NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

22 bulan sebagai pembangkang


Pada 11 Mei 2020, UMNO menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-74. Terlalu banyak yang boleh diwacanakan tentang sejarah parti terbesar orang Melayu dan umat Islam di Malaysia itu.

Daripada perjuangan menentang Malayan Union hinggalah kepada sudut gemilang memerdekakan dan membangunkan negara hatta kepada sisi dramatik pengharaman parti serta naratif perpecahannya kepada parti-parti serpihan yang turut membawa bersama DNA UMNO.

Namun sejarah yang paling memeritkan pastinya merujuk kepada kejatuhan UMNO dan parti gabungannya Barisan Nasional (BN) pada PRU Mei 2018. Menyoroti saat itu, UMNO dan para pendukungnya bagaikan terjatuh dihimpit tangga lantaran kekalahan dalam PRU14 di peringkat Persekutuan dan kehilangan negeri-negeri kecuali di Pahang dan Perlis.

Dari bulan Mei hingga Disember 2018, tempoh itu adalah saat-saat sukar bagi UMNO. Mengira herdikan, cacian dan sindiran, seluruh anggota parti bagaikan terduduk, Menara Dato’ Onn bagaikan tidak bermaya.

Perhimpunan Agung menjadi suram dan ketika itulah perdebatan tentang hala tuju UMNO menjadi begitu hebat. Pada saat itu, segelintir pemimpin UMNO mengambil keputusan meninggalkan bahtera UMNO.

Atas derita kekalahan itu, UMNO mengutip satu persatu sisa-sisa perjuangan yang masih ada, merapatkan kembali saf perjuangan, menilik kembali kesalahan serta melakukan muhasabah menyeluruh tentang hala tuju perjuangannya.

Tiada lain bagi UMNO, tanpa apologetik untuk kembali kepada asas perjuangannya untuk mendokong orang Melayu, agama Islam, institusi raja-raja Melayu dan rakyat seluruhnya. Pastinya pilihannya yang ada adalah untuk menjadi pembangkang yang berwibawa.

UMNO turun kembali ke pentas ceramah menemui rakyat dan akar umbinya. Kini musuh tradisinya Pas bertukar menjadi sahabat sejati. Biarpun UMNO dan Pas pernah berseteru tetapi perseteruan lalu bukanlah yang abadi malah UMNO dan Pas tidak pernah berkerat rotan kerana politik tetapi hanya berseteru kerana prinsip.

UMNO, BN dan Pas menyertai satu persatu Pilihan Raya Kecil (PRK) dari Sungai Kandis, Balakong, Port Dickson dan Seri Setia yang semuanya dihimpit kekalahan. Tetapi semangat mulai terbina apabila BN memenangi Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis.

Bangkit

UMNO belajar menjadi pembangkang dan berjaya melalui dan melepasi tempoh sukar derita kekalahan PRU14. Berbekalkan semangat dan keazaman yang tinggi UMNO bangkit semula biarpun tiada lagi kesenangan dan kemudahan seperti dahulu.

Kesemua episod itu mengajar erti pengorbanan, kesetiaan dan perjuangan. Pergerakan Pemuda juga melakarkan kembali naskhah perjuangan dengan merapatkan saf di setiap bahagian dan cawangan, membina kembali jati diri parti, menyelak kembali nostalgia kejayaan lampau sebagai azimat bagi menjana slogan ‘Pemuda Teras Kebangkitan’. Bersama Pas, UMNO membina Muafakat Nasional (MN), satu agenda besar bagi mengembalikan Malaysia kepada acuannya yang asal.

Terpaterinya Piagam Muafakat Nasional adalah kejayaan yang layak diabadikan dalam sejarah negara. Tangan ditadah mengucapkan syukur kepada Tuhan, tidak kurang juga ada yang menitis air mata kegembiraan apabila melihatkan sosok-sosok pimpinan duduk berdiri bersebelahan untuk meletakkan agenda umat sebagai keutamaan.

Ujian bagi mana-mana entiti politik adalah kuasa. UMNO dan Pas akhirnya diuji oleh Tuhan dengan kuasa apabila kedua-duanya menyertai Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menamatkan krisis kepimpinan yang dicetuskan oleh pergolakan dalaman pihak lain yang merebut kuasa.

Peluang itu dapat mematangkan kerjasama Muafakat Nasional dan mengukuhkan parti bagi menghadapi cabaran PRU akan datang.

Justeru, UMNO tidak boleh hilang fokus dan hanyut dengan kuasa sementara yang ada kini agar sejarah hitam 22 bulan yang lepas tidak berlaku lagi sama sekali.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo