NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Laut China Selatan: China, AS perlu hormati undang-undang maritim antarabangsa


KUALA LUMPUR, 26 Apr – PAS menggesa semua pihak agar menghormati garis sempadan perairan negara-negara ASEAN dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) setiap negara yang berada dalam lingkungan kawasan Laut China Selatan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pencerobohan mana-mana pihak terhadap kawasan tersebut adalah dianggap sebagai mencabuli undang-undang maritim antarabangsa dan kedaulatan sesebuah negara.

“PAS memandang serius laporan tentang kapal penyelidikan milik China, Haiyang Dizhi 8 yang berada berdekatan dengan kapal penerokaan milik Petronas yang dipercayai berada di kawasan perairan milik Malaysia,

“Ia boleh dianggap sebagai satu usaha untuk menimbulkan intimidasi mahupun provokasi terhadap Petronas dan juga pencerobohan terhadap perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, kerajaan China perlu melihat persahabatannya dengan negara-negara ASEAN sebagai satu kaedah untuk menyelesaikan masalah secara diplomasi dan perundingan tentang tuntutan bertindih Laut China Selatan dan kepulauan di sekitarnya.

“Sebarang pertikaian berpanjangan dan konfrontasi tidak akan menguntungkan mana-mana negara dan pihak yang berkepentingan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, semua pihak diminta mematuhi undang-undang antarabangsa yang telah dipersetujui dan ditetapkan sama ada oleh UN Convention on the Law of the Sea ( UNCLOS ) dan juga keputusan timbang tara oleh International Court of Justice ( ICJ) serta the International Tribunal for the Law of the Sea ( ITLOS).

“Jika semua pihak mematuhi dan bertanggungjawab terhadap undang-undang dan juga keputusan yang ditetapkan, sebarang tuntutan bertindih mampu diselesaikan secara baik dan aman begitu juga pertikaian yang berpanjangan serta lebih buruk mampu dielakkan,

“Laut China Selatan dan kawasan kepulauan di sekitarnya perlu dikekalkan sebagai zon selamat dan bebas oleh semua pihak memandangkan ia adalah salah satu laluan perdagangan utama dunia, disamping kaya dengan hasil lautan seperti perikanan dan juga hasil minyak dan gas,” tegas Abdul Hadi.

Selain itu, jika berlaku sebarang ancaman di perairan tersebut serta kawasan kepulauan di sekitarnya, ia bakal menjejaskan ekonomi dunia serta negara-negara di sekitarnya dan juga nelayan-nelayan yang bergantung kepada hasil laut untuk menampung keperluan ekonomi mereka.

Manakala dengan kehadiran 2 buah kapal perang milik Amerika Syarikat juga mampu memburukkan keadaan serta mungkin menimbulkan intimidasi kepada China.

“Perseteruan dua kuasa besar dunia antara Amerika Syarikat dan China tidak harus dibabitkan ke pentas ASEAN memandangkan negara-negara ASEAN mengamalkan sikap saling menghormati hak, diplomasi dan perundingan dalam mengekalkan keamanan serantau,

“Berpadalah dengan ancaman pandemik COVID-19 yang kini perlu dihadapi dengan sebaiknya oleh semua negara. Ancaman nyawa dan ekonomi rakyat terbanyak wajar diberi keutamaan oleh semua pihak,” ujarnya.

Oleh demikian, PAS menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang antarabangsa dan kedaulatan antara negara.

“Ruang diplomasi dan perundingan harus diutamakan dalam usaha untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dan tuntutan,

“Kekalkan dan hormati kedaulatan negara-negara ASEAN dan perairannya. Malaysia dan ASEAN harus berusaha untuk menjamin keamanan serantau, menjaga kepentingan dan kedaulatannya,” katanya. – AirTimes

Sumber: https://www.airtimes.my/2020/04/26/laut-china-selatan-china-as-perlu-hormati-undang-undang-maritim-antarabangsa/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo