NOTIS:
"Malapetaka arak, Kerajaan mesti tegas"
1. Sudah sekian lama akibat buruk berpunca dari arak sekadar menjadi kajian dan wacana di Malaysia. Lebih malang, di negara ini premis pengeluaran dan penjualan arak bukan sahaja bertambah dan berada di mercu atau lokasi utama negara, malah Malaysia mencatat import arak yang tidak sedikit. Bahkan selama ini, hasil arak juga antara mengisi kantung pendapatan negara yang kemudian mengalir pula kepada ramai pihak.
2. Sebagaimana peringatan agama, keadaan tersebut sudah cukup menjadi ukuran kepada mengundangnya malapetaka. Lebih patut dikecewakan, apabila rakyat Malaysia adalah antara pengguna tinggi arak. Menunjukkan ia sudah membarah menjadi sebahagian budaya masyarakat. Kerana itu tidak pelik ada yang mahu berpesta atau berparti dengan arak sebagaimana penganjuran dan promosi beberapa tahun kebelakangan ini.
3. Sedangkan laporan dan rekod mencatatkan isu arak tidak hanya soal gangguan atas keharmonian; antaranya pergaduhan dan porak-peranda rumahtangga. Tetapi mutakhir ini menjadi ancaman dan gugatan ke atas keselamatan di mana banyak nyawa tidak berdosa menjadi mangsa korban. Kes kematian akibat daripada pemandu mabuk merekodkan hampir 25 peratus dari punca kemalangan jalan raya.
4. Oleh itu telah sampai masanya rombakan bersepadu diadakan demi memelihara kepentingan rakyat. Ianya memerlukan ketegasan dan iltizam politik daripada kerajaan. Pindaan mesti dibuat kepada beberapa akta melibatkan pelesenan, pengangkutan, pengeluaran, penjualan, pengimportan dan lain-lain akta yang berkaitan. Ketika sama, rakyat dididik terhadap bahana dan tidak berfaedahnya arak kepada manusia.
5. Semua perubahan yang dibuat akan membolehkan arak ditentukan sebagai minuman khusus dengan ketetapan-ketetapan terhad untuk mengambil atau memperdagangkannya. Ia tidak harus lagi sewenang-wenangnya berada di pasaran terbuka yang masih terdedah untuk didapati secara tidak mematuhi peraturan ditetapkan. Atau mengulangi sebab dan akibat buruk dari pengambilannya.
6. Malaysia dengan bermajoritikan penduduk beragama Islam harus dipisahkan dari imej arak yang menjadi antara wajahnya selama ini. Banyak negara di dunia telahpun mengambil langkah lebih wajar dalam menangani dan menghad penggunaan arak. Malaysia seharusnya menjadi lebih baik, bahkan contoh kepada semua pihak dalam isu ini.
7. PAS menyeru kerajaan negeri-negeri juga mengambil langkah awal sebelum pindaan lebih besar berlaku di peringkat Persekutuan dengan mencontohi Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu. Iaitu menghadkan arak menerusi kawalan dan pengecilan ke atas jumlah premis yang dibenarkan menjual item tersebut. Kerana fiqh Islam mengajar, membuang keburukan lebih utama dari mencari kebaikan.
“Islam Memimpin Perpaduan”
USTAZ IDRIS AHMAD ialah Naib Presiden PAS
https://harakahdaily.net/index.php/2020/05/26/malapetaka-arak-kerajaan-mesti-tegas/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment