NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menilai kesungguhan Aung Sang Suu Kyi dalam kemelut Rohingya

oleh: Nor Azizuddin Abdul Manan

Sosok tubuh Aung Sang Suu Kyi tidak perlulah dijelaskan kerana seantario dunia mengenali sosok ini dalam memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia di Myanmar sejak sekian lamanya. Namun, sejauhmana sosok tubuh ini dalam memperjuangkan hak asasi etnik Rohingya mula diragui oleh masyarakat dunia amnya dan rakan-rakan dalam pertubuhan ASEAN khasnya.

Untuk rekod, Suu Kyi yang menerajui Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) telah memenangi 77% peratus kerusi atau 887 kerusi di kedua-dua buah Dewan Rendah (Pyithu Hluttaw) dan Dewan Senat (Amyotha Hluttaw). Sekali gus membuka jalan kepada perlaksanaan perbaharuan demokrasi di Myanmar setelah hampir 4 dekad negara itu berada dibawah pemerintahan Junta Tentera. [1][2]

Namun, setelah tercetusnya krisis pembersihan etnik Rohingya di Wilayah Rakhine yang terletak di sebelah pantai barat negara itu sejak tahun 1970-an sehingga kemuncaknya pada tahun 2017 menyaksikan lebih 6,700 penduduk awam Rohingya dibunuh dan 700,000 lagi menjadi pelarian dan dihalau ke perbatasan Myanmar-Bangladesh oleh Tentera Myanmar yang dikenali sebagai "Tatmadaw" oleh masyarakat setempat.[3][4]

[Sikap sambil lewa Suu Kyi di ICJ The Hague]

Mengambil sikap tanggungjawab di atas prinsip kemanusiaan, Republik Gambia telah memfailkan prosiding kes jenayah kekerasan dan kekejaman Tatmadaw dan Kerajaan Myanmar di ICJ pada 11 November 2019.Untuk rekod, tindakan Gambia ini adalah atas kapasiti negara ahli dalam Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC).[5]

Prosiding bermula pada 10 Disember 2019 menyaksikan Gambia yang diwakili oleh Menteri Keadilan, Abubacarr Tambadou dan Myanmar diwakili oleh Suu Kyi sendiri. OIC pula menghantar delegasi pemerhati yang diwakili oleh M. Hassan Ali Hassan, Pengarah Hal Ehwal Keadilan OIC dan M. Hassan Abedin, Sekretariat Hal Ehwal Keadilan OIC.[6]

Memulakan prosiding tersebut, Abubacaar secara tegas mendesak agar Myanmar menghentikan segala bentuk tindakan yang tidak masuk akal termasuklah tindakan militer, kekerasan dan kekejaman ke atas penduduk awam di Wilayah Rakhine.[7] Tidak cukup dengan itu, Abubacarr sekali lagi mendesak ICJ agar segara bertindak "Untuk menghentikan tindakan biadab dan kekejaman yang mengejutkan dan mengejutkan hati nurani kolektif kemanusiaan. Berusaha untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyatnya sendiri."[8]

Membalas hujahan awal Gambia, Suu Kyi membangkitkan pendirian Myanmar yang menolak secara tegas segala bentuk dakwaan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Tentera Kerajaan negaranya.[9]

Pendirian Suu Kyi ini telah dikecam oleh sebilangan besar penganalisis media antarabangsa antaranya yang dlaporkan oleh Azeezah Kanji (2019) yang menyatakan pembelaan awal Myanmar semasa permulaan prosiding di ICJ terhadap tuduhan pembunuhan beramai-ramai pastinya tidak dapat bertahan.[10]

Myanmar tidak boleh menyalahkan pandangan dan kritikan media antarabangsa terhadap pembelaan negara itu di ICJ kerana secara logiknya Myanmar selaku negara yang meretifikasikan Konvensyen PBB mengenai Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid 1948 secara jelas telah melanggar semua obligasi didalam konvensyen tersebut. Inilah isu utama yang sukar bagi pihak Myanmar untuk mempertahankan tindakannya di ICJ.[11]

Azeezah turut membidas Suu Kyi dalam penghujahannya dengan mengaitkan tindakan militer yang sah terhadap penduduk Rohingya didorong atas faktor membenteras militan Islam yang diketuai oleh ARSA (Arakan Salvation Army) dan mencegah aktiviti keganasan (Counter-terrorism) seperti yang dilakukan oleh pengganas Afghanistan dan Pakistan.[12] Untuk rekod, ARSA hanyalah sebuah organisasi kecil bagi mempertahankan nyawa penduduk islam Rohingya dengan kelengkapan persenjataan yang sangat terhad seperti yang dilaporkan didalam UN Fact-Finding Mission 2017.[13] Tidak cukup dengan itu, dalam penghujahan Suu Kyi hanyalah bersifat simplisitik dengan mengaitkan keganasan ARSA dengan menyatakan, "Myanmar's Defence Services responded to the attacks of ARSA fighters by the use of ground forces. There were armed incidents in more than 60 locations" [Tindakan Perkhidmatan Pertahanan Myanmar adalah disebabkan oleh serangan ARSA. Mereka telah melakukan aksi bersenjata di lebih 60 lokasi].[14]

Cubaan Myanmar menegakkan "benang basah" di ICJ oleh Penasihat Negara dan Penasihat Menteri Luar Myanmar, Kyaw Tint Swe yang enggan menggunakan istilah Rohingnya sebaliknya menggunakan istilah ARSA bagi merujuk aktiviti keganasan yang dilakukan seolah-olah untuk mengiyakan tindakan militer bagi melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk awam di Rakhine.[15]

[Prejudis terhadap Islam oleh Suu Kyi]

Cubaan Suu Kyi untuk mengaitkan keganasan dengan Islam bagi menghalalkan tindakan militer negara itu adalah sikap yang tidak bertanggungjawab, mencetuskan persepsi negatif dan cubaan melepaskan tangan dalam mengakui segala bentuk keganasan yang telah dilakukan oleh Tatmadaw. Hujahan hampir 30 minit oleh Suu Kyi di ICJ tidak lain hanya untuk memberikan satu konotasi yang buruk bahawa tindakan milter terpaksa dilakukan bagi mempertahankan nilai dan maruah Myanmar daripada segala bentuk anasir keganasan yang dilakukan oleh militan Islam ARSA.[16]

Oleh itu, tidak menjadi satu kehairanan apabila Azeezah Kanji terus membidas Suu Kyi dengan menyatakan, "The spectacle of a Nobel peace prize laureate covering up a genocide has transfixed the world. But the grotesque bathos of Suu Kyi emblematises the shame of the international community writ large, which poses as the guardian of peace and civilisation while allowing mass atrocities to unfold in plain sight." [Cerminan (sikap) Pemenang Anugerah Nobel Keamanan dengan cubaan untuk menutup tragedi pembunuhan beramai-ramai yang menyebabkan dunia terpaku seketika. Namun begitu, Suu Kyi secara terang telah memalukan (dirinya) dihadapan masyarakat antarabangsa yang beranggapan (Suu Kyi) mampu untuk memberikan segala bentuk keamanan dan peradaban tetapi membiarkan kekejaman terus berlaku dinegaranya].[17]

[Kesimpulan]

Melihat kepada sikap Suu Kyi yang tidak bersungguh-sungguh dalam memastikan hak asasi manusia ditegakkan di Wilayah Rakhine (Arakan) di Mahkamah Jenayah Antarabangsa The Hague telah memberikan satu justifikasi kepada ASEAN agar menggantung sementara keanggotaan Myanmar didalam pertubuhan itu yang telah melanggar prinsip asas ASEAN dan ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) itu sendiri. Sementelah usaha Malaysia selama hampir 30 tahun tanpa lelah mendepani isu Rohingya ini bakal menemui noktah terakhir dalam memastikan Rohingya kembali mendapat keadilan yang sewajarnya. Kepada dunia, nilailah kembali sejauhmana Suu Kyi layak untuk terus memegang Anugerah Nobel Keamanan yang dikecapinya selama ini.

Nor Azizuddin Abdul Manan
Penyelidik Ph.D
Di salah sebuah universiti awam tempatan.


Rujukan :

[1] Homes, Oliver (Nov 13, 2015). Aung San Suu Kyi wins an outright majority in the Myanmar election. The Guardian.

[2] Homes, Oliver (Nov 23, 2015). Final Myanmar results show Aung San Suu Kyi's party won 77% of seats. The Guardian.

[3] Griffiths, James (Dis 14, 2017). 6,700 Rohingya killed in the first month of Myanmar crackdown, MSF reports. CNN.

[4] Marzuki Darusman (Sep 18, 2018). Myanmar: UN Fact-Finding Mission releases its full account of massive violations by the military in Rakhine, Kachin, and the Shan States. UNHRC Fact-Finding Report Summary: Geneva.

[5] Press Release The Republic of The Gambia institutes proceedings against the Republic of the Union of Myanmar and asks the Court to indicate provisional measures. 11 Nov 2019. Dicapai di https://www.icj-cij.org/…/case-related/178/178-20191111-PRE…

[6] Public Setting, the case concerning Application of the Convention on the Prevention and Punishment of
the Crime of Genocide (The Gambia v. Myanmar). Dis 10, 2019. Dicapai di https://www.icj-cij.org/…/case-related/178/178-20191210-ORA…

[7] ___(Dis 10, 2019). At top court, Myanmar urged to 'stop the genocide of own people'. Al Jazeera.

[8] ibid. Al Jazeera, Dis 10, 2019.

[9] ibid. Al Jazeera, Dis 10, 2019.

[10] Kanji, Azeezah (Dis 23, 2019). Myanmar: Defending genocide at the ICJ. Al Jazeera.

[11] The Genocide Convention, dicapai di https://www.un.org/…/genocideprev…/genocide-convention.shtml

[12] Azeezah (2019), ibid.

[13] Marzuki Darusman (2018), ibid.

[14] ____(Dis 12, 2019). Transcript: Aung San Suu Kyi's speech at the ICJ in full. Al Jazeera.

[15] Azeezah (2019), ibid.

[16] ____(Dis 12, 2019). Transcript: Aung San Suu Kyi's speech at the ICJ in full. Al Jazeera.

[17] Azeezah (2019), ibid.

Sumber: https://www.facebook.com/norazizuddin/posts/2866841583401889

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo