NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kawal pergerakan, kekal berkebajikan (Siri 1)


oleh Norzana Razaly

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh Perdana Menteri Malaysia bagi mencegah penularan wabak Coronavirus (COVID-19) mulai 18 Mac sehingga 14 April dan dilanjutkan lagi sehingga 28 April ini tidak sekali-kali menghalang mana-mana pihak untuk terus berbuat kebajikan.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Kelantan menyambut baik arahan tersebut dengan mengehadkan pergerakan rakyat melalui kawalan lalu-lintas oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tanpa membantutkan agenda kebajikan negeri terhadap rakyat.

Meskipun dalam keadaan pergerakan terhad akibat mendepani ujian tidak terduga, YAB Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub tetap meneruskan agenda kebajikan demi meringankan bebanan tanggungan rakyat berbilang bangsa di Kelantan.

Menerusi sidang media di Kota Darulnaim pada 21 Mac lalu, beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Kelantan menyediakan peruntukan khas RM5 juta bagi menangani penularan wabak COVID-19).

Bayaran insentif sebanyak RM300 bagi satu keluarga pesakit golongan B40 yang positif COVID-19 dan RM500 pula diberikan kepada waris mangsa COVID-19 yang meninggal dunia, bukan peserta Skim Kifaalah Kerajaan Negeri Kelantan.

Di samping itu, tambahan bantuan sekali beri (one off) RM300 kepada buruh dan pemandu jentera Majlis Daerah dan Pejabat Tanah Jajahan, penghulu, penggawa, kakitangan pejabat penggawa dan penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta menanggung dua bulan sewa premis milik Kerajaan Negeri dan agensi.

Rangsangan ekonomi

Seterusnya, inisiatif bagi pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Negeri Kelantan berjumlah RM 29 juta pula dipersetujui melalui persidangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 8 April 2020 dengan ketetapan berikut;

1. Menyalurkan Peruntukan Khas kali ketiga sebanyak RM20 ribu sebagai Bantuan Rakyat kepada semua Pusat Khidmat DUN (PKD).

2. Pemberian tunai RM 500 (secara one off) kepada penjawat awam Negeri Kelantan dan RM 250 bagi kakitangan Lantikan Politik.

3. Pengecualian sewa premis Kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Selama dua (2) bulan bagi Peniaga Kecil Sahaja (sewa tersebut akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

4. Elaun Khas RM 300 (secara One Off) kepada petugas barisan hadapan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam sektor pembersihan dan penguatkuasaan termasuk penghulu, penggawa dan kakitangan pejabat penggawa.

5. Pemberian Bantuan Belanjawan Mengurus kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengimbangi jangkaan defisit PBT disebabkan impak pengecualian sewa premis serta operasi tambahan Covid-19 yang ditanggung.

Agihan Makanan

Agenda kebajikan seterusnya ialah pengagihan bekalan makanan asas kepada rakyat berbilang bangsa oleh para pimpinan negeri istiqamah dipergiatkan melalui saluran yang betul melalui penghulu atau penyelia DUN dan mengikut tatacara seperti yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu dengan memakai topeng dan memastikan penjarakan sosial sejauh satu meter.

Sehubungan itu, pada 6 April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan,Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan merangkap ADUN Temangan juga merebut peluang merancakkan lagi agenda kebajikan melalui agihan sumbangan keperluan asas bagi tempoh PKP fasa kedua kepada warga DUN Temangan terutamanya kepada masyarakat Tionghua sekitar Bandar Temangan dan Kampung Cina, Machang Kelantan.

Agihan dari rumah ke rumah hari ini diteruskan oleh Penghulu Tanpa Mukim (wakil kaum), Encik Tan Keng Cheng di sekitar Bandar Temangan dan En Tan Hock Seng (Ahli Majlis) bagi zon Kampung Cina.

Inisiatif kepada OKU

Kerajaan Negeri Kelantan juga memberi inisiatif wakaf katil kepada pesakit terlantar di setiap DUN dan bermula 10 April lalu mesin bantuan pernafasan turut diwakafkan.

Penyerahan wakaf mesin bantuan pernafasan pertama kalinya telah diserahkan kepada pesakit paru-paru kronik dan OKU fizikal iaitu Mohd Amiruddin Mohammad, 42, oleh wakil YB Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan di Melawi, Bachok pada 10 April lalu.

Susulan itu, pihak JKM telah meluluskan Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300 bersama bakul makanan asas dan Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) RM350 sebulan disyorkan bermula Mei 2020 melalui isteri beliau bagi meringankan beban yang dihadapi keluarganya.

Penghargaan non-material

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita, YB Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi, mengiringi Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga , YB Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff dalam siri Program Inspirasi dari Rumah bersama Wanita dan OKU dalam tempoh PKP.

Lawatan ke kedai pemuda autisme, Muhammad Farid Farhruddin bin Md Fauzan pemilik Farids Trading selaku pengusaha premis perniagaan makanan, roti, kek dan kuih-muih tradisional di Kampung Pasir Tumbuh, Kota Bharu Kelantan sebagai kebajikan bersifat penghargaan terhadap sumbangan roti yang diinfakkan kepada petugas barisan hadapan dan pesakit yang dikuarantin pada tempoh PKP Fasa 1 dahulu.

Dato’ Siti Zailah juga turut melawat pusat jahitan Peralatan Perlindungan Peribadi (seragam PPE) di bawah program Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Dun Pasir Pekan pada 9 April lalu.

Wira barisan hadapan

Pengorbanan masa, tenaga dan rasa juga adalah elemen kebajikan yang boleh disumbangkan kepada masyarakat ketika menghadapi ujian begini.

Setinggi-tinggi pujian dan penghargaan patut dikreditkan kepada gabungan profesional seperti pihak Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pihak Berkuasa Tempatan dan seluruh jentera kerajaan persekutuan dan negeri termasuk NGO.

Mereka adalah wira sejati dan pengorbanan mereka dalam membantu kerajaan ketika musibah ini wajar dijulang tinggi. Tidak terkecuali kepada golongan pengamal media juga adalah antara barisan hadapan yang sewajarnya dikenang jasa mereka khususnya ketika membuat liputan semasa berkaitan Covid-19 secara komited dan konsistan tanpa berkira.

Penyampaian berita yang sahih dan tepat dan informasi positif dari masa ke semasa amat signifikan kepada rakyat kerana kerajaan hanya mampu memberi arahan dan media lah berperanan menghebahkannya kepada rakyat melalui pelbagai platform.

Sabar, syukur dan doa

Manakala peranan rakyat pula ialah berbuat berkebajikan dengan bersabar mematuhi segala arahan kerajaan dalam mengharungi ujian ini serta bersyukur dan berterima kasih atas bantuan yang diterima baik dalam apa bentuk sekalipun tanpa sebarang rungutan.

Sementara keadaan negeri dan negara masih terkawal maka sentiasalah kita berdoa agar ujian ini segera diangkat Allah SWT dengan mengembalikan sejahtera ke seluruh dunia.

#kawalpergerakankekalberkebajikan
#pergiattaubatpertingkatmunajat
#hadangmusibahhidangmahmudah
#undangmaghfirahulangzikrullah

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2648870358680648

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo