NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19: PKP tidak mampu hapus jangkitan secara menyeluruh - KP Kesihatan



PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memaklumkan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh menghapuskan secara menyeluruh penularan wabak COVID-19.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masyarakat perlu bersedia menghadapi virus berkenaan untuk tempoh yang lebih panjang.

Bagaimanapun, kata beliau, keupayaan dan pencapaian Malaysia dalam melandaikan lengkung dan
mengawal penularan virus COVID-19 adalah kejayaan bersama rakyat dan kerajaan.

"Pelaksanaan PKP di negara ini merangkumi empat pelan tindakan utama, di mana dua tindakan adalah oleh kerajaan dan dua lagi tindakan adalah melibatkan masyarakat umum.
"Tindakan yang telah diambil kerajaan adalah kawalan pergerakan dan kawalan sempadan. Kawalan sempadan diperlukan untuk mengurangkan kes-kes import COVID-19 memandangkan lebih 180 buah negara yang terbabit dengan jangkitan ini," katanya dalam sidang media harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, hasil kawalan pergerakan juga dapat dilihat daripada pelaksanaan PKP tahap 1, 2 dan 3 menyaksikan pengurangan kebolehjangkitan COVID-19.

"Kementerian Kesihatan akan meneruskan aktiviti-aktiviti pembendungan dan pengawalan namun, penglibatan aktif rakyat adalah amat penting sekali.

"Justeru, dua tindakan yang perlu diteruskan rakyat dan penduduk adalah dengan mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter dan menjaga tahap kebersihan diri terutama kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman," jelasnya.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-pkp-tidak-mampu-hapus-jangkitan-secara-menyeluruh-kp-kesihatan-240574

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo