dan 60an yang berselimut dengan fahaman Baath (Sosialis Arabism), mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga tanah Palestin daripada perampok zionis. Bahkan dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab Israel 1967 menyaksikan tiga buah negara Arab bernuansa Baath telah dipijak maruah dan dihina dengan kekalahan. Mesir telah kehilangan wilayah Sinai, Jordan dirampas Tebing Barat dan Syria kehilangan Bukit Golan yang strategik. Ketiga negara Arab ini juga telah kehilangan 25 000 anggota tentera yang dibunuh oleh pihak zionis.

Cahaya kemenangan hanya muncul bersinar dengan perjuangan berteraskan akidah. Di Gaza, munculnya HAMAS pada tahun 1987 yang meletakkan matlamat untuk membebaskan setiap tanah Palestin yang dirampas oleh Zionis. Sheikh Ahmad Yasin telah memimpin gerakan jihad ini sehingga dilihat HAMAS menjadi pembela utama Palestin dan gerakan ini telah membayar harga yang mahal dalam usaha menjulang perjuangan pembebasan Palestin.

Usaha menyelamatkan al Quds memerlukan usaha yang berterusan, sistematik serta penggarapan seluruh iltizam politik kerajaan umat Islam di seluruh belahan dunia. Malangnya hari ini, keseriusan untuk menyelamatkan al Quds sangat sederhana malah sangat mengecewakan. Contohnya apabila Erdogan melakukan inisiatif menghimpunkan pimpinan negara OIC di Istanbul pada tahun 2018, sebanyak 23 buah negara tidak menghantar perwakilan. Lihatlah bagaimana sikap negara Teluk terhadap Qatar pada bulan Jun 2017, negara itu dikucilkan oleh negara Teluk yang lain kerana melindungi pimpinan HAMAS.

Bagi penulis, usaha penyelamatan al Quds mestilah paralel dengan usaha membantu Gaza yang sedang terkepung. Dunia Islam mestilah bangkit mendesak agar kerajaan kudeta Mesir membuka pintu sempadan Rafah bagi memudahkan dunia antarabangsa membantu membangunkan kembali Gaza yang diluluhlantak dengan serangan Zionis. Perjuangan membebaskan Palestin adalah milik seluruh umat Islam dan merentasi sempadan politik dan kotak kecil negara bangsa!. Bangkitlah umat Islam, 72 tahun Nakbah Palestin dan tahun inilah mereka merayakan dengan gemilang kesakitan umat Palestin dengan pemindahan ibu negara Israel ke tanah suci umat Islam. Diam kita adalah jenayah besar pada agama ini!.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo