NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Breaking News: Kapal Pemusnah China Bertembung Armada Amerika Di Laut Kita, Menteri Beri Amaran Keras


Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Terkini kita dikejutkan dengan pertembungan antara kapal pemusnah China dengan angkatan armada laut Amerika Syarikat pada skala luar biasa di perairan kita hingga memaksa Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran keras serta menegaskan hak Malaysia di bawah Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.

2. Pencerobohan kali ini adalah cukup luar biasa oleh China di perairan kita – bukan sahaja mereka menghantar kapal hidrografi dan kapal peronda pengawal pantai, tetapi juga Kapal Pemusnah Type 052B iaitu Wuhan (169) seperti mana laporan New York Times.

3. Dengan segera, Amerika Syarikat telah mengerahkan angkatan armada mereka iaitu Kapal Penyerang Amfibia (LHA), USS America, kapal ‘guided-missile cruiser’ USS Bunker Hill (CG52) dan ‘guided-missile destroyer’ USS Barry-DDG 52.

4. Segalanya bermula pada 17 April 2020 apabila kapal Hidrografi milik China iaitu Haiyang Dizhi 8 dilaporkan mula mengganggu aktiviti penggalian minyak dan gas oleh kapal Eksplorasi dan Penggalian West Capella yang disewa Petronas. Ia turut dirapati oleh sekitar sepuluh kapal peronda Pengawal Pantai China (CCG) 5901.

5. Pada 20 April pula, portal Malaysia Defence Review melaporkan bahawa Kapal Penyerang Amfibia (LHA) milik Tentera Laut Amerika Syarikat (USN), USS America berada dalam kedudukan 100 batu nautika dengan kelajuan penuh dari Kapal Ekplorasi dan Pengalian milik Petronas, West Capella.

6. Kapal USS America sebelum itu berada di Laut China Timur untuk menjalani latihan bersama pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JMSDF) dan kemudiannya ulang bekal di Filipina.

7. Laman Armada Pasifik Ketujuh, Amerika Syarikat mengesahkan bahawa operasi ‘Expeditionary Strike Group’ ini dikepalai Kapal Penyerang Amfibia USS America (LHA 6), diiringi kapal ‘guided-missile cruiser’ USS Bunker Hill (CG52) dan ‘guided-missile destroyer’ USS Barry-DDG 52.

8. Portal Malaysia Defence Review melaporkan bahawa Kapal Frigat Australia, Kelas Anzac, HMAS Parramatta turut berada di Laut China Selatan. Portal Malaysia Military Power (MMP) pula melaporkan bahawa aset TLDM dan APMM juga berada dekat dengan West Capella dan turut memantau persekitaran EEZ kita.

9. Hakikatnya, kapal West Capella sudah pun berada di medan minyak baharu itu sejak bulan Oktober tahun lalu, namun kini ternyata ia adanya peningkatan aktiviti oleh China dengan kemasukan kapal peninjau dasar laut Haiyang Dizhi 8 diiringo lebih 10 buah kapal militia dan pengawal pantai.

10. Untuk rekod, kapal China yang sama juga melakukan aktiviti provokatif di perairan Vietnam sebelum itu apabila Vietnam menuduh China sengaja menenggelamkan kapal mereka hingga mengakibatkan lapan warga mereka maut – sekali gus mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.

11. Rejim komunis itu tetap tidak mengendurkan lagak unilateral mereka. Sejak Disember 2019 lagi, rejim itu membantah tindakan Malaysia menghantar tuntutan persempadanan pentas benua di Utara Laut China Selatan ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

12. Tindakan Malaysia menghantar tuntutan itu yang kedua selepas kali pertama melakukannya untuk bahagian Selatan di Laut China Selatan pada 2009 bersama-sama Vietnam jelas selari dengan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) yang menyatakan bahawa mana-mana negara berhak menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sejauh 200 batu nautika dari garis pantainya.

13. Kemuncaknya pada 21 April 2020, China bertindak memberikan nama kepada 80 pulau dan ciri geografi lain di Laut China Selatan, yang segera menimbulkan kemarahan negara-negara jiran.

14. Pengumuman ini dibuat sehari selepas China menubuhkan daerah pentadbiran baharu untuk rangkaian pulau Spratly dan Paracel yang menjadi pertikaian. Notis itu menyenaraikan nama dan koordinat terhadap 80 pulau, terumbu, dasar laut, beting dan rabung, di mana 55 daripadanya berada di dalam laut.

15. Felo Bersekutu Badan Pemikir Britain, Chatham House, Bill Hayton berkata: "Tidak ada negara yang boleh menuntut kedaulatan ke atas ciri di bawah laut melainkan ia berada dalam jarak 12 batu nautika dari daratan. Oleh itu, adakah China tidak mengetahui hal ini atau sengaja cuba membatalkan undang-undang antarabangsa? China meratifikasi Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) yang sangat jelas mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dituntut oleh negara sebagai wilayah. Namun China nampaknya menentang UNCLOS dengan menegaskan kedaulatan di tempat yang sangat jauh”.

16. Ternyata, dalam keadaan China meratifikasi Konvensyen PBB sekali pun, mereka masih bertindak unilateral melalui kekuatan ketenteraan. Maka tidak hairanlah jika Amerika menggunakan alasan sedemikian untuk hadir ke perairan kita.

17. Maka kenyataan akhbar Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang baru diedarkan hari ini amat kritikal. Memetik antara kenyataan bertarikh 23 April 2020 berkenaan di South China Sea Outpost: “Malaysia menegaskan komitmen untuk mempertahankan kepentingan dan haknya di Laut China Selatan. Malaysia berpandangan bahawa Laut China Selatan perlu kekal sebagai laut yang aman bagi laluan perdagangan. Maka, segala perkara yang berkait dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuklah Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS) 1982”.

18. Datuk Seri Hishammuddin juga mengingatkan: “sebagai bekas Menteri Pertahanan, saya benar-benar mengambil maklum dan sedar dengan situasi semasa. Kita mesti menghindari insiden kemalangan yang tidak disengajakan di perairan ini. Meski pun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal-kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan yang boleh mengakibatkan kesilapan perkiraan serta memberi kesan kepada keamanan, keselamatan, dan kestabilan di rantau ini”.

19. Datuk Seri Hishammuddin menutup kenyataan akhbar beliau seperti berikut: “Pendirian kami adalah bahawa sebarang pertikaian seharusnya diselesaikan dengan cara muhibah melalui kaedah yang aman, diplomasi, dan kepercayaan bersama antara kesemua pihak yang terlibat. Hanya kerana kami tidak membuat sebarang kenyataan umum mengenai isu ini tidaklah bermakna kami tidak mengusahakan segala langkah di atas, kami telah mengusahakan komunikasi terbuka dan berterusan dengan semua pihak yang terlibat, termasuklah Republik Rakyat China dan Amerika Syarikat”.

**Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo