Oleh: Aslam Wira
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Menumpukan tanaman di kawasan rumah, termasuk perladangan bandar (Urban Farming) antara aktiviti terbaik bagi mematuhi arahan pihak berkuasa agar menangguhkan sebarang program berskala besar.
Isteri Menteri Besar Terengganu, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, beliau kini banyak menghabiskan masa di Pusat Pertanian Bandar di Seri Setia yang diusahakan bersama tukang kebun setelah semua program besar dibatalkan
"Apa yang dilakukan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di pelbagai negara, termasuk di Malaysia.
"Mungkin ini adalah jalan yang Allah lorongkan untuk kita menghabiskan masa bersama anak-anak dan keluarga untuk melakukan aktiviti ini yang tidak dapat dilakukan kerana kesibukan di luar sebelum ini," katanya.
Beliau berkata melalui status yang dimuat turunnya di laman rasmi facebook miliknya, hari ini.
Menurutnya lagi, banyak hasil tanaman yang sepatutnya menjadi rezeki beberapa kumpulan pelawat yang terpaksa dibatalkan menjadi rezeki orang lain dan orang berhampiran sahaja.
"Itulah hakikatnya walaupun berada di depan mata tetapi kalau Allah tetapkan itu bukan rezeki kita, ia tetap bukan milik kita."katanya.
Sementara itu, beliau menyarankan orang ramai untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk sama-sama mencegah wabak COVID-19 daripada terus merebak mengikut kemampuan masing-masing.
"Apa yang dilakukan sekarang adalah langkah pencegahan atau langkah keselamatan untuk kebaikan semua orang.
"Patuh pada arahan pihak berkuasa supaya menghindari program melibatkan kumpulan yang ramai juga tidak bermakna kita takut pada penyakit ini melebih kuasa Allah SWT," tambahnya lagi.
Sumber: https://www.teganukita.net/2020/03/covid19-hindari-program-luar-tumpu.html
No comments
Post a Comment