NOTIS:
Sikap tertutup punca golongan liberal gagal faham prinsip Islam
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 9 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Sikap tertutup iaitu tidak ingin melihat realiti yang berlaku di dalam Perlembagaan serta perkembangan masyarakat antara punca golongan liberal cuba menonjolkan Malaysia seolah-olah sebuah negara sekular.
Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof menegaskan, kewujudan Perkara 3 Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan secara jelas menggambarkan Malaysia bukan negara sekular.
"Sepatutnya itu sudah memadai untuk mereka menafikan bahawa Malaysia ini negara sekular. Namun kerana sikap tertutup tidak ingin menerima pandangan berbeza menyebabkan mereka tetap berkeras dengan pandangan itu.
"Bahkan, mereka juga gagal memahami realiti negara kita ini oleh kerana sejarah negara berteraskan kepada pemerintahan Islam sejak dari awal lagi, terbukti melalui batu bersurat Terengganu yang wujud sejak abad ke-14.
"Selain itu juga melalui sistem Kesultanan Empayar Melaka, dan juga Kesultanan Negeri Melayu yang menggambarkan bahawa Islam sudah menjadi asas kepada pemerintahan di dalam negara kita," katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.
Dr Muhammad Fathi berkata, realiti itu seharusnya direnung oleh golongan sekular mahupun liberal, dan mereka perlu menerima hakikat bahawa bumi ini berteraskan kepada prinsip Islam malah elemen Islam itu kekal sehingga hari ini di dalam sistem negara.
"Kita perhatikan sebahagian besar daripada kumpulan ini sebenarnya terpengaruh kepada pemikiran Barat berdasarkan latar belakang pendidikan dan gaya hidup mereka. Kekaguman mereka dengan sistem politik di sana menyebabkan mereka ingin meletakkan acuan Barat itu di dalam sistem negara di Malaysia.
"Tentunya ini tidak sesuai kerana negara kita adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan kita tidak memerlukan acuan Barat di dalam sistem negara kita meskipun kita belajar di sana dari sudut aspek pentadbiran yang boleh mendatangkan manfaat positif," kata beliau.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Fathi berkata, kelompok itu juga gagal untuk memahami prinsip Islam dalam soal pentadbiran kerana terlalu kagum dengan pemikiran Barat.
"Bagaimanapun, kita tidak boleh menjadikan acuan Barat sebagai rujukan utama untuk dijadikan asas pemerintahan. Namun kelompok ini kita perhatikan mereka kagum dengan sistem politik Barat dan ingin menjadikan negara ini seratus peratus mengikut acuan yang ada di sana," katanya lagi.
Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/02/03/1sikap-tertutup-punca-golongan-liberal-gagal-faham-prinsip-islam/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment