NOTIS:
PN jual aset negara? Ini penjelasan Menteri...
PETALING JAYA: Sekarang bukan masa baik untuk menjual aset negara bagi mendapatkan wang tunai untuk pemulihan ekonomi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed.
Katanya, beliau tidak percaya ini adalah alternatif baik untuk kerajaan mempertimbangkan pencarian wang untuk meringankan penderitaan rakyat susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.
“Jika kami menjual aset-aset ini, ia akan menjadi jualan murah. Saya tidak pasti jika ini ialah perkara baik untuk dilakukan.
“Pada pandangan peribadi saya, jualan aset bukan perkara baik untuk dilakukan ketika ini kerana harganya, sudah tentu, sangat rendah.
“Kita tidak akan mendapat harga baik untuk apa saja yang kita jual,” katanya dalam perbincangan bertajuk “Pelan Pemulihan Selepas Covid-19: Peranan Majlis Tindakan Ekonomi” anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) hari ini.
Dalam perbincangan itu, Mustapa turut menyentuh perubahan yang dibawakan PKP.
Beliau menjangkakan lebih banyak pejabat maya berbanding penyewaan ruang pejabat pada masa depan kerana rakyat sudah biasa dengan konsep bekerja dari rumah dan keperluan untuk penjarakan sosial yang merupakan kesan langsung daripada lanjutan PKP.
Katanya, pasaran hartanah juga akan terjejas.
Beliau berkata, perubahan strategik itu perlu digunakan sebagai peluang untuk pembaharuan, memudahkan proses dan mengurangkan birokrasi bagi perniagaan.
“Ia adalah peluang untuk mengkaji cara kita melakukan sesuatu,” katanya sambil menambah kerajaan perlu banyak bergantung kepada sektor swasta kelak.
Mustapa berkata, pemulihan sepenuhnya mungkin berlaku tahun depan bagi penggunaan swasta, selepas perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kembali beroperasi sepenuhnya dan pelancong mula kembali.
Pembukaan ekonomi dan melonggarkan sekatan secara beransur-ansur di bawah PKP turut akan meningkatkan penggunaan swasta.
Ketika menjelaskan perubahan strategik, Mustapa berkata, banyak PKS teruk terjejas akibat Covid-19, khasnya mereka yang tidak berada dalam platform digital atau menggunakan e-dagang.
“Trend pelancongan (sumber pendapatan utama negara) sudah banyak berubah dan akan terus berubah dengan banyak dalam beberapa bulan akan datang.”
Industri pendidikan swasta juga akan terjejas dengan pengambilan pelajar asing berkurangan.
“Ada juga banyak cabaran di rantaian nilai global sejak beberapa minggu lalu. Ini akan menyebabkan perubahan dalam strategi promosi pelaburan.”
Ubah suai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030
Mustapa berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 masih akan menjadi agenda utama ekonomi negara selepas PKP berakhir.
Tetapi katanya, perubahan strategik perlu dilakukan akibat penularan Covid-19.
Beliau yang menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi berkata, Rancangan Malaysia ke-12 (2021 hingga 2025) dan Rancangan Malaysia ke-13 (2026-2030) turut akan terjejas.
Beliau menjangkakan penggunaan swasta berkurangan selepas PKP kerana ramai yang kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan.
Akan ada perubahan dalam corak rakyat berbelanja, dengan lebih banyak perbelanjaan untuk makanan, ubat-ubatan dan farmaseutikal.
Katanya, keadaan akan menjadi lebih teruk jika tiada inisiatif yang diperkenalkan melalui pakej rangsangan ekonomi kerajaan.
Beliau yakin suntikan fiskal langsung RM35 bilion, dengan semua wang yang dikumpul daripada moratorium 6 bulan ke atas pinjaman bank, pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso akan merangsang penggunaan dalam kalangan rakyat.
“Kerajaan masih berfungsi dengan penjawat awam masih mendapat gaji mereka.
“Terdapat 880,000 pesara dan 1.6 juta penjawat awam dan banyak syarikat berkaitan kerajaan masih membayar gaji kakitangan mereka.
“Terdapat juga elemen penting yang menyokong permintaan untuk penggunaan.”
Mustapa berkata, harga minyak global yang rendah akan memberi kesan buruk kepada ekonomi kerana 20% pendapatan kerajaan datang daripada sumber itu.
Katanya, ujuran pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun ini dan tahun berikut pada awalnya masih menggalakkan.
Bagaimanapun, pertumbuhan adalah negatif sekarang dan kutipan cukai serta dividen daripada Petronas akan berkurangan.
“Orang mungkin menangguhkan keputusan pelaburan. Kita perlu semak semula semua anggapan baru sejak beberapa bulan ini.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment