NOTIS:
Bersedia untuk penilaian risiko ialah norma baharu - ASIACYBERX
KUALA LUMPUR, 4 Mei -- Pandemik COVID-19 mengubah norma sosial dan perniagaan sekali gus memaksa perniagaan untuk meningkatkan transformasi digital, demikian menurut Asia Cybersecurity Exchange (ASIACYBERX).
Menurutnya, ini bererti, pendigitalan yang digunakan secara lebih meluas perlu merangkumi penilaian, pengujian dan latihan risiko siber sebagai sebahagian daripada norma baharu mereka walaupun selepas pandemik ini reda.
“Pelanjutan tempoh kawalan pergerakan ini menyebabkan berlakunya anjakan paradigma untuk bekerja secara jauh dan ‘penjarakan sosial’ dan ini menyebabkan organisasi mengubah operasi kepada saluran digital dengan pantas demi kesinambungan mereka.
“Peningkatan mendadak bagi pendigitalan memberikan cabaran keselamatan siber yang baharu kepada ketua pegawai eksekutif (CEO), usahawan serta pegawai keselamatan maklumat berikutan penggunaan teknologi yang lebih tinggi lebih banyak terdedah kepada ancaman siber,” menurut ASIACYBERX dalam kenyataan hari ini.
ASIACYBERX yang ditubuhkan pada 2018 dimiliki sepenuhnya oleh ACE Accelerator Network dengan kerjasama antara LGMS dan ACE Group untuk mendorong Malaysia menjadi hab sumber keselamatan siber bertaraf dunia.
CEO ACE Accelerator Network dan LE Global Services Sdn Bhd (LGMS), Fong Choong Fook berkata sebilangan syarikat yang pada kebiasaannya tidak banyak terbabit menerusi operasi dalam talian sebelum penularan wabak itu secara tiba-tiba menyedari mereka perlu mendigitalkan perniagaan mereka dengan segera.
“Kumpulan inilah yang paling banyak terdedah kepada ancaman siber. Jadi, inilah masanya untuk perniagaan mengubah penetapan minda agar melihat penilaian dan pengurusan keselamatan siber itu sebagai norma baharu, sama seperti ‘penjarakan sosial’ yang telah menjadi norma sosial baharu,” katanya.
CyberSecurity Malaysia baru-baru ini melaporkan berlakunya 838 serangan siber sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi 18 Mac hingga 7 April yang menyumbang kenaikan luar biasa 82.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment