NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mencari rezeki yang halal di pasaran modal



Pasaran modal ada 3 komponen secara amnya, ekuiti, bon/sukuk dan derivatif. Semunya bertujuan untuk membiayai perniagaan. Pasaran derivatif kemudiannya melibatkan jualbeli pelbagai aset.

Ekuiti biasanya melibatkan saham syarikat yang disenaraikan. Bila ada orang membeli saham bila syarikat menerbitkannya, syarikat dapat duit dan ini digunakan untuk dilaburkan di dalam perniagaan.

Pasaran saham membolehkan pemilik saham itu kemudiannya menjual dan membeli saham. Inilah transaksi yang berlaku di bursa saham. Jual beli ini sudah tidak melibatkan syarikat.

Bagi seseorang PELABUR, dia akan mendapat:

1. Pulangan melalui dividen jika syarikat yang dilaburnya membuat keuntungan dan mampu membayar dividen

2. Keuntungan modal (capital gain) jika harga saham naik dan si pelabur menjual saham dengan harga yang lebih tinggi berbanding dengan kos belian.

Pelabur biasanya memegang saham untuk jangka panjang. Naik turun harga saham tidak menjadi masalah jika yang ditunggu ialah dividen.

Satu lagi kategori yang terlibat di dalam pasaran saham ialah PEDAGANG (traders). Mereka ini menjual beli saham untuk mendapatkan keuntungan cepat. Ada yang berjual beli berdasarkan asas (fundamental) dan ada yang berdagang secara teknikal (technical analysis). Tinggi rendah harga saham tidak penting, yang penting bagi mereka ialah beli semasa murah dan jual semasa tinggi. Gelagat mereka lebih dipengaruhi oleh sentimen pasaran.

Di pasaran yang lebih sofistikated, banyak pihak yang sudah menggunakan teknologi untuk berdagang. Banyak algorithma digunakan untuk menjadi unggul berbanding dengan pihak lain. Sekarang satu algorithma akan berlawan dengan algorithma lain untuk membuat keuntungan. Tentunya mereka lebih cepat berbanding dengan orang yang menggunakan otak dan pen di dalam membuat perkiraan.

Satu lagi penggunaan teknologi ialah kecepatan membuat pesanan. High Frequency Traders cuba menggunakan teknologi untuk berjual beli dengan lebih laju. Walaupun untungnya kecil tetapi bila urusniaga dibuat dengan jumlah yang besar dan cepat, angka akhir menjadi besar. Sebab itulah kecepatan pesanan (latency) menjadi pembeza di antara satu pemain dengan pemain yang lain. Jarak server komputer dengan server pasaran saham boleh memberikan kesan yang berbeza dari segi latency.

Di Malaysia, syarikat broker saham dibenarkan untuk berdagang secara lansung (proprietary day trading). Walaupun ada peraturan yang perlu diikuti, mereka sebenarnya bersaing dengan pelanggan yang membuat urusniaga dengan mereka.

Sebagai orang Islam, jika kita sensitif samada ayam kita disembelih dengan sempurna supaya ianya halal dimakan, kita perlu juga mempunyai sikap yang sama jika kita menjadi pemain pasaran.

Ada beberapa perkara yang perlu dirujuk kepada orang yang alim di dalam ilmu perdagangan di pasaran saham supaya keuntungan yang didapati tidak bermasalah:

1. Menjauhi kaunter-kaunter yang tidak patuh syariah

2. Kaedah berniaga yang ada unsur judi

3. Terlibat dengan urusniaga yang gharar (tidak tentu, tidak jelas)

4. Terlibat dengan sendikit penipuan harga pasaran

Semoga kita berhati-hati di dalam melibatkan diri di pasaran saham sama dengan berhati-hatinya kita di dalam hal makan minum dan ibadah.

ŁˆŲ§Ł„Ł„Ł‡ Ų£Ł„Ł…

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo