NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kabinet kerajaan baru Muhyidin perlu penyertaan semua kaum


oleh:Muzaffar Syah Mallow

Tahniah diucapkan kepada Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai perdana menteri ke–8 pada Ahad. Pelantikan Muhyiddin menamatkan kemelut politik yang melanda negara kita hampir 1 minggu susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamed sebagai perdana menteri ke–7 serta kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada awal minggu lalu.

Tumpuan kini sudah tentu diberikan mengenai pembentukan Kabinet baru yang bakal mengetuai kementerian di peringkat persekutuan. Dalam usaha membentuk kabinet baru ini, langkah harus diambil bagi memastikan semua menteri benar–benar mewakili semua kaum dan agama yang ada dalam negara kita. Kabinet yang ingin dibentuk tidak boleh hanya terdiri daripada kalangan bangsa tertentu sahaja.


Malaysia merupakan negara yang unik kerana kita memiliki masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama yang dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni buat sekian lama. Walaupun terdapat sedikit perbezaaan antara masyarakat, ia tidak bermakna kita semua tidak dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni sebagai masyarakat dalam sebuah negara.


Semua pihak harus melakukan perubahan minda dan jiwa supaya tidak mementingkan diri atau mementingkan kaum mereka sahaja sekiranya kita ingin kekal hidup aman dan harmoni serta menjadikan masyarakat dan negara yang benar–benar maju serta dihormati masyarakat dunia.

Setiap individu dan kaum adalah unik. Setiap daripada kita tidak diciptakan Tuhan dengan sempurna, semua pihak memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing. Oleh yang demikian, penting supaya kita semua dapat ketepikan sebarang perbezaaan kecil yang ada serta bersatu hati bagi saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bagi membawa kebaikan buat diri kita serta membawa kemajuan pada negara.

Perkara ini juga jelas dinyatakan dalam Islam. Allah berfirman dalam Surah Al–Hujurat: Ayat 13 yang bermaksud “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki–laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa–bangsa dan bersuku–suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa Tuhan ciptakan kita semua supaya kita dapat saling kenal–mengenali antara satu sama lain serta hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni walaupun kita berlainan bahasa, budaya, keturunan serta warna kulit.

Semua kaum di Malaysia memainkan peranan penting dalam memajukan dan memakmurkan negara sejak kemerdekaannya pada 1957. Hakikat ini harus diterima oleh semua pihak. Setiap daripada kita tanpa mengira kaum dan agama akan terus mainkan peranan ke arah kemajuan dan kemakmuran negara, sama ada sumbangan itu secara langsung ataupun secara tidak langsung.

Negara yang mengelar diri mereka sebagai negara maju di dunia ini pun gagal hidup aman damai bersama kaum lain yang ada dalam negara mereka serta kalangan kaum mereka sendiri. Malaysia adalah negara bertuah kerana memiliki pelbagai kaum dan agama.

Dengan wujudnya kepelbagaian kaum ini, ia menjadi faktor penting dalam mengekalkan Malaysia sebagai negara aman dan makmur serta menjadikan Malaysia sebagai negara yang paling aman serta makmur di dunia.
Antara 3 kaum utama yang wujud di Malaysia ialah Melayu, Cina, dan India. Selain itu, Malaysia juga merupakan tanah air kepada 80 kaum etnik, terutamanya di Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak.

Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, ini termasuk juga dengan kaum. Setiap kaum mempunyai kekuatan dan kelemahan mereka sendiri. Oleh itu, penting supaya semua kaum dapat tinggal dalam masyarakat dan negara untuk saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain dan saling bekerjasama bagi kemajuan kaum itu sendiri serta kemajuan negara.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya pembentukan Kabinet baru yang ingin dilakukan kelak dapat mewakili semua kaum yang ada dalam negara.

Sekiranya Kabinet baru tidak mewakili semua kaum, amat sukar untuk kerajaan baru memerintah negara ini dengan baik dan lancar, sekaligus menjadikan kedudukan kerajaan baru kelak tidak stabil dan membuka ruang dan peluang kepada kemunculan kemelut politik baru untuk ambil alih.

***Muzaffar Syah Mallow merupakan pensyarah kanan Fakulti Syariah & Undang–Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo