NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pilihan raya sistem perwakilan berkadar untungkan DAP!




Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Jamadilakhir 1441H, Khamis – Tidak mustahil DAP akan menuntut kedudukan perdana menteri, termasuk jawatan strategik lain dalam kerajaan, sekiranya mampu memenangi lebih 60 kerusi Parlimen melalui pelaksanaan sistem perwakilan berkadar (PR).

Merujuk dapatan Majlis Profesor Negara (MPN), Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, DAP pastinya akan berjuang berhabis-habisan untuk segera melaksanakan sistem pilihan raya baharu itu, kerana tahu parti berkenaan mungkin menjadi Kerajaan Pusat selama sepenggal sahaja.

Beliau berkata, sekali pun parti tamak haloba itu ditakdirkan kalah dan kembali menjadi pembangkang, DAP pastinya mahu tewas dengan bergaya dan kononnya bermaruah, dengan memiliki banyak kerusi di Parlimen.

"Ini bermakna jika mereka menjadi pembangkang sekali pun, mereka akan menjadi pembangkang yang paling dominan. Apatah lagi jika mereka terus memegang tampuk kuasa, dengan kerusi yang lebih banyak dan mempunyai dominasi yang lebih kukuh.

"Pastinya mereka akan menuntut pelbagai perkara termasuk jawatan-jawatan strategik dan pengaruh yang lebih kuat dalam merangka dasar-dasar dan polisi-polisi kerajaan, sekali gus menenggelamkan lagi pengaruh parti-parti Melayu yang lemah itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Felo Penyelidik MPN, Dr Muhammad Asri Mohd Ali dilaporkan berkata, pelaksanaan sistem pilihan raya sedia ada iaitu First Past The Post (FPTP) kepada PR akan membolehkan DAP memenangi lebih 60 kerusi Parlimen pada masa akan datang.

Beliau berkata, ia akan membolehkan parti itu menuntut jawatan perdana menteri kerana memiliki blok kerusi terbanyak di Parlimen.

"Dalam kajian saya ini, ada dua parti iaitu DAP dan PAS akan menonjol dalam sistem PR ini. UMNO masih ada tetapi tidak tinggi pencapaiannya.

"Kajian juga mendapati parti harga siling iaitu DAP yang boleh secara maksimum menang 42 kerusi Parlimen selama ini namun menerusi sistem ini melonjak lebih 60 kerusi kerana pengundi mereka ramai di kawasan bandar di Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak," katanya.

Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin berkata, solusi terbaik buat masa ini adalah dengan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum, walaupun beliau yakin langkah itu tidak akan dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berisiko terhadap kedudukan serta partinya.

"Maka, solusi paling praktikal buat masa ini ialah menubuhkan kerajaan bersama PAS, BN, GPS bersama-sama ahli-ahli Parlimen pro-Mahathir. Ini akan mengekang segala perancangan dan pencaturan DAP terutamanya usaha mengubah sistem pilihan raya perwakilan berkadar itu.

"Semua ini terserah pada pemimpin-pemimpin parti politik Melayu kita, sama ada mereka sanggup berjiwa besar demi kepentingan umat atau hanya akan menurut ego masing-masing. Kita hanya mampu menasihati dan mendesak sahaja, tetapi rakyat sedang menilai," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/02/13/pilihan-raya-sistem-perwakilan-berkadar-untungkan-dap/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo