NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengingati 17 Tahun Penaklukan Amerika Syarikat Ke Atas Iraq : Bagaimanakah Penghujungnya ?



oleh:Muhammad Khalil Abdul Hadi i

20 Mac lalu genap 17 tahun Amerika Syarikat menakluk Iraq di bawah pimpinan George W. Bush dengan alasan memiliki senjata pemusnah dan hubungan Saddam Hussein dengan Al-Qaeda. Kedua-dua alasan ini terbukti bohong terutamanya senjata pemusnah apabila tiada satu pun senjata yang dikatakan tersebut dijumpai sepanjang tempoh pencarian di Iraq baik oleh PBB mahupun International Atomic Energy Agency ( IAEA ).

Laporan Akhbar The Guardian pada 7 Oktober 2004 telah menyatakan bahawa sepanjang 2 tahun pencarian yang membabitkan lebih 1,625 anggota pelbagai agensi di bawah PBB dan kerajaan Amerika Syarikat yang menelan belanja sebanyak USD 1 Billion pada akhir penyiasatan tersebut dengan jelas menyatakan bahawa tidak terdapat bukti kukuh yang Saddam Hussin mahupun Iraq mempunyai senjata pemusnah.

Akibat daripada laporan badan perisikan Amerika Syarikat yang menyatakan Sadaam Hussin dan Iraq mempunyai dan memiliki keupayaan untuk menghasilkan senjata pemusnah terutamanya senjata biologi, Amerika Syarikat, Britian dan sekutu – sekutu mereka tanpa mandat Majlis Keselamatan PBB dan PBB sendiri bertindak secara unilateral membelakangkan dunia menyerang Iraq.

Peperangan tersebut telah mengorbankan lebih dari setengah juta rakyat Iraq dan hampir 4,500 orang tentera Amerika Syarikat. Namun jika dicampurkan dengan tentera pelbagai negara yang berkhidmat di Iraq samada ketika peperangan mahupun selepasnya, jumlah keseluruhan anggota tentera pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat yang terbunuh mencecah 5,000 orang.

Kesan daripada peperangan tersebut boleh dilihat sehingga ke hari ini. Kebanyakkan daerah mahupun bandar yang menerima kesan teruk daripada peperangan tersebut tidak mampu bangkit sama sekali. Kebanyakkan tempat masih tidak memiliki kemudahan asas yang sempurna seperti eletrik, air yang bersih dan terawat serta banyak lagi kemudahan asas yang tidak tercapai oleh kebanyakkan rakyat Iraq.

Runtuhan bangunan masih lagi kelihatan di banyak tempat di Iraq. Ekonominya masih lagi lemah dan banyak bergantung kepada bantuan asing. Tambahan saat ini dalam keadaan pasaran minyak dan gas tidak menentu, ia akan tentu lebih memburukkan keadaan di Iraq yang tentunya banyak bergantung kepada hasil minyak dan gas sebagai sumber pendapatan.

Namun alasan sebenar penaklukan Amerika Syarikat ke atas Iraq adalah untuk menjaga keselamatan regim Israel dan mengawal pengaruh Iran di Timur Tengah. Regim Israel adalah ibu kepada segala kejahatan dan peperangan, baik dengan regim Israel sendiri atau Amerika Syarikat mahupun sesama negara Islam. Mana – mana negara yang dilihat mengancam keselamatan mahupun kekuatan regim Israel akan dianggap musuh oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Dunia Islam masih lagi tidak sedar bahawa betapa bahayanya regim Israel terhadap keselamatan mahupun keutuhan perpaduan Dunia Islam. Sejak jatuhnya Palestin ke tangan regim Israel pada perang Arab – Israel pada tahun 1948, sedikit demi sedikit tanah Palestin dijajah hingga seperti yang dilihat hari ini. Dalam pada itu keutuhan dan perpaduan umat serta Dunia Islam terutamanya di Timur Tengah yang dahulunya kukuh kini sudah retak menanti belah.

Dahulunya majoriti negara – negara Arab di Timur Tengah berdiri teguh dan menyokong kuat perjuangan rakyat Palestin. Namun lama – kelamaan perjuangan tersebut kian pudar malah hari ini kelihatan secara jelas beberapa negara Arab di Timur Tengah mula berbaik – baik dengan regim Israel. Ini adalah kerana pengaruh regim Israel melalui Amerika Syarikat mula menular di kalangan negara – negara Arab.

Akhbar Al-Hayaat dalam Bahasa Arab yang berpusat di London dalam satu laporannya pada tahun 2003 melaporkan strategi pecah perintah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat ke atas Iraq yang menjadi model ke atas negara-negara lain di Timur Tengah khususnya dan di Dunia Islam umumnya.

Iraq sebelum penaklukan Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang mempunyai majoriti pengikut Sunni dan diikuti oleh pengikut Syiah khususnya di sebelah Selatan Iraq. Kehidupan rakyat Iraq pada masa itu dalam keadaan baik dan harmoni walaupun berdepan dengan sekatan PBB. Setelah Iraq ditakluk, Amerika Syarikat memecah - belahkan penduduk Iraq kepada suku kaum, bangsa dan mazhab untuk melaga-lagakan mereka.

Dari sudut kaum dan bangsa, Iraq dipecahkan kepada Arab, Kurdis dan Torkuman. Dari sudut mazhab pula ia dipecahkan kepada Sunni dan Syiah. Di zaman Saddam Hussein semua kaum dan bangsa disatukan justeru menjadikan pengikut Sunni sebagai majoriti kerana lebih 90% bangsa Kurdis dan Torkuman adalah Sunni.

Namun setelah Iraq ditakluk, Amerika Syarikat memecah-mecahkan segmen ini sehingga menjadikan pengikut Syiah sebagai majoriti di Iraq dengan hanya mengambil kira bangsa Arab dan mengeluarkan bangsa Kurdis dan Torkuman. Maka jika kita lihat selepas penaklukan Iraq oleh Amerika Syarikat, berlaku perseteruan antara mazhab dan bangsa yang mengakibatkan ramai yang terkorban.

Ia satu langkah yang bijak oleh Amerika Syarikat yang menyaksikan perbalahan sesama mazhab dan bangsa itu terus berlarutan dan dalam masa yang sama Amerika Syarikat mengaut kekayaan bumi Iraq. Regim Israel pula dalam masa sama menyusup masuk ke dalam Iraq untuk mengatur strategi menggunakan Iraq sebagai platform perluasan kuasa dan kawasan seperti mana yang tertera dalam pelan “ The Greater Israel “

Namun mutakhir ini menunjukkan strategi tersebut memakan tuan, apabila Iran dengan bijak mengambil peluang dan berjaya menguasai Iraq. Begitu juga perancangan Amerika Syarikat di Syria dengan menggunakan model yang sama sepertimana di Iraq namun tidak menjadi. Kerajaan Iraq dan rakyatnya menghendaki Amerika Syarikat keluar dari negara mereka manakala di Syria, Amerika Syarikat telah hilang pengaruh dan dipinggirkan malah dijangka akan keluar dari Syria.

Iraq Selepas Pembunuhan Jeneral Qaseem Sulaimani.

Setelah 17 tahun Amerika Syarikat menakluk Iraq, negara ini terus bergolak bahkan makin teruk berbanding sebelum penaklukan Amerika Syarikat. Selepas penaklukan Amerika Syarikat ke atas Iraq, rakyat Iraq mula bangkit menentang kehadiran tentera Amerika Syarikat dan sekutunya. Bermula pada Mei 2003 sehingga April 2007 menyaksikan purata antara 2000 – 3000 serangan dilakukan setiap bulan ke atas tentera Amerika Syarikat dan sekutunya.

Kebangkitan rakyat Iraq terhadap penaklukan dan penguasaan Amerika Syarikat semakin memuncak beberapa minggu sebelum pembunuhan Qaseem Sulaimani. Rakyat Iraq menghendaki tentera Amerika Syarikat dan sekutunya keluar dari Iraq dan mereka keluar beramai – ramai ke jalan raya mendesak kerajaan Iraq supaya melakukannnya. Kemarahan rakyat Iraq memuncak apabila mereka merempuh kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad pada penghujung 2019 sambil melaungkan “ Death To America “.

Akibat daripada itu, Presiden Donald Trump menuduh Iran sebagai punca kejadian tersebut sambil memberikan amaran dan ugutan bahawa Iran akan membayar dengan harga yang tinggi akibat kejadian tersebut. Beberapa hari kemudian, Qaseem Sulaimani dibunuh ketika baru sahaja sampai di lapangan terbang Baghdad oleh tentera Amerika Syarikat atas arahan Donald Trump

Selepas pembunuhan Qaseem Sulaimani, desakan rakyat Iraq supaya tentera Amerika Syarikat dan sekutunya keluar dari Iraq semakin kuat. Tunduk kepada desakan tersebut, akhirnya pada 5 Januari 2020, Parlimen Iraq mengundi dan meluluskan supaya semua tentera asing terutamanya Amerika Syarikat dikeluarkan dari Iraq.

Donald Trump berang dengan keputusan pengundian Parlimen Iraq dan mengugut akan mengenakan pelbagai sekatan terhadap Iraq di samping mengenakan tuntutan sejumlah USD 1 Billion di atas segala usaha Amerika Syarikat selama ini. Bagaimanapun Kerajaan Iraq tetap dengan keputusannya dan akhirnya kesemua tentera asing di Iraq termasuk Amerika Syarikat akur dengan tuntutan tersebut namun pengunduran akan dilakukan berperingkat – peringkat.

Perkembangan terbaru menunjukkan Amerika Syarikat akan menggundurkan tenteranya kemudian diikuti oleh penggunduran tentera Perancis dan Jerman. Menurut sumber Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, kemungkinan besar pengunduran sepenuhnya akan dilakukan pada penghujung 2020. Buat masa ini, tentera asing termasuk Amerika Syarikat telah memulakan pengunduran mereka di beberapa kem utama di Iraq seperti di pengkalan udara Habbaniyah di sempadan Fallujah dan Al-Ramadi.

Namun sumber Reuters melaporkan bahawa Amerika Syarikat sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan ke atas tentera Al-Hasyd Al-Syaabi yang merupakan proksi Iran setelah beberapa serangan dilancarkan ke atas pengkalan tentera Amerika Syarikat di beberapa lokasi di Iraq seperti serangan ke atas pengkalan tentera Amerika Syarikat di Taji, di utara Baghdad yang membunuh 2 warga Amerika Syarikat dan seorang warga Britain.

Hari ini berlakunya pertikaman lidah antara Amerika Syarikat dan Iran. Trump memberi amaran kepada Iran bahawa mereka akan menerima nasib yang amat buruk jika menyerang kedudukan tentera Amerika Syarikat di Iraq. Malah Donald Trump turut menyebut walaupun serangan tersebut adalah daripada kumpulan militia, ia tetap daripada Iran.

Dalam masa yang sama pemimpin politik dan tentera Iran juga mengecam malah memberi amaran kepada Donald Trump dan Amerika Syarikat. Mohamad Javad Zarif, Menteri Luar Iran di antara yang lantang mengecam serta mengancam Amerika Syarikat dan Donald Trump.

Dalam tweet terbarunya sebagai membalas tweet ancaman Donald Trump, beliau mengatakan “ Don’t be mislead by usual warmongers, again, Donald Trump. Iran has friends, no one can have million of "proxies". Unlike the US which surreptitiously lies, cheats & assassinates. Iran only acts in self-defense. Openly. Iran starts no wars, but teaches lessons to those who do “ .

Bilakah akan berakhirnya pendudukan tentera asing terutamanya Amerika Syarikat ke atas Iraq ? Adakah benar tentera asing terutamanya Amerika Syarikat akan mengundurkan tenteranya dari Iraq ? Jika diperhatikan Donald Trump, beliau kerap membuat keputusan yang tidak tetap dan seorang yang tidak boleh dipercayai.

Regim Israel sudah tentu tidak mahu melepaskan Iraq kerana Iraq adalah salah satu daripada pelan awal perluasan kuasa regim Israel di Timur Tengah iaitu “ The Greater Israel “. Menurut ramai penganalisa politik, jika tumbang Iraq bermakna mudahlah untuk Amerika Syarikat terutamanya regim Israel untuk mengukuhkan kuasanya serta menguatkan cengkaman ke atas negara – negara Arab.

Sayangnya, jika Dunia Islam kuat dan bersatu – padu, sudah tentunya ini semua tidak akan berlaku. Saya percaya regim Israel akan begitu mudah ditewaskan serta Dunia Islam di Timur Tengah mampu mencorakkan perjalanan kehidupan mereka sendiri tanpa disuruh mahupun dikawal oleh sesiapa. Malah Dunia Islam di Timur Tengah akan memperolehi kemakmuran dan kesejahteraan yang berkekalan.

Sedihnya, itu semua tidak berlaku saat ini dan jauh dari jangkauan. Dunia Islam kucar – kacir dan berpecah – belah. Selagimana tiada kesedaran di kalangan Dunia Islam betapa pentingnya perpaduan, berkerjasama dan saling percaya mempercayai selagi itulah Dunia Islam akan jatuh ke lembah kehinaan. Doakan supaya umat dan Dunia Islam bersatu seterusnya memperolehi kejayaan di dunia dan juga di akhirat.

Islam Memimpin Perpaduan.

***Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo