Usul undi tak percaya tidak sesuai dengan keadaan semasa negara
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Tidak wajar pembangkang khususnya Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam keadaan negara masih ‘berperang’ dengan wabak pandemik COVID-19.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, dalam keadaan negara sedang menghadapi masalah besar, semua pihak termasuk pembangkang sepatutnya turut serta membantu kerajaan dalam menangani wabak.
Usul undi tidak percaya yang dikemukakan seolah-olah menyekat perubahan dan kembali kepada kerajaan lama iaitu PH, katanya.
“Jika banding secara umumnya, mana yang lebih baik? Pimpinan PH atau PN? Keadaan sekarang lebih membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat, selain dasar yang dibina lebih membawa kebaikan.
“Jadi apakah kita harus kembali semula kepada kerajaan sebelumnya, dengan pelbagai persoalan gagal dipenuhi,” soalnya.
Justeru, beliau menegaskan usul undi tidak percaya yang mahu dibawa pada sidang Parlimen 18 Mei ini bukan masa yang sesuai dengan keadaan semasa negara, meskipun tindakan Dr Mahathir mengikut garis Perlembagaan, katanya.
“Melihat kepada pimpinan Tan Sri Muhyiddin secara umum boleh diterima sebahagian besar rakyat Malaysia. Bahkan, beliau juga berjaya membentuk kestabilan baru politik dan menyesuaikan polisi dengan keadaan ekonomi semasa.
“Biarpun kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi dalam masa sama mereka membantu kebajikan rakyat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Kemelut politik negara kembali meruncing apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof memaklumkan pihaknya menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).
Sebelum ini, Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mereka tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Muhyiddin kerana mendakwa ia tidak mendapat mandat rakyat.
Kedua-duanya menyatakan prinsip mereka jelas dari hari pertama kerajaan PN ditubuhkan, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.
Memuji kerajaan hari ini, Dr Mat Yazid berkata, beliau juga keliru dengan kenyataan bekas Menteri Kewangan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng sebelum ini yang mendakwa negara tidak mempunyai wang.
“Ia seolah-olah kita sesak nafas dengan apa yang diucapkan oleh menteri kewangan PH. Tetapi, apabila Menteri Kewangan sekarang, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kata kita masih ada keupayaan dan boleh membantu mencergaskan ekonomi, ia kembali melegakan.
“Jadi, kita nampak disitu ada satu situasi kewangan yang sangat berbeza di antara menteri PH dan PN, di bawah Tan Sri Muhyiddin,” katanya.
Sumber: https://ismaweb.net/2020/05/11/kerajaan-pn-sudah-stabil-tak-perlu-lagi-nak-kembali-kepada-ph/
No comments
Post a Comment