NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelan perdamaian paling buruk abad ini

oleh: Prof Nazari Ismail

PELAN perdamaian antara Palestin dan Israel yang dicadangkan oleh Presiden Trump digelar oleh beberapa pihak sebagai `Perjanjian Paling Penting Di Abad Ini’ (Deal of the Century). Namun ianya seharusnya lebih tepat dilabelkan sebagai 'Pelan Perdamaian Paling Buruk Di Abad Ini'.

Jika diperhatikan pelan ini jelas bertujuan menghalalkan tindakan Israel merampas tanah Palestin dan pada masa yang sama memaksa pihak Palestin menerimanya bulat-bulat. Disamping itu ia adalah satu rancangan yang memberi ganjaran kepada penjenayah dan menghukum pihak yang dizalimi.

Negara Palestin yang dirancangkan oleh Trump adalah tidak lebih daripada kawasan-kawasan kecil yang terpisah (Bantustan) di Wilayah Palestin yang Diduduki (Occupied Palestinian Territories- OPT). Pihak berkuasa Palestin nanti tidak akan mempunyai kawalan sempadan, ruang udara dan sumbernya sendiri dan dengan yang demikian tidak memiliki kedaulatan yang bermakna. Sementara penempatan-penempatan haram Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki, yang sebenarnya tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa, akan diiktiraf oleh pelan ini sebagai sebahagian daripada Israel. Akhir sekali, hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka yang diiktiraf oleh resolusi 194 PBB semenjak 1948 lagi juga akan dimansuhkan oleh pelan ini.

Oleh itu, di bawah pelan damai ini penjajah-penjajah dari negara apartheid Zionis akan diberi ganjaran sementara aspirasi rakyat Palestin untuk menetukan masa depan mereka yang lebih bermakna dan sejahtera di dalam sebuah negara yang berdaulat akan diketepikan.

Apa yang boleh dilihat ialah ini adalah adalah satu usaha sinis untuk membuktikan kepada dunia bahawa pihak Palestin kononnya adalah sentiasa tidak berminat untuk berdamai kerana enggan menerima cadangan di bawah pelan damai ini walaupun hakikat sebenar ialah adalah mustahil bagi pihak Palestin untuk menerimanya kerana terma yang terlampau tidak adil terhadap mereka.

Pada masa yang sama pelan ini merupakan satu galakan kepada pihak Israel untuk terus mencuri dan merampas lagi wilayah Palestin memandangkan pelan damai ini mengabaikan puluhan resolusi PBB mengenai status Tebing Barat, Baitul Maqdis serta kedudukan penempatan haram Israel di OPT.

Apa yang sangat menyedihkan ialah beberapa negara Arab seperti Mesir, Saudi Arabia, Bahrain, Oman dan Emiriah Arab Bersatu yang sangat keberatan untuk mengutuk dan menolak pelan Trump ini. Pemimpin negara-negara ini seolah-olah tidak menghiraukan langsung penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin selama ini serta tidak menghiraukan langsung kehendak dan aspirasi mereka. Sebenarnya pendirian pemimpin mereka langsung tidak mencerminkan sikap rakyat jelata mereka terhadap pelan ini.

Akhir sekali masyarakat antarabangsa juga perlu sedar bahawa rancangan Trump mempunyai implikasi di luar konteks konflik Israel-Palestin. Jika ianya diterima, maka ianya bermakna bahawa masyarakat antarabangsa telah menghalalkan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel. Ini akan menggalakan tindakan sesebuah negara yang mempunyai kekuatan kententeraan untuk merampas wilayah negara lain secara haram. Sudah tentu ini akan menyumbang kepada suasana antarabangsa yang akan menjadi semakin tidak stabil dan tidak aman di masa akan datang.

BDS Malaysia dengan itu memuji tindakan tegas kerajaan Malaysia menolak pelan damai Trump.


* Prof Nazari Ismail ialah mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya. Beliau juga aktif menggerakkan usaha pemulauan dan sekatan (Boycott, Divestment, Sanctions – BDS) menentang kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo