NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BERSATU Kekal PN atau kembali PH?


OIeh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Politik dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kian berkocak. Kali ini dengan lebih hebat lagi ekoran kenyataan Datu Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden yang menggesa parti tersebut kembali semula (u-turn) kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau menyebut “Pada hemat saya, Bersatu hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kembali bersama PH. Pengalaman tidak sampai dua bulan di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang tidak wujud itu sangat pahit bagi Bersatu hingga ke akar umbi”.

Dengan pendirian Armada, sayap Pemuda Bersatu yang turut membuat keputusan dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri exco dan ketua Armada negeri, serta pengerusi Bersatu,, Dr Mahathir Mohamad menolak kerjasama dengan Umno, sebaliknya kembali bekerjasama dengan PH.

Sungguhpun begitu, keputusan Armada tersebut ditolak secara terbuka oleh beberapa Armada Negeri yang yakin dengan kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional yang ada sekarang ini.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, seramai 143 daripada 191 ketua Armada bahagian - atau hampir dua per tiga daripada keseluruhannya - berkata mereka menolak pendirian berkenaan.

Sebaliknya, kata mereka, pendirian yang dibuat ialah kekal berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Feb lalu yang memutuskan untuk mereka keluar dari PH.

Ini menjadikan Armada juga terbelah kepada dua (2) kem, dketuai oleh Muhyiddin dan Mahathir dalam pertembungan merebut kuasa dan kawalan keatas parti tersebut dengan menguasai kepimpinan tertinggi Bersatu menjelang pemilihan kepimpinan mereka yang akan diadakan selepas bulan Jun, 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata keputusan menangguihkan persidangan serentak 189 bahagian itu susulan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang melarang parti atau pertubuhan mengadakan perhimpunan sehingga 30 Jun ini.

Tun Dr Mahathir cabar Presiden

Tan Sri Muhyiddin Yassin dicabar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden untuk jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan kali ini. Seorang lagi ahli parti, Mohd Faiz Azlee Sham yang turut bertanding setelah berjaya menghantar borang pencalonan.

Manakala Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi calon tunggal yang menghantar borang pencalonan sebagai Pengerusi.Bersatu tanpa dicabar oleh mana-mana calon dari kem Muhyiddin setelah pencalonan ditutup.

Berikutan Tun Mahathir sudah tidak dicabar dan akan diisytiharkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu, ini bermakna beliau sekurang-kurangnya sudah pasti akan mengetuai Bersatu untuk tempoh tiga tahun lagi.

Manakala bagi perebutan jawatan Presiden Bersatu di mana Muhyiddin akan dicabar oleh Mukhriz Mahathir, dapat mahupun tidak, pertandingan itu nanti sebenarnya.adalah pertandingan proksi kepada Tun Dr Mahathir.

Tun Mahathir dengan sengaja telah meletakkan anaknya, Mukridz untuk menentang Muhyiddin bagi memastikan jawatan Pengerusi dan Presiden Bersatu dapat dikuasainya.

Ramai yang melihat hubungan Muhyiddin Yassin dengan Tun Mahathir Mohamad kini ibarat “sudah berpatah arang, berkerat rotan. Pertembungan mereka kelihatan selepas Muhyiddin membawa Bersatu membentuk gabungan baru politik, Perikatan Nasional dan menjadi Perdana Menteri ke8, sedangkan Mahathir masih mahu menjadi Perdana Menteri dengan membentuk kerajaan tanpa parti.
Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemilihan Bersatu sebagai medan terbaik kepada anggotanya untuk memilih antara beliau dan presiden Muhyiddin Yassin.

Bermakna, dalam pemilihan Bersatu akan datang ini sudah terbelah dua antara kem Tun Mahathir dan Muhyiddin, Sekiranya kem Tan Sri Muhyiddin menang pemilihan Presiden Bersatu, kerajaan PN mungkin kekal status quo hingga PRU ke-15.

Sebaliknya, jika Muhyiddin kalah pemilihan Presiden dan kem Tun Mahathir dapat mengusai Bersatu selepas pemilihan nanti, apakah Bersatu akan kembali kepada PH dan memberikan tekanan kepada kerajaan PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin sekarang ini untuk dibubarkan kerana tak direstui Tun Dr Mahathir.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo