KESAN COVID-19 merencat semua sistem perjalanan dunia rekaan manusia.
Apakah manusia masih bongkak dan sombong? Sistem ekonomi terencat dek serangan makhluk yang tidak bernyawa dan kewujudannya tidak dapat dikesan oleh retina manusia.
Inilah kekuasaan dan kebesaran Allah SWT mengatasi segala-galanya.
Sistem kehidupan manusia dalam semua bidang terkulai dan tersungkur dari pengurusan anak dibuaian kerana pusat asuhan terpaksa ditutup.
Selain itu, sistem kerajaan yang memerintah di dunia ini kebingungan terpinga-pinga dan teraba-teraba untuk mencari penyelesaian.
Manusia ibarat kelkatu berterbangan dilangit biru tanpa halatuju.
Penjenayah terkedu sehingga indeks jenayah turun mendadak tanpa tindakan penguatkuasa yang sentiasa memburu.
Taikun petrol dunia kelu kerana tiada pembeli yang selalu membantu. Beginilah ibarat dunia setelah lama zaman berlalu tanpa wahyu yang memandu.
Di mana Islam ketika dunia sedang menunggu?
Masa depan dunia adalah untuk agama ini. Tapi bila?
Persoalan yang perlu kita jawab. Senario dunia agak mencemaskan. Semua yang dirancang sekarang ini semuanya masih kabur dan samar.
Tidak ada pihak yang sanggup memberi kepastian bahawa semua langkah-langkah masa depan yang dirancang pasti akan berjaya seratus peratus.
Bermacam-macam teori telah dikeluarkan untuk mengatasi kelembapan ekonomi.
Begitu juga bidang-bidang lain seperti kesihatan, pendidikan dan lain-lain tetapi ianya bukan satu kepastian yang mutlak. Ianya masih berdasarkan kepada andaian-andaian kemunasabahan.
Sudah sampai masanya umat kembali kepada peradaban Islam keseluruhannya.
Kapitalis Barat kebingungan.
Sistem yang mengatur kehidupan selama ini tidak dapat memberi keamanan dan kesejahteraan kepada mereka.
Hampir keseluruhan negara Barat kecewa dengan apa yang berlaku.
Kerajaan yang memerintah hampir tidak berdaya, tetapi rakyat tidak berupaya untuk menjatuhkannya sebagaimana siri-siri pemerintahan sebelum ini.
Apabila berlaku sedikit kepincangan dalam pengurusan pemerintahan, kerajaan tersebut akan dikritik dan akhirnya akan jatuh atau dijatuhkan.
Kalau ikut trend sebelum ini kerajaan di Barat semuanya akan jatuh.
Sudah pasti di Barat akan berlaku rusuhan yang berpanjangan kerana kegagalan kerajaan menguruskan negara.
Tetapi, apa yang berlaku sekarang ini jauh berbeza, kerajaan dan rakyat tidak mampu untuk berhadapan dengan apa yang berlaku.
Masing-masing mencari-cari apa tindakan seterusnya.
Amerika Syarikat (AS) kuasa besar dunia biasanya menjadi polis diseluruh pelusuk dunia tetapi masa ini hanya berkubu di negara sendiri.
Walaupun berlaku pertelingkahan di Laut China Selatan dengan China Komunis, itupun hanya menggunakan armada laut yang berada di pengkalan mereka di negara-negara sekitar Laut China Selatan.
Begitu juga negara sosialis Timur khasnya negara China dalam kemurungan setelah melalui wabak COVID-19 dalam siri pertama wabak COVID-19 dunia.
Secara zahir menampakkan China mampu mengharungi wabak tersebut. Tetapi apa yang berlaku secara benar didalam negara tidak dapat dipastikan secara jelas.
Negara China dengan falsafah The Middle Kingdom telah dapat mengambil peluang yang ada untuk menjadi kuasa dunia.
China merealisasikan falsafah tradisionalnya "Rompaklah rumah yang sedang terbakar" dengan menghantar bantuan kepakaran dan peralatan kesihatan ke beberapa buah negara Eropah, Afrika dan Timur Tengah dan tidak ketinggalan negara-negara sekitar Asia Tenggara, ketika mana kuasa-kuasa besar Barat terutamanya AS berada dalam situasi dasar pemencilan.
Dimana kuasa Islam? Sudah tiba masanya Islam muncul dengan prinsipnya sendiri.
Kedua-dua sistem kapitalis dan sosialis yang menguasai dunia sekarang sudah pasti tidak dapat berdiri tanpa sokongan dan bantuan dari negara-negara Islam.
Negara kapitalis tidak dapat melebarkan kuasanya di dunia ini tanpa negara-negara Islam. Begitu juga negara sosialis dan China komunis tidak mampu bertahan tanpa negara-negara Islam.
Maka sudah tiba masanya kesatuan negara-negara Islam perlu diperkukuhkan dengan menyatukan sumber kekuatan yang ada. Kesatuan yang sedia ada seperti OIC, LIga Negara Arab, KL Summit dan lain institusi Antarabangsa dan serantau Islam perlu diperkukuhkan dan diperkuatkan. Negara-negara Islam dengan kesatuan yang ada perlu keluar dari kepompong kapitalis dan sosialis serta sistem ciptaan manusia.
Pasca COVID-19 adalah peluang yang perlu diambil oleh negara-negara Islam untuk keluar dari kepompong Barat yang mencengkam mereka sekian lama.
Cuma halangan utama ialah pemimpin-pemimpin negara Islam masih terbelenggu dengan cengkaman pemikiran Barat. Barat bagi mereka adalah contoh yang perlu ditauladani untuk memimpin umat.
Hatta Barat dalam kebingungan dan kebodohan sekarang pun, pemimpin negara Islam masih menunggu-nunggu nasihat dan tindakan yang turun dari Barat.
Kesatuan negara-negara Islam seperti OIC dan lain-lain seolah-olah struktur tubuh yang tidak bernyawa,ibarat patung mainan kanak-kanak yang belum mumayiz.
Begitulah ibarat kesatuan dan pertubuhan negara Islam yang ada termasuk pemimpin-pemimpin mereka.
Kesannya amat besar dalam struktur peradaban dunia, umat Islam dan pemimpinnya ibarat kelkatu dilangit biru tanpa halatuju dan matlamat yang jelas.
Umat Islam perlu bangkit untuk membentuk peradaban Islam memberi kesejahteraan dan keamanan kehidupan manusia di dunia ini.
Mengatur kehidupan manusia dengan peradaban Islam yang menjamin keadilan dan kesejahteraan.
Islam perlu mengatur sistem perhubungan antarabangsa yang mengutamakan kerjasama dan saling menghormati antara sesama manusia. New World Orde telah berakhir.
Norma kehidupan baru perlu kepada Orde Baru Islam.
***Ustaz Sharipudin Ab Kadir ialah YDP ISMA Pasir Puteh merangkap Ketua Perhubungan ISMA Kelantan
No comments
Post a Comment