NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kaji model perniagaan kalis pandemik


Oleh Prof Dr Fauzias Mat Nor

HUTANG ialah sebahagian pembiayaan untuk menjalankan aktiviti perniagaan. Pembiayaan melalui hutang membabitkan instrumen atau kontrak kewangan. Selagi ia tidak mengandungi unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan maisir (judi), ia sah di sisi syariah.

Hutang dalam Islam secara praktikalnya berkait dengan kontrak berasaskan jualan bersesuaian dengan ayat ke-275 dan 282 dalam surah al-Baqarah.

Apabila hutang perlu dibayar dalam masa tertentu, peminjam wajar berusaha membayarnya dan akan berkemampuan untuk membayarnya mengikut perjanjian ditetapkan kecuali dalam keadaan tidak dapat dielakkan.

Justeru, langkah moratorium semasa COVID-19 pula bersesuaian dengan firman Allah SWT: Dan jika orang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui pahalanya besar." (Al-Baqarah: 280)

Bagaimanapun, kapitalis lebih mementingkan untuk memaksimumkan kekayaan pemberi modal, sekali gus ia menganjurkan tanpa mengambil kira cukai, nilai firma tidak akan terpengaruh oleh polisi pembiayaan firma. Di sebaliknya, jika mengambil kira cukai, pembiayaan melalui hutang akan memaksimumkan nilai firma.

Ini kerana pembayaran bunga atau keuntungan daripada hutang dibolehkan untuk ditolak sebagai perbelanjaan untuk pengiraan cukai. Bagaimanapun, disebabkan faktor kewangan yang tenat kerana terlalu banyak hutang, tahap maksimum nilai firma akan hanya mencapai di tahap tertentu, iaitu yang optimum yang penjimatan cukai daripada pembayaran bunga atau keuntungan hutang akan diberi tekanan.

Jadi, hutang yang banyak tidak sesuai untuk perniagaan kerana risiko pembayaran balik akan ditanggung apabila berlaku krisis ekonomi. Namun, secara idealnya pembiayaan melalui perkongsian keuntungan dan kerugian patutlah digalakkan kerana bersesuaian prinsip perundangan Islam. Pertama, al-kharaj bi-dhaman atau keuntungan kerana adanya liabiliti menanggung kerugian dan kedua, al-ghunmu bi al-ghurmi atau keuntungan setelah mengambil risiko.

Dalam situasi ekonomi tidak stabil dihadapi sekarang, jangkaan aliran tunai memainkan peranan kritikal untuk menentukan survival firma. Ia bukan hanya untuk kekayaan pemilik tetapi kepentingan kemandirian dari sudut mapan atau kelestarian pertumbuhan firma tanpa bergantung pada penambahan hutang.

Namun, dengan keuntungan amat menurun dan mungkin negatif, firma akan menghadapi situasi tidak akan mapan pertumbuhannya untuk sementara atau mungkin dalam tempoh panjang dengan pengambilan hutang baharu terutama hutang sedia ada sudah di tahap optimum.

Semasa COVID-19 dengan hasil berkurangan dan hutang sedia ada sudah tinggi menjadikan firma menghadapi situasi lebih tenat kecuali firma menstrategikan pemasaran dan model perniagaannya semula. Situasi begini firma tidak mampu mengambil hutang baharu kecuali menstruktur semula hutang sedia ada.

Pada masa ini, rizab perlu dikeluarkan dengan mencairkan aset yang ada. Namun, ini bergantung kepada kajian kebolehlaksanaan keperluan dana itu sendiri dan mungkin sedikit sebanyak menurunkan nilai pasaran pada firma tersenarai.

Pilihan yang tidak popular ialah penjimatan kos dan memerlukan pengorbanan pekerja firma untuk situasi yang kritikal ini. Namun, jika situasi kembali kepada yang boleh menguntungkan firma, pengorbanan ini harus diganti dan dibalas dengan sewajarnya.

Mungkin yang paling ideal ada untuk firma melihat kembali kekuatan dan kelemahan sedia ada dan digemblengkan hingga menjajarkan semula model perniagaannya supaya kemapanan atau pertumbuhannya lebih terjamin di masa hadapan.

Namun, pengorbanan menanggung penurunan jualan dan keuntungan terpaksa diharungi ketika ekonomi yang tidak menentu ini. Lagi terkesan adalah apabila hasil langsung tidak boleh dijanakan yang penstrukturan utama perlu dilakukan segera dan jika tidak, berkemungkinan menghadapi pembubaran.

 ***Prof Dr Fauzias Mat Nor ialah Profesor Kewangan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo