NOTIS:
PPSMI: Apa Nie Ching buat selama ini?
oleh: Dr Kamarul Zaman Yusoff
PADA 16 Julai 2019, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, pernah bertanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad: "Apakah pendirian kerajaan terhadap PPSMI, adakah ia akan diperkenalkan semula dan, jika ya, adakah dalam bentuk yang sama atau ada pembaharuan yang akan diperkenalkan?"
Jawapan rasmi Perdana Menteri adalah: "Berkenaan pelaksanaan semula PPSMI, Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mengkaji secara terperinci pelaksanaan semula dasar ini dengan menyediakan sistem baharu yang mengguna pengajaran melalui teknologi maklumat (IT), iaitu pengajaran yang direkod oleh guru yang terbaik yang akan diguna di semua sekolah, supaya kecekapan guru yang terbaik dapat dinikmati semua murid dan penuntut. Dengan cara ini, semua penuntut akan capai hasil yang hampir sama."
Dapat dilihat kepada soalan dan jawapan ini bahawa PPSMI ini adalah kehendak Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sebagai ketua kerajaan kerana soalan ini tidak ditanyakan kepada Menteri Pendidikan tetapi terus kepada Perdana Menteri, dan jawapannya pun diberikan oleh Perdana Menteri sendiri.
Sepatutnya, selepas enam bulan berlalu, Kementerian Pendidikan Malaysia sudah mampu mengeluarkan hasil kajian terperinci pelaksanaan semula PPSMI ini sebaik sahaja Perdana Menteri menyebut semula perkara ini di dalam mesyuaratnya Khamis lalu.
Pengeluaran hasil kajian terperinci pelaksanaan semula PPSMI ini sudah pasti akan memudahkan semua pihak memberi komen yang lebih berinformatif dan yang berasaskan maklumat yang lebih cukup dan lebih tepat di dalam menyokong atau menentangnya.
Bagaimanapun ini tidak berlaku, di mana Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, seperti teraba-raba dan tidak tahu pun kewujudan kajian terperinci pelaksanaan semula PPSMI yang disebut oleh Perdana Menteri sebelumnya.
Sebab itulah Teo Nie Ching di dalam laporan Sin Chew menyebut "saya fikir kita tidak bincangkan pengenalan semula PPSMI" dan "walaupun jika Perdana Menteri berkata demikian, kementerian perlu mengkaji lebih lanjut perkara itu."
Soalnya ialah macam mana Teo Nie Ching boleh menyebut "kementerian perlu mengkaji lebih lanjut perkara itu" sedangkan kajian ini sepatutnya telah siap setelah diumumkan "sedang dibuat" oleh Perdana Menteri pada 16 Julai 2019?
Di mana agaknya hasil kajian terperinci ini? Dan apa Teo Nie Ching buat selama ini?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment