NOTIS:
Pelaksanaan PPSMI Kali Kedua Akan Hancurkan Masa Hadapan Negara.
oleh:Mohammad Fazril Mohd Salleh
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada hasrat YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengembalikan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
ABIM kesal cadangan seperti ini masih dikemukakan meskipun banyak kajian dan petunjuk akademik secara terang menunjukkan kegagalan dasar tersebut yang telah memangsakan ramai pelajar.
Ini jelas ditunjukkan pada data pencapaian UPSR 2008 yang telah memangsakan 170,000 murid yang gagal kedua-dua mata pelajaran Sains dan Matematik.
Bahkan peratusan murid ke bidang Sains semakin menurun secara konsisten sehingga ke hari ini. Generasi PPSMI yang menceburi bidang sains menurun daripada 29.35% pada 2012, menurun kepada 28.90% pada 2013, turun lagi kepada 28.69% pada 2014, dan terus menurun kepada 23.15% dan 23.19% pada 2016 dan 2017.
Jika kegagalan bertutur dalam Bahasa Inggeris dijadikan hujah pada graduan masa kini, harus diingat masih ada kohort pelajar yang mengikuti PPSMI sehingga hari ini iaitu untuk pelajar tingkatan 3 hingga tingkatan 5 pada tahun ini. Ini disebabkan PPSMI yang telah dimansuhkan pada tahun 2012 adalah bersifat secara "soft landing" oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini adalah Presiden Parti Peribumi Bersatu (BERSATU).
Justeru kegagalan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris telah terbukti gagal ketika sistem PPSMI dilaksanakan dan kesannya dapat dilihat hingga hari ini.
Yang menjadi korban adalah para pelajar sendiri yang dipaksa mengikuti kaedah pembelajaran ini selama lebih dua dekad tersebut. Ini adalah satu lagi petunjuk kukuh kegagalan PPSMI selama ini.
ABIM menggesa pelaksanaan semula PPSMI ini dibincangkan terlebih dahulu dalam platform Majlis Presiden Pakatan Harapan disebabkan hal ini melibatkan penggubalan dan pelaksanaan dasar yang penting.
Apatah lagi jawatan Menteri Pendidikan masih lagi dipangku. Harus diingatkan bantahan besar-besaran terhadap PPSMI pada tahun 2008 dan 2009, turut didukung oleh para pemimpin Pakatan Harapan pada ini yang berada di Parti Amanah Negara, Keadilan (PKR), dan DAP.
Kerajaan Pakatan Harapan sewajibnya memberikan perhatian untuk melaksanakan reformasi menyeluruh khususnya yang dijanjikan di dalam manifesto dan bersifat lebih ke hadapan tanpa perlu melaksanakan semula dasar kerajaan lalu yang terbukti gagal, membazir dan sia-sia!
Bahasa Jiwa Bangsa!
Mohammad Fazril Mohd Salleh ialah Setiausaha Agung ABIM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment