NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mendepani Normal Baharu Pasca COVID19 – Syahir Sulaiman


oleh: Syahir Sulaiman

Situasi pandemik COVID-19 yang sedang dihadapi dunia pada hari ini, boleh digambarkan seperti berdepan dengan ‘bahaya yang dirasai dan bahaya menanti’.

Bermula dengan krisis wabak yang menjejaskan nyawa dan keselamatan, COVID-19 telah bertukar menjadi ‘krisis berkembar’ yang melumpuhkan seluruh rantaian ekonomi negara dan dunia.

Menurut Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, ekonomi dunia kini berada dalam kemelesetan dan impak penularan COVID-19 kepada ekonomi adalah lebih buruk daripada krisis kewangan global sebelum ini.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pula menyifatkan COVID-19 yang kini menjadi pandemik adalah krisis global terburuk sejak Perang Dunia Kedua, dan bergantung kepada sejauh mana virus ini boleh mengancam kehidupan.

Maka tidak hairanlah COVID-19 kini digelar sebagai ‘reset button’ kepada dunia.

Normal baharu.

Dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keutamaan kerajaan adalah untuk mengekang penularan wabak dan menjaga kebajikan rakyat.

Pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan telah ‘disuntik’ oleh Kerajaan dan BNM bagi memastikan aktiviti ekonomi negara dan rakyat terus bergerak walaupun perlahan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, amalan yang diterapkan ketika PKP bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 perlu diteruskan, bukan norma biasa lagi seperti dahulu.

Kepatuhan semua pihak adalah penting bagi mematahkan rantaian jangkitan wabak dengan segera, supaya negara dapat memasuki fasa pemulihan kesihatan (health recovery) yang menjadi penentu utama kepada pemulihan ekonomi negara (economic recovery).

Pasca PKP.

Sebaik sahaja pelaksanaan PKP berakhir, usaha pemulihan yang lebih mencabar akan bermula.

Pertama, proses ujian, saringan dan kuarantin yang berterusan.

Proses terpenting dalam mengekang penularan virus COVID-19 ini perlu terus dipertingkatkan dalam tempoh 1-2 bulan pertama, mengikut lokaliti dan kluster yang lebih terarah.

Kerajaan juga perlu memastikan bekalan penutup muka dan sanitiser dapat memenuhi permintaan awam dalam pasaran, yang akan bersaing dengan bekalan untuk petugas barisan hadapan yang lebih berisiko, di samping keperluan untuk meningkatkan kapasiti rawatan dan perubatan di hospital kerajaan.

Ini bermakna kesihatan awam akan kekal menjadi keutamaan kerajaan, ‘at what cost’.

Kedua, tabiat baharu dalam penjagaan kebersihan dan penjarakan sosial.

Rakyat Malaysia perlu membudayakan amalan membasuh tangan, tidak bersalaman apabila bertemu, sentiasa memakai penutup muka, dan mengelakkan perhimpunan ramai. Malah umat Islam juga perlu bersedia dengan kemungkinan tiada solat Tarawih secara berjemaah dalam bulan Ramadhan ini (termasuklah bazar Ramadhan).

Malah dengan situasi ekonomi yang tidak menentu, rakyat perlu mengubah gaya hidup dengan langkah penjimatan, selain terus menggerakkan bantuan kebajikan oleh badan NGO, sektor korporat dan Baitulmal untuk membantu golongan yang memerlukan, khususnya segmen B40, miskin bandar dan pekerja upah harian.

Ketiga, plan pemulihan usahawan dan majikan PKS.

Selain insentif yang telah diumumkan dalam pakej PRIHATIN, suatu plan pemulihan (business recovery plan) yang lebih mampan perlu diusahakan, melibatkan bantuan pemasaran (cth. platform e-dagang), pengecualian cukai, penangguhan bayaran dan insentif untuk menggalakkan PKS mengurangkan kebergantungan buruh asing dengan menggajikan warga tempatan.

Segmen terpenting yang menjana 2/3 peluang pekerjaan dan menyumbang kepada 1/3 KDNK ini wajar diberikan perhatian khusus dalam agenda pemulihan ekonomi negara.

Keempat, pendigitalan ekonomi dan perkhidmatan.

Perubahan gaya hidup akibat COVID-19 secara tidak langsung telah menjadi pemangkin kepada pendigitalan ekonomi dan perkhidmatan secara lebih meluas (cth. e-commerce, e-learning, e-meeting, e-wallet).

Peralihan kepada platform digital ini perlu lancar (seamless) dan tersedia lebih awal supaya urusan kehidupan tidak tergendala, antaranya proses pembelajaran di sekolah dan IPT, urusan kerja di pejabat (work from home), serta jualan makanan dan barangan keperluan (e-delivery).

Kelima, reformasi pendekatan ekonomi tradisi dan alternatif.

Disiplin ekonomi yang selama ini dianggap sebagai ‘ekonomi alternatif’ wajar mendapat tempat dalam arus perdana, antaranya Ekonomi Islam, Ekonomi Alam Sekitar, Ekonomi Institusi, Ekonomi Perangai, dan Ekonomi Kebahagiaan, seterusnya memberi dimensi baharu ke arah mewujudkan keadilan ekonomi, jaminan sosial dan jaminan makanan yang lebih lestari dalam negara.

Keenam, meningkatkan kepakaran sains dan teknologi.

Usaha penerokaan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi perlu terus dipergiatkan bagi memastikan kesiapsiagaan negara berada di tahap tertinggi, seterusnya memanfaatkan kepakaran dalam lapangan digital dan IR4.0 ketika berdepan dengan krisis berskala besar secara lebih efektif (cth. biotech & life science, AI & machine learning, robotics & drone).

Ketujuh, globalisasi dan integrasi ekonomi.

Pasca COVID-19, setiap negara akan lebih menumpukan kepentingan negara sendiri dalam aspek kesihatan, ekonomi dan politik, termasuklah mengambil pendekatan ‘protectionism’ terhadap segala sumber dan pengeluaran dalam negara (minyak, komoditi, makanan).

Ketidakseimbangan ini akan meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan blok bersama (cth. ASEAN, EU, OIC), seterusnya mengubah peta dagangan dunia dan lanskap persaingan geopolitik di peringkat antarabangsa.

Realiti baharu.

Pasca COVID-19 dunia akan memasuki fasa kelaziman baharu (new normal). Keutamaan negara juga akan beralih kepada Kesihatan Awam, Sekuriti Makanan, Kelestarian Alam, Keadilan Sosial dan Integrasi Ekonomi.

Berdepan dengan fenomena luar biasa ini, negara perlu segera mengambil langkah pemulihan secara konkrit dan komprehensif, antaranya melalui pendekatan 5R (resolve, resilience, return, reimagination, reform) dalam pelbagai spektrum kehidupan.

Namun sebagai individu kita tidak boleh menyerahkan segalanya kepada kerajaan.

Ini kerana tiada yang terkecuali dengan normal baharu ini, dan kita perlu meningkatkan keupayaan diri untuk berdepan dengan realiti baharu yang lebih mencabar.


Day#22 MCO-extended

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo