NOTIS:
Jadilah Kerajaan Terbaik Untuk Rakyat Dan Negara.
Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya kemelut politik yang hampir seminggu berlaku dapat diselesaikan dengan aman dan tenteram. Sekali lagi saya ingin merafak sembah buat DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong kerana dengan kebijaksaan Baginda Tuanku, Malaysia telah dapat mengharungi masa gelap dunia politiknya dengan perlantikan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Saya amat yakin dan optimis dengan kerajaan baharu yang diterajui YAB Perdana Menteri dan barisan kabinet yang bakal dibentuk oleh beliau tidak lama lagi, Malaysia akan dapat mengharungi situasi ekonomi yang sukar saat ini terutamanya ketika merebaknya COVID-19 ke serata dunia yang turut melembapkan pertumbuhan ekonomi dunia termasuk Malaysia.
Harapan saya kali ini agar kerajaan mendengar keluhan rakyat yang dahagakan perubahan dan pembaharuan dalam sistem pentadbiran mahupun politik negara dan belajar dari kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang ditolak oleh majoriti rakyat dalam negara kerana keingkaran dan pengkhianatan mereka dalam melunaskan janji – janji mereka kepada rakyat.
Namun saya juga amat berharap agar kita semua mengambil iktibar dan pengajaran akan kekalahan kita pada PRU14 yang lalu dan tidak mengulangi kesilapan yang sama kerana ia mampu menyebabkan kerajaan yang bakal kita terajui ini gugur kelak. PRU14 yang lalu, selain dari tertipu dengan janji – janji palsu Pakatan Harapan, rakyat sebenarnya menuntut pembaharuan dan perubahan dari segenap sudut.
Dalam masa yang sama, rakyat menuntut agar sebagai pemimpin dan pemerintah kita haruslah berintergriti, bermaruah dan mempunyai sifat amanah yang tinggi dalam menerajui negara dan memimpin rakyat. Maka amanah dan tanggungjawab yang digalas sekarang, seharusnya amat wajar kita buktikan bahawa kita lebih baik dan bertanggungjawab dari Pakatan Harapan.
Oleh itu, janganlah kita hampakan hasrat rakyat dan menimbulkan amarah mereka. Seharusnya Perikatan Nasional mahupun Muafakat Nasional buktikan pada rakyat bahawa kita mampu menjadi kerajaan yang jauh lebih baik dari Pakatan Harapan dan tidak mengulangi kesilapan dimasa lalu.
Maka inilah peluang terbaik buat YAB Perdana Menteri dan barisan kabinetnya kelak untuk buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan ini mampu menjadi kerajaan terbaik untuk masa depan rakyat dan negara.
**YB Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah ADUN Batu Burok.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment