NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ribuan ikan mati di sungai Masjid Tanah, penduduk rimas bau busuk


MASJID TANAH: Ribuan ikan ditemui mati dan terapung di sepanjang kira-kira 14 kilometer (km) Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka sehingga menyebabkan penduduk sekitar pekan itu terpaksa menahan bau busuk sejak hampir seminggu yang lalu.

Keadaan itu sekali gus menjejaskan aktiviti seharian penduduk di kawasan berkenaan.

Tinjauan Astro AWANI ke lokasi kejadian mendapati bau yang kurang menyenangkan itu dapat dihidu sehingga jarak 50 meter dari kawasan tebing sungai.

Seorang penduduk, Rostam Abdul Malek, 50 tahun, ketika ditemui di sebuah kedai makan bersebelahan kawasan tercemar turut meluahkan kekecewaannya apabila bau yang kurang enak itu menggugat perniagaan pengusaha warung dan kedai makan di sekitarnya.

Katanya, bau busuk sehingga menimbulkan rasa mual itu dipercayai datangnya dari kolam belaan ikan keli berdekatan.

Menurutnya laporan telah dibuat kepada pihak bertanggungjawab namun tiada tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

“(Hal itu) mendapat rungutan masyarakat di sekitar Masjid Tanah ini terutama kali yang berada di kedai makan berhampiran. Di sungai sungai yang melalui kawasan sini, dari Sri Tanjung hingga ke pekan Masjid Tanah terdapat banyak ikan yang mati.

“Ia perkara yang saya rasa jarang berlaku tapi kali ini memang terlalu teruk sangat dan kita telahpun membuat beberapa individu telah membuat aduan tetapi tiada tindakan dia bil,” keluhnya.

Sementara itu, seorang pembantu klinik, Noraida Salleh, 45 tahun, yang sudah lapan tahun bekerja di klinik berdekatan dengan kawasan tercemar, berkata perkara sedemikian merupakan yang pertama kali berlaku dan turut terkejut dengan kejadian tersebut.

Dia yang awalnya mengetahui isu berkenaan melalui laporan media sosial turut terkesan apabila bau busuk berkenaan terlalu kuat sehingga menganggu pesakit yang datang ke klinik berkenaan.

“(Pencemaran bau) ini mengganggu sebab kita pun (terima kedatangan) pesakit. Persekitaran di sini pun banyak kedai makan jadi kita risau juga tak tahu (hendak buat apa) sebab tak pernah berlaku macam ni. Terperanjat juga... air tu tak pernah yang semacam ni.

“Selalu kita nampak ikan tapi hari ini memang terperanjat tengok ikan pun mati. Kita takut terjadi macam kes sungai di Pasir Gudang,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri, Faizah Abdul Rahman @ Sulaiman ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pihaknya telah mengambil sampel air di sepanjang sungai berkenaan.

Jelasnya, buat masa ini punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ribuan-ikan-mati-di-sungai-masjid-tanah-penduduk-rimas-bau-busuk-231074

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo