NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Covid 19 - Malaysia catat penurunan terbaik, namun rantaian masih belum putus


STATISTIK DAN UNJURAN COVID-19 SELURUH DUNIA

MALAYSIA CATAT PENURUNAN TERBAIK, NAMUN RANTAIAN MASIH BELUM PUTUS

oleh:(Alang Ibn Shukrimun)
14 Syaaban 1441
9 April 2020

1. Malaysia merupakan negara ASEAN yang memiliki kes tertinggi. Kedudukan terkini Malaysia pada tangga ke 31, Filipina (34), Indonesia (36) dan Thailand (42). Malaysia juga pada tangga ketiga dikalangan OIC selepas Iran (7) dan Turki (9).

2. Walaubagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita boleh dikatakan antara yang terbaik di dunia. Dengan populasi 31 juta rakyat, kita berjaya mengekang penularan lebih baik dari negara yang memiliki populasi yang lebih rendah seperti Portugal, Austria, Belanda, Switzerland, Belgium, Israel, Sweden, Norway, Australia, Ireland, Denmark, Chile, Czechia dan Romania. Daripada tangga ke 17, kita berjaya turun ke tangga 31 hari ini.

3. Kerajaan sedang berusaha untuk tidak menyambung PKP selepas 14 April ini. Namun pertambahan kes masih lagi berlaku secara konsisten. Maka agak sukar untuk menghentikan PKP secara terus pada tarikh tersebut.

4. Matlamat utama PKP adalah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Yang memiliki kontak atau sejarah perjalanan di negara tertentu tidak mendekati orang lain supaya jika mereka positif, mereka tidak menjangkiti orang lain. Ia sebahagian dari falsafah asas kuarantin yang diperkenalkan Islam.

5. Apabila masih terdapat kes baharu selepas 31 Mac atau 14 hari PKP dijalankan, ini bermakna rantaian tersebut masih belum berjaya diputuskan sepenuhnya. Masih ada yang dijangkiti sepanjang tempoh PKP. Oleh itu langkah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah sangat wajar.

6. Kerajaan sebolehnya tidak mahu meneruskan PKP untuk tempoh yang lebih lama. Ia bukan sahaja menyusahkan ramai pihak, malah ekonomi dan pembangunan negara juga akan terbantut.

7. Walaubagaimanapun, kerajaan juga tidak boleh memandang ringan mengenai pertambahan kes walaupun beberapa hari kebelakangan ini trend dilihat mendatar. Kita tidak mahu menjadi seperti China dan Hong Kong. Selepas dua negara ini melonggarkan 'PKP' mereka, kes baharu naik mendadak.

8. Nampak gayanya, selepas 14 April ini PKP masih akan diteruskan. Cuma kaedahnya mungkin berbeza. Ada sedikit kelonggaran dari sudut aktiviti seharian, namun kawasan merah masih perlu dikawal ketat. Pergerakan antara negeri masih perlu dipantau. Manakala pergerakan ke luar negara masih tidak dibenarkan.

9. Besar kemungkinan aktiviti keramaian masih tidak dibenarkan untuk beberapa bulan akan datang. Hampir semua negeri membatalkan Bazar Ramadhan. Boleh jadi kenduri kahwin malah mungkin rumah terbuka AidilFitri juga tidak dibenarkan.

10. Perlu diingatkan bahawa COVID-19 adalah wabak pandemik. Bermakna walaupun negara kita berjaya memutuskan rantaian sedia ada, namun jika berlaku jangkitan baharu dari luar negara, rantaian baharu akan terbentuk.

11. Statistik kes seluruh dunia amat mengerikan. Pada 22 Januari, terdapat 580 kes. Selepas sebulan iaitu 22 Februari, ia bertambah kepada 78, 651 kes. 22 Mac sudah menjadi 337,459 kes. Hari ini 8 April iaitu selepas kira-kira 2 minggu, sudah terdapat 1,450,086 kes seluruh dunia!

12. Jika dibuat unjuran, mungkin COVID-19 ini boleh mencapai angka sehingga 5 juta kes pada bulan Mei ini. Melainkan jika trend mula menunjukkan keluk mendatar. Namun belum ada tanda ke arah itu lagi.

13. Maka tidak hairanlah jika Arab Saudi mengambil keputusan untuk membatalkan ibadat haji pada tahun ini. Tidak pelik jugalah kenapa kerajaan Malaysia melaksanakan morotarium sehingga 6 bulan lamanya.

14. Sehingga 2021, kita akan mengalami saat-saat yang getir dalam kehidupan. Kesan COVID-19, kemelesetan ekonomi akan dirasai seluruh dunia. Perdagangan antarabangsa yang terjejas, harga minyak global yang turun mendadak dan rantaian bekalan makanan yang berisiko untuk terbengkalai akan menyumbang kepada krisis ekonomi yang paling teruk sejak perang dunia kedua.

15. Harapnya rakyat Malaysia boleh mematuhi PKP dengan baik. Kita sedang berlawan dengan musuh yang tidak nampak. Semua orang terdedah dengan bahaya. Tidak ada kontak atau tidak keluar negara tidak bermakna kita selamat.

16. Semalam KP KKM mengumumkan terdapat 69 kes sporadik, iaitu kes yang tidak diketahui punca. Mereka tidak memiliki kontak dengan pesakit COVID-19 atau sejarah perjalanan ke negara tertentu.

17. Berikan kerjasama sebaik mungkin kepada para frontliners kita untuk memerangi wabak ini. Semakin awal kita dapat mengekang penyakit ini, semakin cepatlah kita dapat menjalani kehidupan secara normal.

*data dipungut daripada worldometer.info sehingga jam 9.00 malam waktu tempatan.



⚪Telegram:
telegram.me/AlangIbnShukrimun
šŸ”µFacebook:
fb.com/AlangShukrimun
šŸ”“Instagram:
instagram.com/alangibnshukrimun
⚫Twitter:
twitter.com/alangshukrimun

#AiS

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo