NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mukhriz cabar Muhyiddin jawatan presiden Bersatu

Mukhriz Mahathir akan mencabar Muhyiddin Yassin bagi jawatan presiden Bersatu pada pemilihan parti bulan depan.

Muhyiddin yang juga perdana menteri akan dicabar oleh Mukhriz yang juga timbalan presiden Bersatu dan seorang lagi calon lain.

Jawatan presiden parti itu bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru apabila Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Cheras Mohd Faiz Azlee Sham menawarkan diri bertanding.


Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Albar dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya hari ini.

Nama Mukhriz dicadangkan abangnya, Mokhzani Mathir, dan disokong oleh Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya.

Sementara nama Muhyididn pula dicadangkan oleh Abu Bakar Mohamed dan disokong Tahir Mohd Taat.

Sementara itu, jawatan timbalan presiden pula turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Marzuki; Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan seorang lagi calon Ahmad Akashah Nazri yang merupakan timbalan ketua Pemuda Bersatu Selangor.

Pencalonan Marzuki dicadangkan oleh Mukhriz, dan disokong oleh pengerusi Bersatu sendiri, Dr Mahathir Mohamad.

Pencalonan ditutup jam tiga petang tadi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir Mohamad menang tanpa bertanding jawatan pengerusi parti, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Jaafar Albar.

Sementara itu, Abdul Rashid Ansari dan Abdul Rashid Abdul Rahman yang menyandang jawatan naib presiden pula, akan bersaing dengan 13 lagi calon bagi mempertahankan jawatan mereka.

Calon lain ialah antaranya Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk tugas-tugas khas, Mohd Redzuan Md Yusof; dan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.

Calon lain ialah Sallehudin Amiruddin, Mohd Nizam Md Noh, Erwan Mohd, Mohd Shahni Ismail, Mohd Sabri Mohamad, Sabirin Jaafar, Mohd Rafiq Naizamohideen, Adhif Shan Abdullah, Ranizal Basiran dan Mazlan Bujang.

Jawatan ketua Wanita Bersatu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara penyandangnya Rina Harun, Izza Ismail, Azlina Mehtab Mohd Ishaq dan Zuhuraina Makmur.

Bagi jawatan ketua Pemuda Bersatu (Armada) pula ditandingi tiga calon, iaitu penyandang, bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, timbalan menteri belia dan sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Mohd Muzammil Ismail.

Selain itu, Syed Hamid berkata, saringan akan dilakukan oleh JPP untuk memastikan calon bertanding dipastikan bersih dan berintegriti.

"Kita akan saring berkenaan kes jenayah, kelayakan, muflis, itu kita akan saring," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo