NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selepas dua bulan bertarung nyawa, mangsa rempuhan pemandu mabuk, meninggal dunia


BUTTERWORTH: Setelah hampir dua bulan bertarung nyawa, Zuriana Hassan, mangsa rempuhan pemandu mabuk di Prai, Pulau Pinang pada 9 Februari lalu akhirnya meninggal dunia awal pagi Ahad.

Zuriana, 36, menghembuskan nafas terakhir pukul 1 pagi Ahad selepas koma hampir dua bulan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Walaupun dibelengu kesedihan namun, keluarga terutamanya anak-anak mangsa reda dengan pemergian ibu mereka.

Bapa mangsa, Hassan Ismail, 67, ketika ditemui di Jalan Mohd Saad, Butterworth berkata, sebelum ini dia diberitahu doktor bahawa anaknya mungkin tiada harapan sembuh berikutan kecederaan parah yang dialami termasuk di bahagian kepala.

Susulan itu dia sering berpesan kepada anak arwah agar reda dengan apa saja kemungkinan yang akan berlaku.

“Saya sudah beritahu pada mereka kalau jadi apa-apa pada mama (Zuriana), mereka kena redha sebab doktor sudah maklumkan macam tiada harapan. Banyak kali saya beritahu cucu-cucu saya supaya redha, anak yang kecil itu seperti tidak faham lagi,” kata Hassan

Sebelum ini, suami Zuriana, Khairizul Mohamad Noor, 39, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh pemandu kereta dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di susur keluar Prai.

Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Afni Nirwana, 16, Nur Qistina Nadira, 14, Nur Erna Nabila, 12, Nur Qurratul Ain, 7, dan bongsu Muhammad Khairi Zafran, setahun 9 bulan.

Kisah mereka pernah disiarkan di Astro AWANI selepas menjadi yatim sekelip mata akibat kecuaian pemandu lain.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Nur Afni Nirwana memberitahu, dia akan berpegang pada pesanan arwah ibunya sebelum ini agar menjaga adik-adiknya.

Dia juga berharap pemandu yang merempuh motosikal ditunggang bapa dan ibunya tidak dibiarkan begitu saja, sebaliknya diberi hukuman setimpal.

“Saya harap yang langgar ayah dan ibu saya dapat hukuman setimpal. Jangan biar begitu saja,” kata Nur Afni.

Jenazah Zuriana dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Jermal, di sini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo