Isu perlarian Rohingya yang dipintas kemasukkannya di perairan negara baru - baru ini seharusnya ditangani dengan berhemah dan bijaksana. Setiap pihak digesa agar tidak mengambil kesempatan mahupun mempolitikkan isu ini demi kepentingan politik dan agenda masing - masing.
Disaat menularnya wabak Covid-19 di serata dunia, setiap negara perlu menjaga sempadan mahupun perairannya daripada dicerobohi demi menjaga keselamatan mahupun membenteras sindiket pemerdagangan manusia yang mengambil kesempatan diatas wabak Covid-19 saat ini.
Untuk menyalahkan anggota keselamatan negara yang menghalang kemasukkan pelarian Rohingya baru - baru ini juga adalah tidak wajar memandangkan tugas meraka adalah untuk menjaga sempadan mahupun perairan negara daripada dicerobohi.
Adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan tidak prihatin atau berperikemanusiaan dalam soal ini. Malaysia adalah di antara negara yang prihatin dan serius apabila membicarakan soal pelarian Rohingya baik dari segi bantuan, kebajikan mahupun dalam memperjuangkan nasib pelarian Rohingya di pelbagai peringkat samada di dunia mahupun serantau.
Menurut laporan United Nation High Commission for Refugees ( UNHCR ) pada Februari 2020, terdapat 178,990 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR berada di Malaysia. Daripada jumlah tersebut sebanyak 101,010 adalah daripada bangsa Rohingya.
Jumlah tersebut bagaimanapun dianggarkan lebih besar memandangkan ramai yang tidak lagi mendaftar dengan UNHCR mahupun yang memasuki negara melalui agen - agen sindiket pemerdagangan manusia yang cuba mengeksploitasi kepayahan dan kudrat mereka.
Dalam keadaan penularan wabak Covid-19 semakin meluas, sudah tentunya penumpuan kerajaan adalah untuk memutuskan rangkaian penularan ini dan seterusnya untuk menghentikan pembentukan kluster baru yang mampu meningkatkan jangkitan wabak Covid-19.
Tanggungjawab dan keutamaan kerajaan yang paling penting adalah untuk menjaga keselamatan negara dan rakyat namun dalam masa yang sama turut menjaga kebajikan dan permasalahan yang membabitkan pelarian Rohingya yang berada di dalam negara.
Untuk meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kepada Malaysia dalam menangani isu pelarian Rohingya adalah tidak adil dan bertanggungjawab. Sebagai sebuah komuniti serantau, ASEAN sebenarnya perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu ini.
ASEAN seharusnya perlu mendesak Myanmar agar menghentikan sengketa dengan bangsa Rohingya saat ini bagi membantu menangani permasalahan besar pelarian Rohingya. Persengketaan Myanmar dan bangsa Rohingya di wilayah Rakhine adalah punca utama kebanjiran pelarian Rohingya di negara - negara ASEAN terutamanya di Malaysia.
Jika ASEAN mampu bertegas dan mendesak Myanmar agar menghentikan segala sengketa, begitu juga membawa Myanmar ke meja rundingan bagi mengatasi masalah ini, dipercayai lambakan pelarian Rohingya mampu diatasi serta dikurangkan di semua negara - negara ASEAN terutamanya di Malaysia.
Negara - negara ASEAN juga digesa membuka ruang kepada pelarian Rohingya untuk berlindung dan diberikan penempatan sementara. Disaat menularnya wabak Covid-19 dan sengketa di Rakhine yang tidak berkesudahan, dijangka lebih banyak pelarian Rohingya akan meninggalkan tanah air mereka.
Human Rights Watch mahupun Amnesty International juga perlu melihat masalah pelarian Rohingya dalam skop yang lebih luas dan bukan semata - mata menuding jari ke arah Kerajaan Malaysia. Mereka perlu sedar punca permasalahan ini dan seharusnya mendesak agar Myanmar menghentikan segala bentuk kekejaman terhadap bangsa Rohingya.
Menurut laporan terbaru dari Yanghee Lee, Pelapor Khas Bangsa – Bangsa Bersatu berkenaan hak asasi manusia di Mynmar, satu siasatan segera perlu dilakukan ke atas tentera Myanmar disebabkan dakwaan bahawa tentera Myanmar secara berterusan sehingga ke hari ini melakukan jenayah perang dan kemanusiaan di barat Rakhine dan negeri Chin di Myanmar.
Menurutnya lagi, tentera Myanmar yang dikenali sebagai Tatmadaw tidak mengendahkan seruan supaya diadakan gencatan senjata oleh puak penentang namun terus melakukan serangan bersenjata yang telah mengakibatkan penderitaan yang berterusan terhadap komuniti etnik di kedua – dua negeri tersebut yang terletak di barat Myanmar.
Tatmadaw secara sistematik telah melanggar prinsip paling asas dalam undang – undang kemanusiaan antarabangsa begitu juga hak asasi manusia. Perlakuannya terhadap populasi awam di Rakhine dan negeri Chin boleh disamakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Namun perjuangan membela nasib pelarian Rohingya di peringkat antarabangsa terutamanya PBB seperti tidak membuahkan hasil dan menemui jalan buntu. Kerajaan Myanmar dan tenteranya seolah – olah kebal dan langsung tidak mengendahkan pelbagai amaran dan kecaman di peringkat antarabangsa.
November 2019, Gambia yang mewakili OIC telah memfailkan pertuduhan terhadap Kerajaan Myanmar di International Court of Justice ( ICJ ) di The Hague, Belanda. Kertas pertuduhan setebal 46 muka surat memperincikan kekejaman yang telah dilakukan oleh tentera Myanmar ke atas bangsa Rohingya.
Kertas pertuduhan tersebut memperincikan pelbagai kekejaman yang telah dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap bangsa Rohingya seperti pembunuhan beramai – ramai, rogol dan kemusnahan sistematik yang dilakukan terhadap komuniti Rohingya di wilayah Rakhine.
23 Januari 2020, ICJ dalam keputusannya telah mengeluarkan arahan mengesa supaya langkah – langkah sementara diambil terhadap Myanmar dan memerintahkan agar Myanmar mematuhi tanggungjawab terhadap Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Pembunuhan Beramai-Ramai PBB.
ICJ telah memerintahkan agar Myanmar mengambil segala langkah dalam kuasanya untuk mengelakkan pembunuhan terhadap bangsa Rohingya, atau menyebabkan kemudaratan kepada tubuh atau mental komuniti tersebut, termasuk oleh tentera atau apa-apa unit bersenjata.
4 Februari 2020, Majlis Keselamatan PBB telah mengadakan mesyuarat tertutup untuk membincangkan keputusan ICJ berkenaan isu Myanmar dan Rohingya namun gagal mencapai kata sepakat dan ketetapan. Menurut sumber, China yang merupakan sekutu Myanmar begitu juga Vietnam telah menolak sebarang tindakan dan ketetapan dibuat terhadap Myanmar.
Oleh itu, ASEAN perlu segara mengambil pendirian dan ketetapan terhadap Myanmar dalam permasalahan berkenaan pelarian Rohingya dan kekejaman tentera Myanmar. Disebabkan Myanmar adalah sebahagian daripada ASEAN, pendekatan penyelesaian komuniti serantau adalah lebih produktif dan kondusif dalam menangani isu ini.
ASEAN mampu mendesak Myanmar untuk menghentikan kekejaman ini. Selagimana ASEAN berdiam diri maka selagi itulah masalah pelarian Rohingya yang membanjiri negara – negara ASEAN tidak mampu diselesaikan. Untuk meletakkan permasalahan ini kepada satu – satu negara seperti Malaysia untuk menyelesaikannya adalah sesuatu yang mustahil dan tidak mampu dilaksanakan.
Oleh itu, usah biar ia berpanjangan. Jika dibiarkan berlarutan, isu lambakan pelarian Rohingya akan menjadi masalah besar kepada semua negara komuniti ASEAN dalam masa beberapa tahun lagi. Sudah sampai masanya ASEAN perlu bertindak segera demi membela nasib pelarian Rohingya dan menghentikan kekejaman Myanmar.
Islam Memimpin Perpaduan.
***YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Burok.
Pakar Psikologi Kanak-Kanak di CPC International Sdn Bhd, Dr Noor Aishah Rosli berkata faktor genetik (sejarah keluarga yang mempunyai autis...
HIJAU.FM...
UMNO telah dijangkiti virus DAP
Zahid demi nyawa sanggup gadai Melayu..
1 MEDIA.TV
Penganalisis Politik Tidak Berada Dalam ‘Padang’ – Ahmad Samsuri Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menepis dakwaan penganalisis politik bahawa kerajaan negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan parlimen bakal berdepan kekalahan.
No comments
Post a Comment