NOTIS:
Umat Islam di India Sedang Diganyang, Dizalimi dan Ditindas.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru sahaja menyelesaikan lawatan rasminya ke India. Ketika di India, Donald Trump memuji Perdana Menteri India Narendra Modi dan partinya Bharatiya Janata Party ( BJP ) kerana usaha mereka dalam melindungi kebebasan agama dan merapatkan jurang antara kaum di India. Namun disebalik semua itu ketika lawatan Donald Trump, penyokong – penyokong tegar BJP dan ektrimis Hindu telah mengganas di sekitar New Delhi dengan mensasarkan umat Islam sebagai mangsa mereka.
Ektrimis Hindu telah merempuh masuk penempatan yang majoriti penduduknya beragama Islam di bahagian timur laut New Delhi. Mereka menyerang umat Islam, membakar kediaman, premis perniagaan dan juga masjid - masjid. Serangan – serangan tersebut sememangnya disasarkan terhadap umat Islam dan juga apa yang dikaitkan dengan Islam yang sinonim dengan laungan aktivis parti BJP dan kumpulan – kumpulan ekstrimis Hindu yang menyokongnya dengan mensasarkan Islam dan umatnya di India.
Terkini akibat daripada insiden keganasan tersebut, angka kematian sudah mencecah 38 orang dalam apa yang dilaporkan sebagai insiden keganasan yang paling buruk dalam sejarah New Delhi dalam beberapa dekad ini. Ratusan mangsa dilaporkan cedera dalam keganasan ini termasuk seorang wartawan yang dilaporkan ditembak dan sedang dalam keadaan kritikal. Telah tersebar di media sosial dan portal – portal berita gambar – gambar dan video berkaitan keganasan tersebut yang sangat menyayat hati terutamanya umat Islam yang terkorban.
Terdapat insiden dimana sebuah masjid dibakar di Ashok Nagar, timur laut New Delhi. Ketika itu terdapat ramai umat Islam sedang beribadat. Ektrimis Hindu merempuh masuk masjid, memukul dan menyerang jemaah masjid tersebut dengan menggunakan senjata sehingga menyebabkan orang ramai lari meninggalkan masjid. Di luar masjid, ektrimis – ekstrimis tersebut mengacukan senjata kepada jemaah masjid yang sedang lari keluar dari masjid. Akibat daripada insiden tersebut, imam masjid dilaporkan cedera parah manakala bilal masjid tersebut telah terkorban.
Setelah dibakar masjid, 3 orang dari kalangan ekstrimis tersebut memanjat menara masjid dan menggantung bendera Hanuman di kemuncak menara masjid. Baki ektrimis berarak mengelilingi masjid tersebut sambil berteriak “ Jai Sri Ram “ dan “ Hinduon ka Hindustan “. Kekejaman ini mendapat kecaman dari seluruh dunia yang menyifatkan ia satu kejadian yang cukup memalukan India disaat lawatan Donald Trump. Narendra Modi turut dikecam kerana lambat bertindak walaupun mengetahui sikapnya terhadap umat Islam India sama seperti sikap regim Islam terhadap rakyat Palestin.
Citizenship ( Amendment ) Act 2019 Pencetus Kekacauan di India.
11 Disember 2019, Parlimen India meluluskan undang – undang kontroversi iaitu Citizenship ( Amendment ) Act 2019. Undang – undang tersebut mendapat tentangan hebat di segenap pelusuk India terutamanya dikalangan umat Islam. Dikalangan umat Islam di India, undang – undang tersebut adalah satu bentuk diskriminasi agama terhadap umat Islam dan bertentangan dengan perlembagaan India. Semenjak undang – undang tersebut diluluskan, umat Islam di India bangkit menyuarakan kebimbangan dan menuntut Kerajaan India menarik kembali undang – undang tersebut.
Undang – undang tersebut membolehkan pendatang tanpa izin kalangan kaum minoriti dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan yang beragama Sikh, Buddha, Jain, Parsi dan Kristian yang meninggalkan negara mereka sebelum Disember 2014 memohon kerakyatan India. Undang – undang tersebut pula tidak membenarkan umat Islam dari negara – negara tersebut memohon kerakyatan India. Sejak diluluskan, ianya menjadi perdebatan hangat dikalangan ahli politik dan pengamal undang – undang India dengan ramai yang beranggapan ia adalah satu bentuk diskriminasi terhadap umat Islam.
BJP semasa pilihanraya dahulu sememangnya telah berjanji akan melaksanakan undang – undang tersebut jika berjaya menjadi kerajaan. Kempen – kempen pilihanraya BJP dengan jelas menunjukkan sikap parti tersebut yang anti Islam demi untuk mendapatkan sokongan majoriti penganut agama Hindu di India. Setelah memenangi pilihanraya umum pada 2019 dengan majoriti yang lebih besar dan parti Kongres pimpinan Sonia Gandhi telah mula kehilangan kuasa politik di India, ramai dikalangan rakyat India terutamanya umat Islam mula khuatir dengan BJP dan sikap ekstrim penyokong mereka.
Setelah undang – undang tersebut diluluskan, sentiment anti Islam mula kelihatan dikalangan majoriti bangsa Hindu di India terutamanya dikalangan ahli dan penyokong kuat BJP. Ahli – ahli politik dari BJP kelihatan mula membakar sentiment anti Islam dikalangan rakyat India. Namun tidak semua bangsa Hindu yang terpengaruh dengan BJP malah ramai dari kalangan bangsa Hindu yang membantah undang – undang tersebut bersama – sama dengan umat Islam dengan mengadakan demonstrasi di seluruh pelusuk India.
Protes dan demonstrasi mula kelihatan di seluruh India. Malah sebelum undang – undang tersebut diluluskan, sudah bermula protes seawal 4 Disember 2019 di Assam, New Delhi, Meghalaya, Arunachal, Pradesh dan Tripura. Dalam masa beberapa hari saja selepas bermulanya protes dan demonstrasi paling awal, ianya telah merebak ke seluruh India sehingga mendapat sokongan yang meluas untuk menentang undang – undang tersebut. 15 Disember, satu demonstrasi besar – besaran diadakan di Jamia Milla Islamia di New Delhi dan Aligarh Muslim University, Uttar Pradesh.
Protes tersebut telah mencetuskan kekacauan hingga menyebabkan pertembungan diantara aktivis dan pelajar dengan penyokong ekstrimis BJP. Penyokong ektrimis BJP telah membakar harta benda awam dan persendirian termasuk juga stesyen keretapi yang menjadi nadi pengangkutan utama rakyat India. Pelajar – pelajar kedua – dua institusi pendidikan yang menyertai demostrasi tersebut ditangkap dan hampir 200 orang pelajar cedera akibat kekacauan serta keganasan tersebut.
Sehingga akhir tahun 2019, sebanyak 27 kematian dicatatkan akibat daripada protes terhadap undang – undang kontroversi tersebut di seluruh India manakala ribuan aktivis, pelajar dan orang awam ditahan oleh pihak berkuasa India. Di antara peristiwa hitam dikala protes berlangsung di seluruh India, dua remaja berusia 17 tahun telah ditembak dengan peluru hidup di Assam. 17 Disember, pihak berkuasa India telah mengeluarkan arahan melarang perhimpunan atau protes terhadap undang – undang tersebut bagi membendung kekacauan.
Dunia Mengecam Undang – Undang Diskriminasi dan Anti Islam India.
Citizenship ( Amendment ) Act 2019, undang – undang kontroversi anti Islam di India bukan sahaja mendapat bantahan dan kecaman di India, malah undang – undang tersebut juga mendapat bantahan dari segenap pelusuk dunia. Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu ( PBB ) melalui Office of United Nation High Commissioner for Human Right Watch telah mengecam undang – undang tersebut dan telah menyenaraikan undang – undang tersebut sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap umat Islam di India. Malah Human Rights Watch dan juga Amnesty International turut mengutuk tindakan India meluluskan undang – undang tersebut.
Bandar Cambridge yang terletak di Massachusetts, Amerika Syarikat dimana terletaknya dua pusat pengajian tinggi terkemuka di dunia iaitu University Of Harvard dan Massachusetts Institute of Technology ( MIT ) adalah di antara bandar yang telah meluluskan resolusi menentang undang – undang kontroversi tersebut. Majlis Bandaraya Cambridge telah meluluskan satu resolusi sebulat suara menentang undang – undang tersebut dan memohon Parlimen India supaya memansuhkan undang – undang tersebut.
Malah resolusi tersebut turut menyatakan bahawa kerajaan pimpinan Nerandra Modi adalah rasis dan mengamalkan polisi yang menindas kaum minoriti. Majlis Bandaraya Cambridge juga turut menggesa ahli Kongres mereka untuk menyokong undang – undang di Kongres Amerika Syarikat yang mengecam India serta menggesa ditarik balik undang – undang tersebut.
Seattle di Washigton adalah satu lagi bandar di Amerika Syarikat yang meluluskan resolusi mengecam undang – undang kontroversi tersebut. Majlis Bandaraya Seattle, salah satu daripada Majlis Bandaraya yang paling berkuasa dan berpengaruh di Amerika Syarikat adalah bandaraya pertama di Amerika Syarikat yang meluluskan resolusi mengutuk undang – undang tersebut dengan menyatakan ia satu bentuk diskriminasi terhadap orang Islam.
Bangladesh turut mengutuk tindakan India meluluskan undang – undang tersebut dan tindakan dua Menteri Bangladesh membatalkan lawatan ke India telah menyebabkan ketegangan diplomatik dan hubungan dua hala antara Bangladesh dan India. Malaysia tidak terkecuali menyatakan bantahan terhadap undang – undang kontroversi tersebut dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa undang – undang tersebut akan menyebabkan sebilangan besar umat Islam “ stateless “. Kerajaan India berang dengan Malaysia lalu memanggil Duta Malaysia dengan menyatakan bantahan terhadap komen Tun Dr. Mahathir.
BJP Pencetus Ketegangan Di New Delhi.
Kapil Mishra, seorang ahli politik dari BJP adalah dikatakan orang yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan dan keganasan yang sedang melanda New Delhi sekarang yang kelihatan seperti medan perang. Beliau yang kalah dalam pilihanraya baru – baru ini dikatakan sedang mencari sokongan dan pengaruh untuk mendapat tempat semula dikalangan pengundi terutamanya dikalangan majoriti bangsa Hindu supaya dapat bertanding semula dalam piliharaya akan datang.
Sebelum berlaku keganasan dan kekacauan di New Dehli, Kapil Mishra muncul di satu rapat umum mengutuk protes terhadap undang – undang Citizenship ( Amendment ) Act 2019 yang berlaku di sekitar New Delhi. Kapir Mishra seterusnya dalam ucapannya di rapat umum tersebut menyuarakan kemarahannya terhadap protes yang berlaku dan memberi masa tiga hari kepada pihak polis untuk menyuraikannya atau beliau dan penyokongnya akan bertindak sendiri menyuraikannya.
Dalam beberapa jam selepas ucapan Kapil Mishra, kekacauan dan keganasan telah meletus di New Delhi yang dikatakan sebagai salah satu insiden terburuk bandaraya tersebut selama beberapa dekad. Penyokong – penyokong Kapil Mishra dan kumpulan ekstrimis yang menyokong BJP telah mula menyerang orang Islam samada di jalanan, kediaman, premis perniagaan dan masjid – masjid. Ketika keganasan ini berlaku, bukan orang Islam sahaja yang menjadi korban malah bangsa Hindu yang melindungi orang Islam serta menolak undang – undang kontroversi tersebut turut diserang dan terkorban.
Ketika keganasan berlaku, penduduk setempat kebanyakkannya menyatakan bahawa pihak polis tidak berbuat apa – apa untuk menghalang tindakan ganas penyokong Kapil Mishra dan kumpulan ektrimis yang menyokong BJP, malah ada saksi yang mendakwa tembakan peluru hidup yang dilepaskan ke atas orang awam yang diserang kebanyakkannya datang dari arahan pihak polis. Malah menurut laporan pihak hospital, kebanyakkan mangsa yang terkorban adalah akibat terkena tembakan.
Menurut Ashutosh Varshney, Director of The Center for Contemporary South Asia di Brown University, Rhode Island, apa yang berlaku sekarang iaitu keganasan di New Delhi adalah seperti “ Pogrom “ iaitu keganasan terancang terhadap sesuatu agama, bangsa atau etnik, sama seperti apa yang berlalu di Gujarat pada tahun 2002 iaitu keganasan ke atas umat Islam di Gujarat dan New Dehli pada tahun 1984 iaitu keganasan ke atas kaum Sikh di New Delhi.
Keganasan yang berlaku ketika lawatan Donald Trump ke India dan sambutan skala besar yang digubah sempena kedatangan Donald Trump telah mencacatkan rekod Narendra Modi sebagai Perdana Menteri India. Walaupun begitu, Donald Trump tidak sedikit pun menghiraukan keganasan tersebut malah memuji Narendra Modi sebagai bijaksana dalam menangani keganasan yang berlaku. Seperti biasa Donald Trump, pujian hanya akan dihamburkan apabila mana – mana negara atau pemimpinnya mengikut telunjuknya.
Siapa Sebenarnya Pengganas ?
Jika kita lihat apa yang berlaku di dunia sekarang ini, keganasan berlaku di mana – mana sahaja namun sinonimnya apabila dikatakan keganasan maka orang Islam dan umat Islamlah yang paling utama akan dikaitkan dengannya. Dari kutub utara hingga ke kutub selatan, semuanya angkara umat Islam maka lahirlah Islamofobia yang menakutkan orang bukan Islam terhadap umat Islam.
Paling mengecewakan, umat Islam sendiri termakan dengan propanganda karut ini hingga menyebabkan kecamukan fikiran dan pandangan serong terhadap sesama Islam tanpa memahami permasalahan mahupun persoalan sebenar yang berlaku. Apakah umat Islam sudah termakan dengan propaganda karut ini ? Jawapannya ialah benar dan ianya harus diperbetulakan sebelum terlambat.
Afghanistan, Iraq dan Libya, adakah negara dan pemimpinnya sebelum ini menyerang negara bukan Islam dan bertindak ganas terhadap bukan Islam ? Jawapannya tidak. Adakah bangsa Uyghur, Rohingya, umat Islam di Palestin dan juga di India sekarang menyerang orang bukan Islam ? Jawapannya juga tidak. Lihat pada sejarah negara – negara dan bangsa – bangsa tersebut, mereka diserang, ditindas dan dizalimi kerana mereka orang Islam dan bukan atas sebab – sebab lain.
Maka kita tidak harus percaya dan termakan dengan propaganda keji yang menyasarkan umat dan Dunia Islam sebagai pengganas. Islam memulakan perjalanan dengan dakwah, mengajak umat manusia meninggalkan kegelapan dan kedangkalan duniawi untuk mencari redha dan keberkatan Allah SWT semasa hidup di atas muka bumi. Islam bukan agama yang mengajar mahupun mengajak umatnya melakukan keganasan walaupun terhadap bukan Islam.
Sayangnya, disaat umat dan Dunia Islam terhimpit dan bercelaru, badan yang mewakili Dunia Islam seperti OIC diam seribu bahasa, umpama patung tidak bernyawa. Maka disebabkan itu, Dunia Islam kelihatan lemah dan musuh Islam mengambil kesempatan ke atasnya. Sudah sampai masa umat dan Dunia Islam bangkit dari kegelapan dan kelemasan, kuatkan kesatuan dan perpaduan. Jadikan Islam sebagai matlamat untuk kesenangan dunia dan akhirat. Jika dilakukan sedemikian, insyallah Islam akan kembali gemilang di masa hadapan.
***YB Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Burok.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment