NOTIS:
Sumber Kekayaan Industri Minyak Dan Gas Sebagai Alat Untuk Menguasai Dunia.
oleh: YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Saat ini, industri minyak dan gas dunia sedang mengalami kejatuhan harga yang paling teruk dalam sejarahnya. Dikala penulisan ini, harga minyak mentah WTI berada pada paras USD17.59, Brent pada harga USD22.24, OPEC Basket berada pada paras USD14.63 dan URALS berada pada paras USD24.10.
Ia adalah jauh berbeza ketika sebelum wabak Covid-19 melanda dimana harga minyak metah dunia agak stabil dan masih lagi tinggi. Januari 2020 menyaksikan Brent didagangkan pada harga USD63.83 manakala WTI pula Februari 2020 didagangkan pada harga USD50.00.
Perdagangan minyak mentah dan gas dunia adalah satu perniagaan yang cukup lumayan dan negara – negara pengeluar minyak mentah terbesar dunia majoritinya adalah kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Rusia dengan nilai dagangan minyak mentah dunia pada tahun 2019 berjumlah USD86 Trillion.
Dengan jumlah dagangan yang begitu besar, maka tidak hairanlah berlaku krisis dan pertelingkahan baru – baru ini antara negara pengeluar minyak terbesar dunia seperti Arab Saudi dan Rusia. Apa yang perlu difahamkan saat ini, negara mana yang menguasai perdagagan minyak mentah dan gas dunia maka negara itulah yang mampu berkuasa mengatur geopolitik dunia.
Pertelingkahan antara Rusia dan Arab Saudi baru – baru ini turut membabitkan Amerika Syarikat kerana saat ini, Amerika Syarikat adalah pengeluar minyak mentah terbesar dunia. Kesan daripada pertelingkahan antara Arab Saudi – Rusia sehingga jatuhnya harga minyak mentah dipasaran dunia turut menyebabkan Amerika Syarikat kehilangan perolehan dan banyak syarikatnya rugi besar.
China, sebuah lagi negara kuasa besar dunia tidak terbabit dalam pertelingkahan ini namun China juga adalah salah satu pengeluar minyak mentah dunia. Pengeluaran minyak mentah China pada 2019 adalah sebanyak 3.9 juta tong sehari namun China juga adalah salah satu pengimport terbesar minyak mentah dunia dengan jumlah import untuk sehari pada 2019 lebih daripada 10 juta tong.
Namun disebalik pertelingkahan kuasa – kuasa besar dalam menentukan harga minyak mentah dunia, sebenarnya banyak lagi yang tersirat disebalik semua itu kerana keuntungan yang besar daripada perniagaan minyak dan gas sebenarnya digunakan oleh kuasa – kuasa besar dunia untuk menguasai mahupun menentukan hala tuju geopolitik dunia serta untuk menekan seteru mereka.
Amerika Syarikat saat ini adalah kuasa besar dunia yang mengawal geopolitik dunia dari segenap sudut baik ekonomi, ketenteraan dan melalui badan – badan dunia yang dikuasainya. Teras ekonomi dunia dikawal oleh Amerika Syarikat dimana majoriti instrumen kewangan dan nilai perdagangan dunia didominasi oleh USD manakala badan kewangan seperti Bank Dunia dan IMF didominasi oleh Amerika Syarikat.
Badan – badan berpengaruh dunia seperti PBB juga dipengaruhi oleh Amerika Syarikat dan boleh dikatakan didominasinya. Tentera Amerika Syarikat adalah tentera yang paling maju di dunia serta mendominasi baik di lautan, daratan dan angkasa lepas. Ekonomi Amerika Syarikat adalah yang terbesar di dunia dengan nilai sebanyak USD20.58 Trillion setahun dengan hampir USD2 Trillion diperolehi melalui sektor minyak dan gas.
Namun saat ini terutamanya setelah Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, hegomoni Amerika Syarikat kian pudar dalam pelbagai sudut. Pengaruh geopolitiknya semakin pudar akibat sikap Donald Trump dan pentadbirannya. Banyak tindak – tanduknya menguntungkan musuh mereka seperti China dan Rusia.
China hampir pasti dalam jangka masa terdekat akan menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia. Besarnya ekonomi China saat ini menjadi ancaman kepada Amerika Syarikat dan Donald Trump. Maka itulah sebab utamanya Amerika Syarikat dan Donald Trump melancarkan perang perdagangan dengan China dengan mengenakan pelbagai sekatan dan tarif untuk menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat.
Disebabkan jangkaan bahawa Amerika Syarikat mampu kehilangan kuasa ekonomi konvensional kepada China yang mampu menghilangkan pengaruh geopolitiknya serta mampu mengurangkan perolehan kewangan yang menjadi sumber kekuasaannya, maka setelah Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, sektor minyak dan gas diberikan keutamaan untuk menjana pendapat bagi terus mempertahankan kekuasaan Amerika Syarikat.
Tahun 2015 menyaksikan Amerika Syarikat berada ditangga ketiga senarai pengeluar minyak mentah dunia dengan pengeluaran lebih 9 juta tong sehari manakala pada tahun 2019 menyaksikan Amerika Syarikat adalah pengeluar minyak mentah terbesar di dunia dengan pengeluaran melebihi 15 juta tong sehari. Dengan anggaran pendapatan hasil minyak dan gas melebihi USD2 Trillion, sudah tentu ia mampu merealisasikan agenda imperialisme Amerika Syarikat ke atas dunia.
Namun saat ini ketika wabak Covid-19 sedang melanda dunia, Amerika Syarikat adalah negara yang paling terkesan sekali dari pelbagai sudut terutamanya ekonomi yang sudah tentunya merisaukan Donald Trump dan pentadbirannya. Pelan menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat berjumlah USD2 Trillion yang diumumkan Donald Trump baru – baru ini menunjukkan betapa terkesannya Amerika Syarikat dan ekonominya saat ini.
Hampir 22 juta orang kehilangan pekerjaan dan banyak sektor pekerjaan serta perindustrian ditutup. Ramai pakar ekonomi meramalkan Amerika Syarikat akan mengalami kemelesatan ekonomi setelah tempoh wabak Covid-19 tamat dan berjaya dihapuskan. Namun dalam keadaan ekonomi yang tenat sudah tentu Amerika Syarikat tidak mampu mempertahankan kuasa geopolitiknya kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar.
Satu – satunya peluang yang ada ialah menjana pendapatan melalui sektor minyak dan gas. Walau berlaku penurunan harga akibat permintaan yang berkurangan sebelum terjadinya perang harga antara Arab Saudi dan Rusia, pengeluar minyak mentah Amerika Syarikat telah menyimpan bekalan lebihan di fasiliti simpanan minyak di Amerika Syarikat dan seluruh dunia dengan harapan apabila keadaan kembali reda, harga minyak akan meningkat dan ia boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi.
Perang harga minyak telah menyebabkan kejatuhan teruk harga minyak mentah dunia. Lambakan lebihan minyak mentah telah menyebabkan panik kepada negara – negara pengeluar minyak mentah dunia namun dalam masa yang sama, negara – negara pengeluar minyak mentah dunia tidak mengurangkan jumlah pengeluaran mereka. Maka terjadilah apa yang kita lihat hari ini dimana penjual minyak mentah terpaksa membayar kepada pembeli untuk menjual minyak mereka.
Rundingan antara Rusia dan Arab Saudi yang diusahakan dan dimediasi oleh Donald Trump dan Amerika Syarikat sebenarnya bukanlah semata – mata untuk menstabilkan harga minyak mentah dipasaran dunia tetapi adalah untuk menyelamatkan sektor minyak dan gas serta ekonomi Amerika Syarikat. Ini adalah kerana menurut pakar ekonomi jika dibiarkan akan mengakibatkan industri minyak dan gas lumpuh serta ekonomi Amerika Syarikat akan musnah.
Dengan keadaan semasa ekonomi Amerika Syarikat yang menuju ke arah kemelesetan disebabkan banyak perindustrian serta pelbagai sektor ekonomi ditutup, jika berlaku perkara sama terhadap sektor minyak dan gas Amerika Syarikat maka kesan jangka panjang bukan hanya membabitkan kemelesetan ekonomi tetapi juga kehilangan pengaruh dan juga cengakaman kuasa ke atas sistem geopolitik dunia yang selama ini didokong oleh Amerika Syarikat.
Begitulah betapa pentingnya sektor minyak dan gas kepada kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat. Ia memainkan peranan besar kepada perluasan kuasa hegomoni Amerika Syarikat untuk menjadi imperialisme tunggal dunia. Sejarah keghairahan Amerika Syarikat terhadap minyak bukan hanya sekarang tetapi sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada polisi luar negara Amerika Syarikat sejak sekian lama.
Jika dikaji polisi luar negara Amerika Syarikat, kebanyakkannya berlegar disekitar negara – negara yang mempunyai simpanan besar minyak mentah dan gas dunia. Aramco iaitu syarikat pengeluar minyak mentah terbesar dunia dan juga syarikat terbesar dunia yang bernilai USD2 Trillion. Syarikat milik Kerajaan Arab Saudi ini sebenarnya adalah hasil cetusan Standard Oil Co. of California yang sekarang dikenali sebagai Chevron pada tahun 1933 setelah diberi konsesi oleh Kerajaan Arab Saudi ketika itu untuk meneroka minyak mentah sebelum diserahkan kembali kepada Kerajaan Arab Saudi pada tahun 1988.
Iran adalah salah satu pengeluar minyak mentah dan gas terbesar dunia. Iran seperti yang diketahui umum adalah musuh Amerika Syarikat dan Regim Israel. Namun ramai yang tidak mengetahui bahawa selain daripada berusaha untuk mengekang pengaruh Iran di Timur Tengah dan menjaga keselamatan Regim Israel, Amerika Syarikat sejak dari dahulu lagi bercita – cita untuk mengaut hasil dari sumber minyak dan gas Iran.
Awal tahun 1950an, Iran adalah salah satu pengeluar minyak mentah terbesar dunia dan sumber tersebut dikuasai oleh syarikat – syarikat minyak asing terutamanya daripada British dan Amerika Syarikat akibat daripada Reuters Concession pada tahun 1872. Palimen Iran pada 15 Mac 1951 meluluskan undang – undang untuk menjadikan sektor minyak mentah sebagai milik negara bagi menghapuskan monopoli syarikat asing.
Usaha tersebut ditentang oleh Amerika Syarikat dan British sehingga kedua – dua negara tersebut menggerakkan revolusi untuk menumbangkan Kerajaan Iran ketika itu yang dipimpin oleh Mohammad Mosaddegh untuk menguasai kembali industri minyak Iran. 1953, Mohammad Mosaddegh berjaya ditumbangkan dalam rampasan kuasa tentera dengan bantuan Amerika Syarikat dan British serta berjaya mengaut kembali hasil bumi Iran.
Begitu jugalah kisahnya dengan Libya, Iraq dan beberapa negara pengeluar utama minyak mentah dan gas di Timur Tengah. Jika pemimpin negara – negara tersebut enggan memenuhi permintaan Amerika Syarikat dan sekutunya untuk meneroka mahupun mengeksploitasi sumber minyak mentah mereka, negeri tersebut akan ditekan seterusnya pemimpinnya akan ditumbangkan. Jika menuruti kehendak mereka, pemimpin dan negara tersebut akan selamat.
Namun ketika ini, segala tindak tanduk Amerika Syarikat berada dalam keadaan tidak menentu dan mampu membuatkan Amerika Syarikat hilang pengaruh sebagai kuasa terbesar geopolitik dunia. Kuasa ketenteraannya di serata dunia sedang mengalami zaman gelap. Di beberapa tempat di Asia seperti Asia Selatan dan Asia Timur, Amerika Syarikat mula kehilangan pengaruh kerana lonjakan pengaruh China.
Di Eropah, majoriti negara – negara dalam Kesatuan Eropah seperti Jerman, Perancis dan Itali sudah mula menolak Donald Trump dan Amerika Syarikat. NATO yang selama ini menjadi kebanggaan Amerika Syarikat sudah kehilangan pengaruhnya. Turki yang selama ini menjadi sekutu kuat Amerika Syarikat secara terang – terangan sudah menolak Donald Trump dan Amerika Syarikat.
Di Timur Tengah, Rusia sudah muncul sebagai kuasa baru yang sudah mula menggugat pengaruh Amerika Syarikat yang berkemungkinan beberapa tahun lagi mampu menolak Amerika Syarikat keluar daripada Timur Tengah. Dimana – mana sahaja tapak kekuasaan Amerika Syarikat di dunia, ia sudah mula menunjukkan pengaruh yang kian pudar dan semakin tergugat.
Apa yang boleh dikatakan serta diramalkan, berkemungkinan wabak Covid-19 dan jangkaan kemelesetan ekonomi yang bakal melanda Amerika Syarikat selepas reda wabak Covid-19 bakal menguburkan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia. Jika benar ini berlaku, kekuasaan geopolitik bakal berubah dan terbuka kepada beberapa negara untuk menerajuinya seperti China dan Rusia.
Krisis harga minyak mentah ini jika difikirkan adalah seperti perancangan licik di antara Rusia dan Arab Saudi untuk menjatuhkan Amerika Syarikat yang terpesona dengan kekayaan minyak mentah dan gas. Jika difikirkan secara logik, baik Rusia mahupun Arab Saudi sebenarnya tidak terkesan dengan kejatuhan harga minyak. Yang paling terkesan adalah Amerika Syarikat dan perang harga minyak ini jika difikirkan sebenarnya seperti perangkap Rusia dan Arab Saudi untuk menjatuhkan Amerika Syarikat.
China hampir pasti berjaya bangkit kembali setelah reda wabak Covid-19 dan mampu memintas Amerika Syarikat sebagai kuasa terbesar ekonomi dunia. Jangkaan pakar ekonomi dunia bahawa Amerika Syarikat memerlukan sekurang – kurangnya setahun untuk memulihkan ekonominya. Harapan Amerika Syarikat kepada sektor minyak dan gas untuk membangkitkan ekonominya kembali malap apabila berlaku kejatuhan harga minyak yang cukup teruk.
Dengan dalam keadaan ekonomi yang tenat dan terdesak, untuk memikat hati pengundi ketika pilihanraya Presiden makin hampir, apakah yang akan dilakukan oleh Donald Trump dan pentadbirannya ? Kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat bermakna akan jatuhlah kekuasaan geopolitik Amerika Syarikat ke atas dunia. Apakah akan berlaku seperti ramalan beberapa penganalisa politik yang Amerika Syarikat akan melancarkan perang hingga digambarkan sebagai perang dunia ketiga untuk mempertahankan kekuasaannya ?
Sejarah pernah membuktikan perlakuan sedemikian, apa yang berlaku di Iraq dan Afghanistan adalah bukti jelas kegilaan Amerika Syarikat dalam mempertahankan kekuasaannya.
Dunia Islam harus bangkit saat ini, mengembeling tenaga untuk membangunkan ummah dan memperkuatkan kesatuan Dunia Islam. Cukup sejarah mengajar kita selama ini menjadi hamba dan orang suruhan kuasa besar yang langsung tidak berhati perut dan zalim.
Ketepikan perbezaan dan identiti, kukuhkan kesatuan Islam dan ummah. Semoga dengan kesedaran dan rahmat Ramadhan yang mulia ini, moga Allah SWT membuka pintu – pintu hati pemimpin Dunia Islam untuk bersatu – padu memperkuatkan ummah dan Dunia Islam.
Islam Memimpin Perpaduan.
***YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment