NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Guru dipaksa merangkak dalam kelas: Suatu perbuatan biadap!!!



1. Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) ingin menzahirkan rasa kecewa dan kesal dengan tindakan ibu kepada seorang murid di salah sebuah sekolah di Bagan Datuk,Perak yang memaksa seorang ustazah merangkak di hadapan pelajar dalam sebuah kelas baru-baru ini. Tindakan seperti ini adalah suatu perbuatan biadap dan tidak bertamadun!.

2. Kisah yang menjadi tumpuan netizen selepas rakaman berdurasi dua minit 17 saat itu telah tular di laman sosial Facebook ,dan cukup menghiris hati warga pendidik di Malaysia khususnya bagi guru wanita kerana ia cukup memalukan dan mengaibkan profesionalisme perguruan di Malaysia.

3. Walau apa pun kesalahan guru tersebut dalam soal menghukum pelajar bertujuan untuk mendidik, tidak seharusnya martabat guru dimalukan dan direndahkan sedemikian rupa di hadapan pelajar dan kemudiannya dipaparkan di media sosial bertujuan untuk memalukan. Seolah -olah dendam ini disifatkan sebagai lagak menunjukkan keangkuhan kuasa kerana telah berjaya mengaibkan ustazah ini.

4. Persoalannya,bagaimanakah ibu pelajar ini boleh sewenang-wenangnya masuk ke dalam kelas seolah -olah bertindak sebagai penceroboh dan kemudiannya mengambil tindakan sendiri dengan bertindak serta mengarahkan guru
merangkak mengelilingi meja pelajar ketika sedang berada dalam kelas sewaktu sesi pembelajaran ?.

5. Tidak adakah garis panduan atau SOP bagi membolehkan isu ini diselesaikan secara harmoni melalui campurtangan pihak PIBG atau pentadbir sekolah sebagai orang tengah?Jika begitu apakah jaminan bahawa sesebuah sekolah selepas ini selamat dari gangguan penceroboh atau serangan penjenayah yang berkemungkinan membawa senjata jika seseorang boleh terus meluru masuk ke dalam kelas tanpa meminta kebenaran dari pondok pengawal atau berjumpa pihak pentadbir sekolah jika ada urusan atau mahu berjumpa guru di sekolah ?Kejadian seperti ini sebenarnya cukup membimbangkan warga pendidik di seluruh Malaysia.

7. PENDIDIK menyifatkan permohonan maaf tidak cukup untuk menebus kesilapan ini dan ibu yang terlibat perlu diberi pengajaran setimpal atas apa yang berlaku kerana telah mengaibkan dan memalukan seorang ustazah yang gigih mendidik anak bangsa untuk menjadi insan yang berguna pada hadapan .

8. PENDIDIK mendesak Jabatan Agama Islam Perak menyiasat insiden yang berlaku dan dapat menyelesaikan isu ini secara harmoni melalui khidmat rundingcara antara dua pihak serta melibatkan PIBG dalam merungkai segala kekusutan dan kekeliruan.

9. Walau apa pun situasi ,profession perguruan adalah suatu institusi yang perlu dihormati dan dimartabatkan dalam persada pendidikan negara dan warga pendidik tidak seharusnya diperlakukan secara tidak beradab kerana guru juga adalah insan yang punya maruah dan harga diri.

Salam hormat:
NORMALA BINTI SUDIRMAN
Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK).
1 Mac 2020/6 Rejab 1441H.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo