NOTIS:
'Kluster' kayangan dan kerusi MB kedah
1. "Siapa pun jadi MB Kedah, kalau bininya jenis takut kena selut, tak lama gerenti bungkuih!" itu antara ayat arwah Cikgu Man Pendek (Ismail Yaakob, bekas Adun Langkawi yang juga orang kuat almarhum Tan Sri Sanusi Junid). Ayat itu dituturkannya dalam perbualan santai kami lebih 22 tahun lalu. Ia tidak ditujukan kepada sesiapa sebaliknya timbul secara spontan sewaktu kami bersembang mengenai ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan di Kedah secara umum.
2. Ya, Kedah agak unik. Bukan semua orang boleh menjadi pemimpin di sini. Ijazah berjela, harta bertimbun bukan jaminan seseorang itu mampu meraih sokongan rakyat untuk diangkat sebagai pemimpin mereka. Tidak sedikit calon payung terjun yang hebatnya 'resume'nya hilang lenyap selepas ditewaskan oleh calon kelas kampung yang eja nama sendiri pun kadang-kadang tak berapa betul.
3. Ia tidak terbatas kepada menjadi ahli parlimen atau adun. Untuk menjadi menteri besar juga begitu. Orang Kedah tidak begitu cenderung memilih kluster (meminjam istilah musim Covid-19) berjiwa kayangan. Mereka lebih cenderung pada orang 'biasa-biasa'. Orang yang dekat dengan kehidupan mereka.
4. Pada peringkat awal kerusi MB Kedah memang dikuasai golongan bangsawan. Daripada lima MB pertama, hanya almarhum Haji Mohamad Shariff Osman iaitu MB pertama dari 1948 hingga 1952 sahaja orang kebanyakan. Yang selepas beliau, almarhum Tunku Ismail Tunku Yahaya (1954 - 1959), almarhum TS Syed Omar Syed Abdullah Shahabuddin (1959 - 1967), Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabuddin (1967 - 1978) dan DS Syed Nahar Syed Sheh Shahabuddin (1978 - 1985) semuanya orang bangsawan.
5. Selepas Syed Nahar berundur susulan 'isu Mantoya' kerusi MB berpindah kepada TS Osman Aroff dan sejak itu ia kekal berlegar di kalangan pemimpin yang asalnya daripada orang kebanyakan. Orang yang kenal bau getah sekerap, miang sekam padi atau hanyir ikan.
6. DS Mukhtiz Mahathir tidak termasuk dalam kumpulan ini. Walaupun Tun Mahathir asalnya orang kebanyakan, tetapi Mukriz tidak. Dia termasuk dalam kluster kayangan kerana bapanya bukan orang 'biasa-biasa' seperti yang dikatakan tadi. Kalau ada pun pengalamannya menjadi orang biasa semasa zaman kanak-kanaknya, ia singkat dan tidak menyeluruh. Jauh daripada apa yang dilalui oleh DS Ahmad Bashah atau DS Mahadzir Khalid atau almarhum TS Ustaz Azizan.
7. Ketika dibawa balik ke Kedah pada PRU ke-13, yang mengiringi Mukhriz adalah aura ayahandanya. Ia berjaya mencetuskan gelombang sehingga menumbangkan kerajaan PAS Kedah ketika itu. Mukhriz kemudiannya dilantik menjadi MB dan di situlah, di atas timbunan harapan rakyat yang menggunung tinggi, dia berdiri.
8. Semua orang tahu Mukhriz mencuba sehabis daya untuk 'merakyatkan' dirinya. Berjubah ke sana ke mari, membonceng motosikal masuk ke jalan-jalan kampung, muncul di nat dan pasar malam. Tetapi semua itu tidak cukup untuk mengekalkan popularitinya. Sentuhannya dalam politik dan pentadbiran gagal menembusi hati nurani rakyat. Akhirnya Mukhriz terpaksa melepaskan jawatan di tengah jalan.
9. Sejarah berulang. Apabila Mukhriz kembali menduduki kerusi MB selepas PRU ke-14, dia masih tebal dengan imej kayangannya. Apa juga percubaannya untuk menjadi pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat tidak begitu menjadi. Ini kerana 'jiwa' bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat. Ia perlu datang sendiri. Perlu ada di situ pada setiap masa.
10. Sekarang Mukhriz berhadapan kemungkinan hilang jawatan MB di pertengahan jalan sekali lagi. Agak malang kerana pemergiannya kali ini juga sama seperti kali pertama dahulu, tidak dilihat sebagai menjadi kudis kepada rakyat Kedah. Puncanya dia sendiri. Telah dua kali dia diberi peluang menduduki kerusi itu, namun dia gagal memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.
11. Sekarang perhatian tertumpu kepada siapa pengganti Mukhriz jika sekiranya pertukaran kerajaan berlaku. Siapa pun dia, prasyaratnya tetap sama. Kalau asalnya daripada kayangan, dia harus belajar hidup sebagai orang kebanyakan. Belajar dalam erti kata sebenar bukannya sekadar untuk bergambar bagi dimuat naik ke laman sosial. Dia harus faham keluh penoreh, lelah petani, penat pekebun dan sedu nelayan. Dia tidak boleh berumah di Kuala Lumpur, berpejabat di Wisma Darulaman. Orang kiri kananya juga tidak boleh bersifat besar alu daripada lesung.
12. Kalau dia asalnya orang kebanyakan, itu merupakan suatu bonus. Setidak-tidaknya selagi dia tidak berubah perangai. Kehendak orang Kedah bukanlah besar sangat. Mereka tidak mengharap deretan bangunan tinggi atau kompleks yang agam semata-mata. Yang lebih mereka perlukan adalah sentuhan dan perhatian. Kepimpinan dan kasih sayang. Senang dicari, mudah ditemui. Dijemput kenduri, hadir; ada kematian, ziarah. Itu dulu, yang lain kemudian.
13. Jika yang semudah itu pun tidak boleh dipenuhi, bersiap sedialah untuk mengosongkan kerusi...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment