MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
29 Syaaban 1441 / 23 April 2020
ULAMAK adalah pewaris Nabi SAW yang bukan sahaja mewarisi keilmuan daripada Nabi-nabi AS, tetapi juga mewarisi perjuangan. Perjuangan untuk meninggikan kalimah Allah melalui jihad dan dakwah sehingga tertegaknya daulah Islam. Sayangnya, perjuangan jihad mereka sering dilupakan dan tidak diperakukan, hatta dalam dunia akademik yang tidak berkepentingam politik. Hero yang tidak didendangkan! Begitulah ungkapannya. Akibatnya, pada hari ini, anak-anak bangsa bukan sahaja tidak mengenali para ulamak-pejuang ini, bahkan mereka sentiasa memandang serong kepada para ulamak dan tidak mempercayai kepemimpinan para ulamak, bahkan menganggap orang yang bersama para ulamak sebagai mundur ke belakang, meninggalkan kemajuan. Generasi baru tidak lagi mencintai para ulamak dan menganggap keilmuan boleh diabsahkan tanpa melalui lidah para ulamak - memadai lewat Google sahaja!
Dalam sejarah bangsa kita di Alam Melayu, sejak abad ketujuh Masehi, iaitu ketika para Sahabat RA masih lagi memimpin umat, para ulamak telah datang untuk berdakwah dengan cara yang sangat hikmah, sehingga tanpa menumpahkan setitis darah, bangsa Melayu bertukar menjadi umat Islam - yang hari ini orang Melayu mulia kerananya! Bahkan, ketika Datuk Laksamana Hang Tuah mendiktomkan slogan "Tidak Melayu Hilang di Dunia," orang Melayu ketika itu menjadi terhormat kerana ke-Islamannya. Nah! Siapa di sebalik seluruh kebangkitan ini sehingga menjadikan Melayu bangsa yang agung? Para ulamakkan? Perjuangan para ulamak yang sepatutnya diangkat menjadi pahlawan-pahlawan bagi bangsa dan umat, kini tersudut ke pinggir gelanggang. Kerana mereka adalah para pahlawan umat yang diterlupakan!
Perjuangan para ulamak yang tidak dicatat dalam tinta emas sejarah bangsa kita ini, telah bermula dengan usaha jihad dan dakwah mereka membawa Islam dari pelbagai penjuru dunia, sehingga Melayu menjadi bangsa Islam. Kemudian, para ulamak secara berperingkat menerapkan Islam dalam kehidupan bangsa Melayu, sehingga para raja dan pemerintah menjadikan Islam agama negara dan seluruh syariat diperundangkan. Lihatlah bagaimana besarnya peranan Samudera-Pasai dalam mengembangkan ilmu-ilmu Islam, sebelum muncul Aceh, Pattani dan Kelantan. Serentak dengan itu Melaka bangkit untuk mengukuhkan sistem perundangan Islam dengan Hukum Kanun Melaka, yang kemudiannya kita dapati seluruh teks undang-undang di Alam Melayu berasaskan hukum kanun ini. Para Wali Songo tidak kurang besarnya jasa mereka meng-Islamkan tanah Jawa yang paling padat penduduknya. Islam menjalar di seluruh Alam Melayu dari Champa sampai ke Jawa, dari Aceh ke Nusa Tenggara, dari Manila hingga ke Sunda. Perdagangan, perkahwinan, pemerintahan, pelayaran dan pelabuhan - semuanya dimanfaatkan oleh para ulamak untuk membawa bangsa ini kepada jalan hidup yang Allah redha.
Ketika Islam berhasil mengangkat bangsa Melayu menjadi adi jagat dunia, dek kealpaan bangsa Islam di Andalusia oleh perebutan berkepentingan sempit, seluruh tamadun Islam di Iberia itu bertukar menjadi muzium yang legendaris. Bangsa Melayu turut menerima akibat. Bangsa kita mula dijajah dalam tempoh masa yang melebihi 400 tahun. Bermula dengan kejatuhan Melaka, bangsa Eropah yang membawa agenda Khatolik telah menjarah bumi Melayu satu persatu. Tiada lagi nilai keagungan Funan dan Champa, Sriwijaya dan Sampugita, Majapahit dan Melaka, hatta Aceh dan Pattani juga berputih mata. Allah menggilir-gilirkan kekuasaan manusia kerana mereka alpa. Maka, pada saat jatuhnya takhta bangsa kita, siapakah yang bangkit untuk merebutnya semula? Apakah para nasionalis didikan penjajah yang nama-nama mereka gah tercatat di mana-mana? Kenapa buku-buku teks sekolah hanya mampu menuliskan kisah perjuangan sesudah Jepun berundur mengalah? Adakah wajar sebuah bangsa yang dahulunya agung sehebat Champa, Sriwijaya, Majapahit dan Melaka, kemudian seluruhnya menikus selama 400 takut kerana takutkan Benggali Putih itu?
Sebenarnya, para ulamak, sejak dari hari pertama bumi kita dicabul oleh Alfonso de Alburquerque, mereka telah berdiri di barisan hadapan mempertahankan tanah air, dan _Silalat as-Salatin_ (Sejarah Melayu) telah mencatatkannya hakikatnya. Sesudah itupun, dalam tempoh 400 tahun, para penjajah tidak pernah sepi dari menghadapi tentangan dan kebangkitan di setiap penjuru Alam Melayu. Para ulamak telah merangsang, memimpin dan terjun ke medan perjuangan untuk mengembalikan ketinggian agama, kemerdekaan nusa dan maruah bangsa. Bukankah kita pernah mendengar nama Adipati Unus, Sheikh Yusof Tajul Khalwati, Pangeran Diponegoro, Tuanku Imam Bonjol, Raja Haji, Sheikh Wan Mutafa Tok Bendang Daya, Tok Janggut dan para mujahid lain yang muncul mempertahankan Nusantara ini. Kenapa hanya Dato' Onn Jaafar, Sukarno dan Jose Rizal sahaja yang didendangkan, sedangkan kemunculan mereka ketika perjuangan sudah menghampiri garisan. Sayang sekali, keringat, penat lelah dan nyawa yang dipertaruhkan oleh para ulamak untuk kemuliaan nusa, tidak dikenang oleh anak bangsanya sediri. Sering diterlupakan!
Kita tidak boleh sedikitpun untuk menolak hakikat bahawa setelah 400 tahun berlalu, para ulamak generasi abad ke-20 telah membangunkan bangsa yang tertidur ini lewat penerbitan akhbar, penulisan kitab, pembinaan pondok dan madrasah. Akhirnya para ulamak menubuhkan kelab-kelab inteligensia Islam, menggerakkan perjuangan politik kepartian dan membangunkan gerakan-gerakan Islam. Hasilnya, lahirlah pula generasi baru yang celik akal fikiran dan bersemangat dengan api perjuangan, bangkit berjihad untuk mengembalikan cahaya kegemilangan. Kita menjadi bangsa yang bebas dan merdeka dengan keringat dan nyawa para ulamak, lalu mengenang semula seluruh perjuangan mereka adalah satu wajaran yang sangat kena pada tempatnya. Jangan kita menjadi bangsa kacang yang melupakan kulitnya, kerana harimau yang matipun meninggalkan belang, gajah yang matipun meninggalkan gading, takkanlah ulamak mati tanpa kenangan. Jangan lagi kerana kesilapan kita, nanti anak bangsa menjadi burung di dalam sangkar, mata terlepas badan terkurung!
Atas dasar menghargai perjuangan para ulamak sebagai para pahlawan umat, dan untuk menyedarkan anak-anak bangsa yang terlupakan seluruh jasa dan perjuangan para ulamak, saya mengambil kesempatan dari Ramadhan 1441 yang bermula pada _sayyidul ayyam_, hari Jumaat ini untuk mencoretkan perjuangan tokoh-tokoh ulamak dalam membangunkan semula bangsa kita ini setelah dirobek oleh penjajah sejak 1511. Catatan-catatan ringkas ini sebagai pengenalan dan kenangan di atas perjuangan mereka dalam mewariskan kemuliaan yang kita nikmati hari ini. Semoga para ulamak sentiasa dihargai dan diberikan kedudukan yang sewajarnya dalam memimpin ummah menuju mardhatillah.
Hampir semua ahli politik Pakatan Harapan (PH) bertindak mengunci mulut, manakala kebanyakannya enggan memberikan sebarang komen susulan kep...
HIJAU.FM...
UMNO telah dijangkiti virus DAP
Zahid demi nyawa sanggup gadai Melayu..
1 MEDIA.TV
Penganalisis Politik Tidak Berada Dalam ‘Padang’ – Ahmad Samsuri Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menepis dakwaan penganalisis politik bahawa kerajaan negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan parlimen bakal berdepan kekalahan.
No comments
Post a Comment