NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelarian kayangan ditatang, pelarian lemah diganyang

oleh: MUHAMMAD SANUSI MD NOR

KETEGANGAN US-China sedang meluap-luap di laut China Selatan yang mendatangkan risiko besar kepada keamanan serantau. Kita mungkin terjebak dalam kekacauan perang. Netizen askar maya kita pula sedang bertegang dengan pihak paling lemah di dunia – puak pelarian tanpa negara yang sedang berlindung di sini.

Pada waktu ini, statistik rasmi Kerajaan mencatatkan sejumlah 6.7 juta warga asing sedang berada di negara ini, 4 juta daripadanya adalah PATI menyusup masuk, tidak balik, tanpa dokumen, tapi orang kita tidak marah. Mereka bukan lari menyelamatkan nyawa, mereka adalah pelarian ekonomi.

Ratusan ribu warga China dikesan datang ke Malaysia tapi tak balik. Mereka berada di mana-mana. Yang kaya raya bawa wang beli hartanah lebih RM8.2 bilion di sini. Mereka itu orang kayangan? Mereka tidak menuntut apa-apa, tapi mereka ‘membeli’ apa saja yang mereka mahu. Demikian warga asing dari India, Filipina dan lain-lain.

Kita menyokong sekatan masuk ke atas kapal dan perahu pelarian Rohingya, kita wajib menjaga keamanan warga dan tanah air kita. Pada waktu ini, kita sudah tidak boleh menerima sesiapa pun. Kita desak pemerdagangan manusia dibanteras habis-habisan. Kenakan hukuman paling berat kepada penjenayah pemerdagangan manusia, seperti penjara seumur hidup kepada mereka

Kita juga patut tuntut ‘pelarian kayangan’ dari China, India dan negara lain disuruh balik ke negara mereka. Mereka ada negara dan mereka ada duit. Mereka dulu yang patut dihalau balik.

Jangan berani bekeng kepada yang lemah saja, tapi buta kepada yang lebih ramai, merbahaya dan sukar dikenali. Agenda siapa yang sedang diperjuangkan sekarang ini – seolah-olah sedang melindungi pendatang China dan India dengan mengganyang Rohingya. Anda bacul atau badut sarkas?

***MUHAMMAD SANUSI MD NOR ialah Pengerusi PASRelief

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo