NOTIS:
Dari Tokong Ke Ateis, Dari Ateis Ke Gereja, Dari Gereja Ke Masjid
Ini kisah penghijrahan sahabat saya Ta Honn Yu, diceritakan dibawah ini bagaimana perjalanannya dapat membawa kembali kepada fitrah:
Saya Ta Honn Yu, dan saya dilahirkan di dalam keluarga yang beragama Buddha. Pada umur 5 tahun saya telah dijadikan penganut agama Buddha ataupun Tao ataupun boleh dikatakan Konfusian. Saya pun tidak jelas sebenarnya, sebab kebanyakkan kepercayaan orang Cina di Malaysia sebenarnya bersifat sinkretik (bercampur) diantara tiga agama itu. Seawal pada umur 5 tahun juga, bapa saya telah meninggal dunia, dan saya percaya upacara ke atas kematiannya itu dijalankan mengikut agama Buddha dan Tao.
Sepanjang saya menjadi seorang penganut agama Buddha, banyak persoalan yang ditimbulkan dalam minda saya mengenai dunia ini. Antara persoalannya adalah: kenapa saya dilahirkan di dunia ini? Bagaimana dunia ini muncul? Ke mana saya pergi selepas saya meninggal dunia?
Saya sentiasa mengikuti ibu saya menghadiri kelas agama Buddha yang kuliah agama itu disampaikan oleh sami-sami yang dikatakan mahir dalam agama Buddha dan beliau diiktiraf oleh ramai pengikut agama Buddha di Malaysia. Secara langsung dan juga tidak langsung, saya telah mempelajari banyak juga mengenai agama Buddha sehingga dapat memahami prinsip dalam agama Buddha seperti : 4 Noble Truth (Dhukka, Samudaya, Nirrodha, dan juga Magga) dan juga 8 Jalan Kebenaran (Right view, right speech, right conduct and sebagainya), kitaran karma dan samsara iaitu setiap manusia akan menanggung akibat setiap perbuatan dan perbuatan itu akan mempengaruhi kelahiran kembali (reinkarnasi) di masa hadapan.
Tetapi apa yang menjadikan saya ingin keluar daripada agama Buddha ialah apabila saya semakin meningkat remaja sehingga berumur 12 tahun iaitu pada tahun 2006. Tindakkan ini bukan disebabkan sikap keras kepala saya tetapi ia lebih kepada cara rasional dan tanggapan saya bila mengharapkan kepada sesebuah agama. Ini kerana setiap kali perayaan seperti Tahun Baru Cina, Ching Ming, Perayaan Bulan, saya melihat ibu saya tetap akan pergi membuat upacara untuk menyembah ayah yang sudah meninggal. Setiap kali ibu saya melakukan ritual itu dia akan membakar wang kertas neraka (Hell Bank Note) yang mana dipercaya apabila dibakar kertas itu maka roh yang meninggal akan dapat menggunakannya di alam neraka.
Saya sangat tidak puas hati kerana mengapa ayah saya akan masuk neraka sedangkan ibu saya sendiri sentiasa cakap ayah saya adalah seorang yang baik, tidak minum arak, tidak merokok, tidak pernah melepaskan emosi kepada ibu, meyayangi isteri dan juga anak, bekerja keras dan sebagainya, bahkan beliau juga mengikut ajaran agama Buddha yang tegar. Waktu kami membersihkan rumah pun, kalau ada labah-labah dia akan minta labah-labah itu pergilah dari sana, selagi labah-labah itu tidak beralih dari sana, ayah saya tidak akan memusnahkan sarang-sarangnya supaya tidak mencederakan labah-labah yang berada di situ.
Ritual mengirim wang dan barangan berbentuk kertas ini antara faktor menguatkan saya untuk tidak menjadi penganut agama Buddha lagi. Selepas saya meninggalkan agama Buddha, saya masih mengekalkan nilai-nilai murni yang disampaikan oleh guru dan juga sami-sami Buddhis yang pernah saya belajar, sebab moral dan nilai murni itu penting bagi saya.
Oleh kerana dalam agama Buddha memang tidak pernah berbicara tentang konsep ketuhanan, maka secara langsung saya menjadi seorang aties. Saya tidak percaya kepada kewujudan Tuhan dan merasa ritual dan kepercayaan dalam agama yang tidak masuk akal itu adalah tidak logik. Walaupun ketika kanak-kanak dulu saya pernah menghadiri ke Sunday Class yang dianjurkan oleh agama Kristian, pun begitu saya telahpun menolak konsep ketuhanan yang hanya berpegang kepada sains dan logik sahaja. Walaupun begitu, ke-ateis-an saya ini tidak membawa kepada mengkritik dan menghina mana-mana agama.
Sepanjang saya menjadi seorang Ateis ketika berusia 12 hingga 16 tahun saya merasa kekosongan dalam jiwa saya. Seperti remaja lain yang tidak memikirkan erti makna kehidupan, rutin harian saya dihiasi dengan kerja-kerja rumah, mengulangkaji pelajaran, bermain permainan video, penglibatan dalam kokurikulum sekolah dan lain-lain.
Meskipun saya telah meraih pelbagai kejayaan termasuk dalam bidang akademik dengan mencapai 6A sewaktu UPSR dan 8A ketika PMR, saya tetap merasa tidak berpuas hati diatas pencapaian saya.
Lama-kelamaan, jiwa seorang remaja yang tidak dipandu dengan pengaruh dan tarbiah daripada sebuah agama telah mempengaruhi diri saya untuk lebih bersifat agresif dari tutur bicara, terutamanya ketika saya berhadapan dengan insan yang bergelar Ibu. Namun keadaan ini telah berjaya mengubah kehidupan saya secara drastik apabila saya memeluk agama Kristian
Dari Ateis Kepada Kristian
Kisah perjalanan saya yang menjerumuskan saya untuk memeluk Kristian bermula pada Hari Krismas tahun 2010. Di mana terdapat sekumpulan remaja (ahli gereja) berumur sekitar 20-30-an dari Kuala Lumpur datang ke kampung halaman saya di Muar, Johor untuk menyampaikan agama Kristian kepada remaja muda macam saya.
Pada malam Krismas tersebut, mereka menayangkan kepada saya video bagaimana Jesus Christ disalib dan macam mana dia menjerit menderita dalam bahasa Aramik (Hebrew-Syrian). Sungguh menyentuhkan hati saya, dan saya kata kenapa ada seorang yang tidak kenal saya begitu mengambil perhatian tentang dosa-dosa yang telah saya lakukan dan rela mati disalib demi menghapuskan dosa saya?
Pada saat itulah saya mula mengenali siapalah tuhan yang nama Jehovah ini yang dianggap Tuhan Bapa, dan siapakah Jesus ini. 5 tahun saya menjadi seorang Kristian dari tahun 2011 hingga 2016, 3 tahun saya menjadi seorang Mubaligh Kristian ataupun lebih dikenali sebagai Christian Missionary, yang sepenuh masa dan waktu itu saya belajar di Universiti Malaysia Sabah. Pada waktu itu saya menukar nama saya dari Ta Honn Yu kepada Robert.
Tugas saya selama di dalam Universiti itu selain belajar adalah untuk menyebarkan agama Kristian, termasuklah orang Melayu umat Nabi Muhammad SAW. Walaupun saat itu saya tahu perkara ini tidak dibenarkan di sisi undang-undang Malaysia. Mungkin kalian akan terkejut mengapa seorang mahasiswa akan mengambil tindakan tersebut, tetapi bagi saya pada waktu itu, saya rasa amat kesian kepada rakan-rakan saya yang beragama Islam.
Persepsi saya terhadap Islam adalah agama ini amat susah untuk diamalkan dan penuh dengan larangan. Waktu itu saya membulatkan hati untuk menyelamatkan rakan-rakan baik saya daripada api neraka, maka saya menyampaikan agama Kristian kepada mereka, dalam keadaan yang tidak diketahui oleh orang ramai. Kawasan tanggungjawab saya ialah kampus UMS, ketuk-ketuk pintu sebarkan Bible dan mengajak orang ke gereja itu adalah rutin biasa.
Dalam kumpulan ataupun Cell Group, saya pun dilantik untuk menjadi pemimpin dalam kumpulan dan sentiasa memotivasi serta peringatan untuk menjadi seorang Kristian yang baik kepada rakan-rakan seagama saya. Dalam kehidupan harian, saya akan cuba menyampaikan kepada kawan yang bukan Kristian dan terangkan kepada dia siapa tu Elohim (Jehovah) dan siapa itu Jesus Christ.
Detik Bertemu Dengan Islam
Apa yang menarik, apabila saya berusaha menyampaikan kepada muslim bahawa Jesus is the Son of God, dia adalah anak Tuhan. Mereka sedikit pun tidak goyah atas pegangan mereka. Ini buat saya agak teruja dan saya ingin tahu bahawa apa yang dikatakan oleh Tuhan mereka dan juga Nabi Muhammad itu dalam buku yang penuh dengan tulisan ‘taugeh’ yang saya tidak pernah tahu walaupun satu huruf.
Cerita yang amat menarik ialah apabila kawan saya Hau Sui Chee kongsikan kepada saya tentang Islam apabila saya kongsikan kepada dia mengenai Kristian. Dan dia bertanya kepada saya "Ta, kamu minat sangat dengan agama, kenapa tidak cuba untuk mencari tentang Islam?" Saya tergamam dan tidak tahu berkata apa-apa untuk menghadam cadangan sahabat saya yang beragama Buddha itu.
Ini kerana kawan saya Hau Sui Chee ini dia sangat minat dengan agama Islam dan juga pernah membaca beberapa surah dalam al-Quran dan juga sentiasa menonton rancangan TV yang berkaitan dengan tamadun Islam. Dari detik itulah membuatkan saya terfikir untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam.
Ada juga kawan Muslim saya bernama Nur Aqilah binti Abdullah bertanya kepada saya tentang perbezaan Bible pada hari ini dengan Bible zaman dahulu. Soalan beliau itu sangat menarik bagi saya dan menyebabkan saya untuk berfikir panjang. Kerana saya sendiri perasan bahawa Bible terdapat banyak versi untuk setiap kali penterjemahan dan setiap versi yang berbeza akan menggunakan perkataan yang berbeza di atas ayat yang sama.
Persoalan itu telah mencabar diri saya dan membuat diri saya bersemangat untuk mendapat jawapan dari persoalan tersebut. Lalu saya cuba mencari jawapan dan juga cuba untuk ‘menyerang’ Islam agar saya dapat berdakyah kepada rakan muslim saya.
Pada permulaan, saya membeli beberapa buku yang membandingkan agama Islam dan juga Kristian, antaranya ialah "Jesus (Isa a.s) seorang Muslim?" dan juga "Adakah Jesus (Isa a.s) Tuhan?" yang kandungannya adalah debat di antara Ahmad Deedat dengan Pastor Stanley. Saya juga banyak menonton rakaman debat dengan bantuan YouTube, antara tokoh dalam senarai carian saya ialah Dr Zakir Naik dan juga Sheikh Ahmad Deedat.
Pada permulaannya, saya membuat segala usaha ini supaya dapat mencari kelemahan dalam hujah tokoh Islam ini dan memenangkan hujah sebagai seorang mubaligh Kristian untuk mengkristiankan orang Islam di sekitar saya. Walaubagaimanapun, semakin saya mempelajari tentang Islam melalui Quran dan juga Hadis, semakin terkesan di hati saya.
Kerap kali saya bertanya kepada diri saya, adakah Islam ini agama yang sesat seperti yang diceritakan oleh pihak gereja saya? Adakah agama Islam adalah agama yang saya mencari selama ini? Cuba bayangkan, dengan membaca Quran tanpa berbincang dengan Muslim sudah mampu memberi kesan yang bergitu besar dan positif, jika Muslim yang datang menerangkan Quran dan Tuhan kepada saya, apa yang akan jadi? Kemungkinan kerja dakwah di Malaysia akan semakin pesat berkembang.
Selama tempoh itu saya terganggu dengan persoalan sebegini yang asyik bermain di dalam benak kepala saya. Dan pada tahun tersebut adalah tahun ‘kemurungan’ bagi saya. Saya terpaksa fokus kepada pengajian saya, pada masa yang sama saya putus cinta dan beserta dilema mencari Tuhan. Banyak malam saya tidak boleh tidur dan tidak ada selera makan. Saya begitu tertekan sekali. Bagi memastikan badan saya perlu makan, saya memesan makanan paling pedas walau saya tidak suka makanan pedas. Ini supaya bila mulut kepedasan, ia akan memaksa saya menyumbat nasi ke mulut untuk menghilangkan rasa pedas itu.
Tatkala saat saya tidak boleh tidur di waktu malam, saya membaca terjemahan al Quran yang dihadiahkan oleh sahabat saya, Nur Aqilah. Semakin lama saya berinteraksi dan menghadam terjemahan al Quran itu sebenarnya ia semakin mencabar kepercayaan saya sebagai seorang Kristian. Apabila membaca surah Maryam dan memerhati dialog Allah kepada Maryam serta rasul-rasul yang lain, saya percaya sepatutnya bahasa Allah kepada rasulnya seperti yang digambarkan di dalam al Quran. Tidak seperti Bible yang banyak menghurai perkara teknikal, memiliki ayat lucah, dan ia lebih kepada penceritaan berbentuk sejarah berbanding dengan kitab Allah.
Ketika saya melihat ceramah Dr Zakir Naik di YouTube, bahawa dalam Bible, Jesus Christ tidak pernah kata dirinya adalah Tuhan. Saya tidak percaya semasa terdengar penyataan ini, sehinggalah saya semak balik Bible berkali-kali. Ternyata benar, sesungguhnya Jesus Christ tidak pernah kata dirinya itu sebagai Tuhan.
Secara jujurnya, saya telah menunggu hampir 20 tahun untuk mengetahui kebenaran ini, tidak terdapat seorang Muslim pun yang datang untuk kongsikan Islam kepada saya, sehinggalah saya cuba berkongsi agama Kristian kepada rakan muslim saya lalu dia membalas respon itu sehingga membuat saya berfikir.
Selama saya menjadi seorang penganut agama Kristian, saya sememangnya bukan jenis yang akan terima bulat-bulat apa yang orang kata, biarpun dia paderi pun. Semua perkara yang dinyatakan kepada saya mengenai hal-hal agama, saya akan minta rujukan daripada kitab agama, sama ada ianya terdapat dalam Bible ataupun daripada penyelidikan agamawan yang jelas cara hujahnya. Contohnya isu sambutan hari Kristmas, saya memilih pandangan di dalam Kristian untuk tidak menyambut sebab ia bukan anjuran di dalam Bible tetapi pengaruh dari agama pagan.
Setelah saya mengambil masa 3 bulan untuk membaca beberapa bahagian dalam Quran dan hadis-hadis tertentu, hati saya telahpun percaya bahawa al Quran itu antara salah satunya wahyu daripada Tuhan, dan merupakan mesej yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai seorang nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT. Setiap kali saya ambil wuduk, saya hanya berani baca doa lepas wuduk dalam bahasa Melayu sahaja, walaupun saya tahu bahawa syahadah itu akan menjadikan saya sebagai seorang Muslim, tetapi saya masih tidak berani dan tidak yakin untuk mengucapnya dalam bahasa Arab, sehinggalah satu panggilan telefon yang mengubah kehidupan saya, iaitu kawan kepada bapa Nur Aqilah yang mesra dipanggil Pak Cik Yahya.
Ketika beliau menghubungi saya, saya berada di dalam kelas dan untuk menjawab panggilan itu saya terpaksa keluar dan pergi ke tempat letak kereta bersebelah dengan kelas saya. Beliau bertanya kepada saya tentang tauhid, nabi Muhammad dan sebagainya dan jawapan saya bagi itu membuatkan beliau menyebut “sebenarnya kamu sudah muslim, kerana kepercayaan kamu adalah bertepatan dengan Islam”. Saya hanya menjawab “saya tahu”, setelah beberapa kali beliau menyakinkan saya, maka saya pun membuat keputusan untuk mengucap dua kalimah syahadah di situ juga. Hanya dengan panggilan telifon.
Pada keesokkan hari saya mendaftar di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada dua haribulan Jun tahun 2016. Saya memilih nama Ahmad Hafizh Amiruddin Ta Abdullah. Sebab itu jika orang bertanya nama saya, saya akan menjawab Robert Ta Honn Yu Ahmad Hafizh Amiruddin Ta Abdullah itulah nama saya sepanjang perjalanan menemui tiga agama ini.
Kini alhamdulillah, sudah dua tahun lebih saya memeluk agama fitrah ini. Semangat saya untuk menyebarkan kebenaran ini sentiasa membuak-buak. Sekarang ini saya sedang menyiapkan tesis Ijazah Sarjana di Universiti Teknologi Malaysia yang bertajuk Ketabahan Saudara Baru Cina Dalam Menghadapi Cabaran Kehidupan Di Malaysia.
Pada masa yang sama juga saya bekerja sebagai pendakwah sepenuh masa di Multiracial Reverted Muslims bersama Brother Firdaus Wong dan saya khusus bahagian penterjemahan dalam Bahasa Melayu-English-Mandarin.
Doakan saya agar istiqamah di atas jalan ini. Amin ya Rabb
Nukilan asal Ustaz Ahmad Iqram Mohamad Noor
Sumber: https://www.facebook.com/muhammad.azim.7355/posts/10212533917335146
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment