NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahathir, Anwar tidak iktiraf kerajaan


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mereka tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa ia tidak mendapat mandat rakyat.

Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Langkawi dan Ahli Parlimen Port Dickson itu menyatakan prinsip mereka jelas dari hari pertama kerajaan Pakatan Nasional (PN) ditubuhkan, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

Katanya, PN tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya.

"Sebaliknya ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah, tidak ada satu pun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini.

"Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena ulang tahun kedua kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kenyataan itu turut menyatakan dua tahun lalu, rakyat dari pelbagai agama dan bangsa membantu usaha PH dengan memberi derma dan sumbangan, suara dan cadangan, harapan dan semangat hanya demi melihat perubahan yang lebih baik buat negara tercinta.

Menurut kenyataan itu, dua tahun lalu juga mereka tidak berputus asa membawa suara rakyat sehingga ke hari ini serta telah lama menolak perbezaan, sengketa dan kemelut demi rakyat.

"Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi.

"Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya," katanya.

Turut dinyatakan dalam kenyataan itu mengenai usaha reformasi institusi, undang-undang dan ekonomi ini yang kini terbantut akibat usaha pihak tertentu yang mempunyai matlamat mereka tersendiri.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/686999/mahathir-anwar-tidak-iktiraf-kerajaan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo