NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tinjauan Ekonomi Pasca Covid-19 dan Pelantikan PM8 – Syahir Sulaiman



Pada 3 Mac yang lalu, Bank Negara Malaysia telah membuat keputusan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Menurut Bank Negara, “Pengurangan OPR ini bertujuan untuk menyediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif bagi menyokong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dalam keadaan harga yang stabil. BNM akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi”.


Bank Negara turut mengakui bahawa keseluruhan ekonomi global telah merosot dalam tempoh kebelakangan ini, akibat penularan wabak COVID-19 yang telah mengganggu aktiviti pengeluaran dan aktiviti berkaitan perjalanan, terutamanya di rantau ini.

Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2020, khususnya pada suku pertama, dijangka akan terjejas oleh wabak COVID-19 dalam sektor yang berkaitan pelancongan, perkilangan dan perkhidmatan. Kelemahan dalam sektor pertanian dan komoditi juga dijangka berterusan pada suku pertama 2020.

Selain ‘dasar sokongan monetari’ di pihak Bank Negara, Kerajaan Persekutuan turut mengemukakan ‘dasar sokongan fiskal’ untuk memangkin pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2020.

Pada 27 Februari yang lalu, Tun Dr Mahathir telah membentangkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM20 bilion bagi mengurangkan kesan kelemahan ekonomi akibat wabak Covid-19 dengan pendekatan tiga arah - pertama, untuk memudahkan aliran tunai perniagaan yang terjejas; kedua, untuk membantu individu yang terjejas; dan ketiga, untuk merangsang permintaan bagi perjalanan dan pelancongan.

Secara umumnya pakej rangsangan ini disambut baik oleh pihak industri, perbankan dan rakyat yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19 ini, namun kesannya dijangka dapat dilihat secara beransur-ansur pada separuh kedua 2020, khususnya dalam sektor pelancongan, pengilangan dan eksport-import negara.

Menurut YAB Perdana Menteri, beberapa langkah segera akan diambil mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara.

Dalam suatu kenyataan bertarikh 3 Mac, Kerajaan akan memberikan penekanan terhadap pelaksanaan perbelanjaan secara lebih berhemah dan mengurangkan ketirisan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

Di samping itu, kedudukan hutang dan liabiliti Kerajaan juga diberi perhatian dan setiap projek yang akan dilaksanakan perlu diperhalusi agar tidak membebankan komitmen kewangan dan hutang Kerajaan.

YAB Perdana Menteri juga berpandangan, peruntukan Belanjawan seharusnya dapat mendatangkan pulangan besar kepada pertumbuhan ekonomi rakyat dan negara, manakala keberkesanan program perlu dipertingkatkan supaya setiap wang yang dibelanjakan dapat mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Justeru adalah diharapkan dengan pelaksanaan serentak (parallel implementation) pakej rangsangan fiskal di pihak Kerajaan dan dasar sokongan monetari oleh Bank Negara, segala ketidaktentuan dan ‘kejutan ekonomi’ akibat penularan wabak Covid-19 akan dapat diserap dan ditangani, seterusnya menyokong permintaan isi rumah, pengeluaran domestik dan peluang pekerjaan supaya ekonomi negara terus berdaya tahan dan berdaya saing dalam tempoh mencabar ini.

- Syahir Sulaiman, 7 Mac 2020

Bacaan lanjut:

https://www.pmo.gov.my/2020/03/mesyuarat-mengenai-kedudukan-ekonomi-dan-fiskal-negara-serta-kedudukan-terkini-covid-19/

https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_press&pg=en_press&ac=5007&lang=en

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo