PADA 2 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya daripada UMNO.
Pada tanggal itu, bermulalah secara rasminya pertembungan terbuka antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar dalam kancah politik negara.
Satu pertembungan yang dinamik dan memakan masa lebih dua dekad. Selama tempoh tersebut, rakyat Malaysia dihidangkan dengan saga politik dua figura itu untuk satu tempoh yang lama.
Menariknya Anwar dihumban ke penjara sebanyak dua kali dan melakukan percubaan politik untuk menjadi Perdana Menteri melalui teori mengambil alih kerajaan pada 16 September dan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) manakala Dr Mahathir pula selepas bersara pada 2003 sentiasa berpolitik dalam UMNO khususnya dalam mencatur dan merencana kejatuhan dua Perdana Menteri yang direstuinya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bahkan Dr Mahathir juga berjaya menjadi Perdana Menteri sekali lagi pada Mei 2018.
Berbanding Abdullah yang berundur daripada jawatan nombor satu itu pada 2009, Najib mengambil pilihan untuk bertempur secara berdepan dengan Dr Mahathir pada PRU14 sehingga tewas, meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan.
Dr Mahathir dan Anwar ialah dua figura politik yang berpengaruh dalam politik negara. Selepas meninggalkan UMNO, masing-masing menubuhkan parti baharu iaitu PKR dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) bagi meneruskan kelangsungan politik masing-masing.
Pertembungan fasa pertama antara Dr Mahathir dengan Anwar adalah pada PRU10 (1999) yang menyaksikan parti Anwar iaitu KeAdilan menyertai pilihan raya dan tewas kepada Barisan Nasional (BN).
Ketika Anwar dibebaskan daripada penjara pada kali pertama, Dr Mahathir masih berada dalam UMNO. Tetapi apabila Abdullah gagal mendapatkan majoriti dua pertiga dalam PRU12 (2008), Mahathir mula mendesak beliau meletak jawatan. Abdullah akhirnya akur dengan Dr Mahathir dan Najib ditunjuk sebagai Perdana Menteri keenam.
Namun Dr Mahathir sentiasa tidak berpuas hati dengan sesiapa sahaja, Najib diminta untuk melepaskan jawatan. Tetapi keengganan beliau menyebabkan Dr Mahathir berpaling kepada Anwar bagi membentuk satu pakatan politik baharu iaitu Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan BN.
Perjanjian
Meskipun begitu, Anwar tetap Anwar. Cita-citanya tetap pada jawatan Perdana Menteri. Walaupun ketika perdamaian politik antara mereka diukir ketika Anwar masih dipenjara, malah perjanjian yang ditetapkan adalah Dr Mahathir mesti menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 jika PH menang dalam PRU14.
Semuanya kelihatan lancar apabila BN berjaya ditewaskan dan Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh. Perjanjiannya adalah Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama dua tahun dan kemudiannya Anwar mengambil alih jawatan tersebut.
Menjelang genapnya dua tahun selepas Mei 2018, bermulalah fasa kedua pertembungan dua figura itu. Para penyokong kedua-dua pihak bergasak tentang isu penetapan tarikh peralihan kuasa.
Akhirnya berlakulah apa yang telah berlaku seminggu lalu. Dr Mahathir meletak jawatan tanpa sempat menyerahkan jawatan kepada Anwar. Peletakan jawatan beliau bukan sahaja mengundang pelbagai spekulasi tetapi turut meranapkan kerajaan PH yang baru berusia 22 bulan.
Ketika kekalutan kemelut itu, tiba-tiba muncul nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menyelamatkan hala tuju negara yang tidak ketentuan ketika itu.
Di sebalik drama seminggu perebutan kuasa yang memualkan rakyat itu, jam 4.30 petang Sabtu, 29 Februari 2020, Istana Negara mengutuskan titah bahawa Muhyiddin diperkenankan untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.
Seluruh negara tersentak dan menerima perkhabaran tersebut dengan tenang dan penuh kesyukuran sebagai satu pengakhiran kepada saga episod perebutan kuasa antara dua figura besar tersebut.
*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
KUALA LUMPUR – Tidak timbul isu Perikatan Nasional (PN) mengajak Barisan Nasional (BN) meninggalkan kerajaan perpaduan kerana ia dibuat seca...
HIJAU.FM...
UMNO telah dijangkiti virus DAP
Zahid demi nyawa sanggup gadai Melayu..
1 MEDIA.TV
Penganalisis Politik Tidak Berada Dalam ‘Padang’ – Ahmad Samsuri Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menepis dakwaan penganalisis politik bahawa kerajaan negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan parlimen bakal berdepan kekalahan.
No comments
Post a Comment