NOTIS:
Isu Arak: SPPM rakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa
Suara Pengguna Prihatin Malaysia ( SPPM) ingin merakamkan ucapan takziah dan salam simpati kepada keluarga Allahyarham Irwan Herman bin Kamaruddin yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 26 Mei 2020 yang lalu kerana keretanya bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu pemandu mabuk secara melawan arus baru - baru ini.
Allahyarham telah meninggalkan seorang balu dan dua cahaya mata tercinta.
2. SPPM mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesabaran kepada kepada ahli keluarganya dan didoakan semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta di tempatkan di kalangan insan yang beriman. Semoga tabah menempuh dugaan dengan penuh kesabaran dan redha atas ketentuan takdir ILLAHI.
3. SPPM memandang serius terhadap budaya ketagihan arak yang meragut nyawa rakyat yang tidak bersalah.Pengguna jalanraya akan menjadi mangsa dan ahli keluarga akan menjadi mangsa keganasan rumahtangga terutama kaum wanita dan kanak -kanak sekiranya suami yang ketua keluarga pulang ke rumah dalam keadaan mabuk .
Bukan sahaja pengguna jalan raya akan menjadi mangsa , malahan institusi kekeluargaan menjadi tidak aman dan ahli keluarga yang lain akan sentiasa hidup dalam keadaan ketakutan dan kebimbangan .
4. SPPM menyokong apa sahaja usaha pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ini dan ingin mendesak pihak kerajaan agar dapat mencari jalan penyelesaian yang lebih baik dan memberikan hukuman yang setimpal bagi membendung kes yang sama agar tidak berulang kembali.
5. Kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk bukanlah suatu perkara yang baharu di Malaysia namun ia dipandang remeh oleh segelintir rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain yang bakal menjadi mangsa .Justeru penguatkuasaan undang -undang yang lebih ketat lagi sangat diperlukan bagi membendung gejala ketagihan arak ini dari berleluasa.
6.Antara langkah yang perlu difikirkan oleh kerajaan adalah larangan menjual arak secara terbuka di pasaraya atau kedai 24 jam bagi mengelakkan pengguna jalanraya yang membeli arak memandu dalam keadaan mabuk lantas membunuh mangsa lain yang tidak berdosa. Arak yang dijual dan dipamerkan di pasaraya dan premis perniagaan secara terbuka juga secara tidak langsung boleh mengundang remaja sekolah yang ada naluri ingin mencuba terdedah kepada budaya ketagihan arak yang melampau jika situasi ini tidak dibendung.
7. Selain daripada itu, pihak kerajaan disarankan agar pergiatkan kempen kesedaran dan pendidikan kepenggunaan tentang bahaya arak terhadap rakyat Malaysia sama ada di media elektronik dan media bercetak .Diharap beberapa langkah proaktif yang bakal diambil oleh pihak kerajaan dapat dilaksanakan dengan seberapa segera sebelum budaya ketagihan arak ini semakin membarah dalam masyarakat.Jangan biarkan 'nasi menjadi bubur' . Bertindak sebelum terlambat!.
Salam hormat:
Normala Sudirman
Presiden Suara Pengguna Prihatin Malaysia ( SPPM).
6 Syawal 1441H/29 Mei 2020.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment