NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mencari titik keseimbangan antara kehidupan dan sara hidup


oleh:Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
3 Mei 2020

1. Ramai yang terperanjat apabila YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri mengumumkan yang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa semenjak 18 Mac 2020 akan dilonggarkan mulai 4 Mei 2020. Kelonggaran yang diberikan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa (Muhyiddin Mohd Yassin, 2020).

2. Rentetan itu, dapat dilihat dua sudut pandang yang disuarakan. Di satu sudut, pihak yang tidak bersetuju PKP dilonggarkan atas hujah jangkitan COVID-19 masih menular dalam masyarakat. Juga dibimbangi jumlah kes akan meningkat apabila kelonggaran diberikan dan keadaan ini akan menyebabkan sistem kesihatan terbeban menjelang Aidilfitri nanti (Veena, 2020). Di satu pihak pula, kelonggaran ini amat dialu-alukan kerana boleh menggerakkan semula sektor ekonomi yang terjejas semenjak PKP dilaksanakan. Hujah yang diberikan ialah perniagaan tidak mampu lagi bertahan tanpa sebarang pendapatan (Kalbana & Chan, 2020).

3. Apabila pengumuman dibuat berkenaan kelonggaran yang diberikan bermula pada 4 Mei 2020 ini, wujud perbezaan pandangan melibatkan dua pihak utama iaitu golongan yang tidak bersetuju kelonggaran diberikan terlalu awal dengan golongan yang menyambut baik kelonggaran ini. Di peringkat profesional, golongan yang tidak bersetuju ini terdiri daripada kalangan mereka dalam bidang epidemiologi dan penyakit berjangkit manakala golongan yang bersetuju pula adalah daripada kalangan pakar ekonomi. Dalam konteks peringkat masyarakat awam, kebanyakan yang tidak bersetuju adalah mereka yang tidak terjejas pendapatannya semasa PKP, seperti pekerja sektor awam, sementara yang menyokong kelonggaran diberikan adalah mereka yang bergantung mata pencarian melalui sektor perniagaan sama ada sebagai peniaga dan usahawan, atau yang bekerja dengan majikan yang berniaga.

4. Perbezaan pandangan ini adalah pertembungan dua bidang ilmu iaitu epidemiologi dengan ekonomi. Bidang epidemiologi menekankan kepentingan menjaga nyawa supaya tidak diancam oleh penyakit berbahaya manakala bidang ekonomi memberikan penekanan kepada menjaga sumber pendapatan supaya kelangsungan hidup dapat dijamin. Satu pihak berpandangan bahawa “without life, there will be no livelihood” sementara satu lagi pihak pula berpandangan bahawa “without livelihood, there will be no life.” Dalam kata lain, isu utama di sini adalah untuk mencari titik keseimbangan antara menjaga kehidupan (“life”) dengan memastikan kelangsungan sara hidup (“livelihood”).

5. Pihak berwajib pastinya membuat keputusan bersandarkan kepada fakta dengan melihat kepada realiti semasa. Satu perkara yang perlu disedari ialah virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit COVID-19 ini akan terus wujud dan berlegar dalam masyarakat. Selagi tidak ada vaksin yang ditemui untuk mencegah penularan virus ini, penyakit COVID-19 tidak akan dapat dibasmi sepenuhnya (Zakiah Koya, 2020). Banyak usaha sedang berjalan di peringkat antarabangsa untuk menghasilkan vaksin, namun proses penghasilan vaksin bukanlah satu proses yang singkat. Dijangkakan tempoh yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin yang berkesan adalah antara 12 ke 24 bulan.

6. Fakta kedua yang juga perlu disedari dan merupakan sesuatu yang telah dinyatakan semenjak awal PKP lagi adalah bahawa PKP dikuatkuasakan bukan untuk menghapuskan jangkitan menjadi sifar. Sebaliknya PKP dilaksanakan bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan untuk menguruskan jumlah jangkitan dengan baik (Zakiah Koya, 2020). Dalam kata lain, usaha melalui PKP adalah supaya perkhidmatan kesihatan tidak terbeban dengan peningkatan jangkitan yang terlalu besar sehingga membawa kepada kelumpuhan perkhidmatan kesihatan seperti yang berlaku di sesetengah negara.

7. Perkara ketiga yang juga perlu difahami adalah sebarang keputusan yang dibuat adalah berlandaskan kepada enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (Ghebreyesus, 2020) bagi melonggarkan kawalan pergerakan. Enam kriteria tersebut adalah seperti berikut:

(i) Penularan penyakit terkawal;
(ii) Sistem kesihatan mempunyai keupayaan untuk mengesan, menguji, mengasing dan merawat setiap kes di samping mengesan kontak rapat;
(iii) Meminimumkan risiko jangkitan di tempat-tempat khas seperti kemudahan kesihatan dan pusat jagaan orang tua;
(iv) Memperkenalkan langkah pencegahan di tempat kerja, institusi pendidikan dan tempat-tempat penting yang perlu dihadiri orang ramai;
(v) Pengawalan dan pengurusan risiko kes import dengan baik;
(vi) Pengupayaan masyarakat untuk mengamalkan norma baharu.
Keenam-enam kriteria ini, menurut Perdana Menteri, telah dipenuhi oleh negara untuk melonggarkan PKP yang dilaksanakan (Muhyiddin Mohd Yassin, 2020).

8. Jika dilihat, sebahagian daripada kriteria yang disenaraikan adalah tanggungjawab kerajaan manakala sebahagian yang lain adalah tanggungjawab setiap individu di negara ini. Kerajaan boleh mewujudkan undang-undang, peraturan dan SOP yang boleh dikuatkuasakan. Bagaimanapun, aspek yang lebih kritikal ialah sikap dan disiplin diri setiap daripada kita untuk berubah dan beradaptasi kepada norma yang baharu. Jika kita sendiri enggan mengupayakan diri untuk melakukan perubahan, siapa lagi yang boleh diharapkan? Kita tidak boleh lepas tangan dengan mengatakan bahawa kita tidak ada peranan dalam mengawal penularan COVID-19. Kita juga tidak boleh mengatakan bahawa tanggungjawab mengekang penularan penyakit ini tanggungjawab kerajaan atau petugas kesihatan semata-mata.

9. Hakikatnya, tidak mudah untuk mencari titik keseimbangan antara kehidupan (“living”) dan sara hidup (“livelihood”). Namun, keputusan terpaksa dibuat berdasarkan apa yang difikirkan terbaik pada satu-satu masa. Kita mungkin tidak selesa atau tidak bersetuju, namun tidak mungkin untuk membuat sesuatu keputusan yang boleh memberikan kepuasan dan mendapat persetujuan semua pihak. Sama seperti sewaktu PKP dikuatkuasakan, ada banyak pihak yang tidak bersetuju. Kini apabila PKP dilonggarkan menjadi PKP Bersyarat (PKPB), ada juga pihak yang tidak bersetuju.

10. Pokok pangkalnya berbalik kepada diri kita sendiri juga. Adakah kita mahu dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan norma yang baharu? Atau kita merasakan yang PKPB ini dilaksanakan kerana sudah tidak ada bahaya, maka kita boleh kembali seperti keadaan sebelum ini? Hanya kerana virus itu satu makhluk Allah yang tidak kelihatan, jangan kita fikir bahawa tidak ada bahaya yang menanti. Atas sebab itu, amat wajar sekali segala peraturan dan SOP yang ditetapkan dipatuhi. Selagi vaksin belum ditemui dan belum digunakan dalam masyarakat, selagi itu bahaya COVID-19 masih ada.

11. Pada awal PKP dahulu, #kitajagakita menjadi sesuatu yang trending. Sama ada disedari atau tidak, apabila memasuki fasa PKPB, #kitajagakita menjadi semakin relevan. Hal ini kerana setiap individu perlu menjaga kesejahteraan demi kebaikan kita bersama. Kita perlu memastikan diri kita sihat, dan sekiranya tidak sihat, kita perlu mendapatkan rawatan. Jika tidak ada urusan, tinggal sahaja di rumah. Jika perlu keluar, pastikan untuk urusan yang penting seperti membeli barangan keperluan atau pergi ke tempat kerja (bagi yang tidak mempunyai pilihan bekerja dari rumah). Apabila keluar, pastikan memakai penutup muka dan hidung apa lagi jika kita daripada golongan berisiko tinggi. Tidak perlulah pula kita keluar beramai-ramai seisi keluarga. Apabila berada di tempat awam, jaga jarak sosial. Elakkan daripada ada sentuhan dengan orang lain. Sentiasa basuh tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan.

12. Semua yang disebutkan di atas adalah tanggungjawab setiap individu untuk memaknakan #kitajagakita dalam fasa PKPB. Jika difikirkan, #kitajagakita boleh dilihat sebagai penzahiran moden kepada pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.” Pada peringkat ini, kerjasama semua pihak adalah kritikal dalam memastikan agar penularan COVID-19 terkawal dan pada waktu yang sama, sektor sosioekonomi negara juga dapat digerakkan bagi dipulihkan kembali. Titik keseimbangan ini sukar dicari tetapi perlu diusahakan untuk dilaksanakan.

Rujukan

Ghebreyesus, T.A. (2020, 13 April). WHO Director-General’s opening remark at the media briefing of COVID-19 – 13 April 2020. Diakses daripada laman web World Health Organization: https://www.who.int/…/who-director-general-s-opening-remark… pada 3 Mei 2020.

Kalbana, P. & Chan, D. (2020, 2 Mei). A longer wait could have resulted in more losses in revenue. Diakses daripada laman web New Straits Times: https://www.nst.com.my/…/longer-wait-could-have-resulted-mo… pada 2 Mei 2020.

Muhyiddin Mohd Yassin (2020, 1 Mei). Teks Perutusan Khas YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia sempena Hari Pekerja. Putrajaya: Pejabat Perdana Menteri.

Veena, B. (2020, 2 Mei). Do it in stages, say health expert. Diakses daripada laman web New Straits Times: https://www.nst.com.my/…/589…/do-it-stages-say-health-expert pada 2 Mei 2020.

Zakiah Koya. (2020, 2 Mei). Be prepared to live with COVID-19 for the next two years, says Dr Jemilah. Diakses daripada laman web The Star: https://thestar.com.my/…/be-prepared-to-live-with-covid-19-… pada 2 Mei 2020.

Sumber: https://www.facebook.com/DrSMSaifuddeen/posts/3000079296752138

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo