NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pendigitalan Masyarakat: Bersediakah kita?



Dr Mahyuddin Daud
April 28, 2020 13:24 MYT

PADA tanggal 25 April 2020, Perdana Menteri mengumumkan bahawa proses ‘Pendigitalan Masyarakat’ Malaysia perlu dipercepat.

Sejak dunia dilanda pandemik COVID-19, dunia pendidikan yang terdiri daripada cerdik pandai dikejutkan dengan gelombang e-learning yang mengejutkan mereka dari ‘tidur’.

Terdapat juga golongan pendidik yang sudah lama terbiasa dengan penggunaan e-learning, namun tidak kurang juga yang baru pertama kali baru mencubanya.

Jika dilihat dari sudut falsafah, terma masyarakat digital amat sinonim dengan ‘information society’ atau ‘network society’ - suatu teori yang popular di kalangan pengkaji governans Internet dan pengurusan.

Dalam erti kata lain, informasi menjadi nadi masyarakat yang diperhebat dengan elemen kesalinghubungan yang terdapat pada teknologi.

Selari dengan hasrat pendigitalan masyarakat Malaysia, kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan untuk meningkatkan akses Internet secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah melaporkan kadar aksesibiliti Internet di Malaysia mencapai lebih dari 85 peratus setakat 2018 dan ini dijangka terus meningkat menjelang perlaksanaan 5G kelak.

Di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara [National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP)] bagi tahun 2020, RM3 billion telah diperuntukkan untuk mengurangkan jurang digital melalui peluasan liputan dan peningkatan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan mudah alih, selain menyediakan asas bagi rangkaian baharu untuk teknologi 5G.

Di sebalik statistik yang mengagumkan ini, masih terdapat sebilangan komuniti di Malaysia tidak mendapat akses kepada Internet.

Selain masalah ketiadaan atau kekurangan liputan, masih ada yang tidak mempunyai komputer mahupun telefon pintar.

Jikapun ada, hanya ketua keluarga yang memiliki satu unit asas. Jika keadaannya sedemikian, besar kemungkinan ia menjadi satu halangan besar untuk pempercepatkan proses pendigitalan masyarakat yang dihasratkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apakah kerajaan perlu mengeluarkan sejumlah perbelanjaan untuk membeli telefon pintar buat mereka yang tidak berkemampuan pula?

Dalam pada itu, mereka yang mempunyai akses Internet yang baik tidak kurang juga terdedah kepada risiko-risiko keselamatan siber.

Pandemik COVID-19 telah memaksa para pekerja untuk bekerja di rumah secara atas talian.

Penggunaan aplikasi Zoom meningkat secara mendadak dari 10 juta pengguna sehari kepada 200 juta pengguna.

Operator aplikasi Zoom telah mengesahkan data-data pengguna mungkin terdedah kepada ancaman keselamatan siber.

Namun begitu, Zoom telah mengambil langkah-langkah untuk menaiktaraf sistem keselamatannya demi melindungi keselamatan data pengguna pada awal April tempoh hari.

Google pula dilihat tidak menghadapi masalah dalam menangani ‘letusan’ pengguna yang bekerja dari rumah sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, mungkin kerana persediaan dari pelbagai sudut.

Pengguna Internet turut terdedah kepada kandungan terlarang seperti berita palsu semasa berkomunikasi dalam talian.

Sebagai contoh, semasa dunia sedang melawan pandemik COVID19 ini, terlalu banyak berita palsu yang disebarkan di platform media sosial setiap hari.

Sebagai langkah responsif, Facebook memberi komitmen untuk membendung berita palsu berkenaan COVID-19 dengan penggunaan teknologi machine learning, artificial intelligence dan moderasi kandungan (content moderation).

Walaupun penggunaan teknologi untuk membendung berita palsu diperluas, peranan manusia dalam menilai semula tapisan automatik tetap dilakukan sebagai prosedur operasi standard mereka untuk mengelakkan penapisan kandungan Internet yang keterlaluan.

Berdasarkan cabaran yang diutarakan penulis, idea pendigitalan masyarakat dilihat suatu permulaan yang baik untuk tahun 2020.

Ia memberi anjakan paradigma buat masyarakat supaya lebih cakna dalam mempersiapkan diri menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Apapun teknologi yang dibina tentunya akan datang dengan cabaran tertentu. Penulis mengharapkan masyarakat digital Malaysia terus maju dalam arus pemodenan tanpa melupakan nilai-nilai murni dan budaya ketimuran yang menjadi identiti kita buat selamanya.

***Dr Mahyuddin Daud ialah Pensyarah Kanan (Undang-undang Siber) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo