NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Strategi Perang Khandaq Dalam Bisnes 1/-


oleh:Saifuddin Yusof

Kisah ini memberi isyarat kepada kita di saat bisnes kita sedang menguncup dan jatuh teruk. Kita mesti berusaha untuk berfikir atau mendapatkan pandangan pakar tentang cara untuk menggandakan hasil secara exponential yakni berganda ini. Iaitu menggandakan hasil melalui produk atau servis yang sedia ada bersama kita. Atau cara lain sehingga hasilnya dapat dilipatgandakan. Kemudian, hasil itu dapat dibahagikan kepada semua orang bawahan kita sama rata supaya motivasi orang bawahan kita akan naik semula untuk menaikkan keuntungan bisnes kita.
Kita biasa membaca kisah-kisah dalam sirah Nabi Muhammad Sollahu 'Alayhi wa Sallam berkenaan Perang Badar dan Perang Uhud. Sekali sekala kita membaca kisah Perang Khandaq.

Kisah Perang Khandaq adalah kesinambungan daripada Perang Uhud. Apabila orang kafir Quraisy di Mekah pada masa itu rasa 'boleh makan' orang Islam di Madinah selepas kekalahan di Perang Uhud.

Mereka terus menggembeling dan menghasut semua orang Mekah dan kabilah-kabilah sekitar supaya menyertai mereka untuk menyerang orang Islam di Madinah. Menurut rekod sejarah, seramai 10 ribu orang berkumpul untuk menyerang Madinah.

Apabila Nabi Muhammad mendapat maklumat bahawa orang kafir Quraisy Mekah mahu menyerang Madinah, baginda bermesyuarat dengan para sahabat untuk mengenal pasti cara untuk menanganinya.

Dalam rekod di dalam buku-buku sirah menyatakan bahawa Salman al-Farisi mencadangkan supaya dibina parit sebagai mana orang Parsi berperang apabila dikepung musuh.

Nabi dan para sahabat bersetuju. Kota Madinah ini dikelilingi bukit-bukit. Jadi, ia mempunyai dua pintu masuk. Pintu hadapan sahaja yang dibina parit manakala pintu belakang pula Nabi membuat perjanjian dengan Yahudi Bani Quraizah sebagai pakatan setia supaya tidak diserang dari pintu belakang.

Isu dua pintu ini, kita boleh bincang dari sudut bisnes. Perang Khandaq ini, secara jelas dapat dilihat melalui kaca mata bisnes ialah situasi bisnes dalam keadaan rugi selepas 'rugi' dalam 'Perang Uhud'. Perang Uhud itu berlaku 'kerugian' atas faktor 'pemanah atas bukit' yang turun mahu mengambil harta rampasan perang. Mereka melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh baginda Nabi.

Jadi, Perang Khandaq ini keadaan di mana bisnes dalam keadaan menguncup dan rugi. Peristiwa yang berlaku dalam peristiwa ini dapat memberi isyarat kepada kita bagaimana dapat dilaksanakan dalam bisnes.

Antara satu peristiwa penting dalam Perang Khandaq ini ialah kisah makanan yang disediakan oleh Jabir bin Abdullah. Jabir melaporkan, pada saat itu, ramai orang Islam yang tidak menjamah makanan selama tiga hari dalam masa yang sama terpaksa bekerja keras menggali parit.

Nabi Muhammad Sollahu 'Alayhi wa Sallam, mengikat perut dengan batu-batu memandangkan sudah lama tidak makan. Jabir berkata kepada Nabi, "Izinkan saya pulang ke rumah." Nabi mengizinkan.

Di rumah Jabir berkata kepada isterinya, "Saya tidak sanggup melihat keadaan diri Nabi sedemikian. Adakah kita mempunyai sesuatu yang boleh dimakan?"

Isteri Jabir berkata, "Bersama saya ada gandum dan anak kambing." Lalu Jabir menyembelih anak kambing itu dan isterinya mengadun tepung.

Beliau bergegas berjumpa Nabi. "Saya ada sedikit makanan." Nabi bangun bersama seorang dua sahabat. Nabi bertanya, "Untuk berapa orang?" Jabir memberitahu, "Cukup untuk lima orang."

Nabi berkata, "Tidak mengapa orang ramai boleh juga datang." Jabir mulai resah, hidangan hanya cukup kurang sepuluh orang.

Nabi berpesan kepada Jabir, "Beritahu kepada isteri saudara supaya jangan angkat periuk dan adunan tepung dari dapur api itu sehingga saya datang."

Kemudian Nabi berkata kepada semua, "Bangunlah saudara semua." Semua Muhajirin dan Ansar bangun menuju ke arah Nabi.

Jabir bergegas pulang. Hatinya resah, mengadu kepada isterinya, "Habislah kita Nabi mengajak semua Muhajirin dan Ansar bersama sahabat lain datang bersama."

Isteri Jabir bertanya, "Adakah itu arahan baginda?" Jabir menjawab, "Ya begitu."

Apabila sampai Nabi Muhammad di rumah Jabir, baginda menjemput para sahabat, "Jemput masuk, jangan tolak-tolak."

Kemudian Nabi menuju ke dapur dan Nabi mencubit adunan roti dan membuat adunan kemudian tukang bakar membakarnya satu persatu. Setiap ketul roti dihidang bersama daging yang diceduk oleh Nabi.

Seorang demi seorang Nabi Muuhammad berikan makanan. Jumlah yang terlibat mencecah sehingga 500 hingga 1,000 orang. Bahkan setelah selesai, Nabi berkata kepada Jabir, "Sekarang, makanlah semua dan jika boleh sedekahkan sekali kepada orang lain. Masih ramai yang kelaparan." - Sahih al-Bukhari

Kisah ini memberi isyarat kepada kita di saat bisnes kita sedang menguncup dan jatuh teruk. Kita mesti berusaha untuk berfikir atau mendapatkan pandangan pakar tentang cara untuk menggandakan hasil secara exponential yakni berganda ini.

Iaitu menggandakan hasil melalui produk atau servis yang sedia ada bersama kita. Atau cara lain sehingga hasilnya dapat dilipatgandakan. Kemudian, hasil itu dapat dibahagikan kepada semua orang bawahan kita sama rata supaya motivasi orang bawahan kita akan naik semula untuk menaikkan keuntungan bisnes kita.

Mengapa pula Nabi Muhammad membina parit di pintu hadapan sahaja bukan di kedua-dua pintu sekali?

Bersambung...



Sumber: https://www.facebook.com/pengkajihadith/posts/2401913186713515

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo