NOTIS:
Parti politik Sabah, Sarawak jadi 'King Maker'
Apa-apa sahaja label sama ada sandiwara, drama, kejam, tidak berhemah atau membelakangkan parti dan apa juga andaian dan tohmahan dilontarkan ekoran peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, negara dikejutkan dengan satu lagi episod genting dalam sejarah politik tanah air. Sukar untuk dihadamkan, namun itulah hakikatnya.
Kerjasama terbina daripada kelompok seteru terutama kepada Dr Mahathir dari pelbagai parti yang akhirnya berjaya menumbangkan gergasi politik berkuasa selama 60 tahun. Ia pencapaian menakjubkan hingga ada antara rakyat merasakan tidak dapat diterima akal.
Perjuangan utama waktu itu tidak lain hanya untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN). Kesatuan dan semangat terbina begitu kukuh dan tiada siapa pernah menduga seteru boleh duduk semeja dan berkongsi pentas.
Namun, lain pula terjadi kisahnya setelah apa yang dihajatkan itu menjadi kenyataan. Gabungan parti yang pelbagai itu mula kelihatan membawa haluan dan mengejar “matlamat perjuangan” masing masing sama ada secara nyata atau tidak. Yang ketara, adalah isu berhubung peralihan kuasa seperti mana yang telah dijanjikan. Belum pun sempat sampai ke garisan penentu tempoh peralihan kuasa itu, sudah bermula bibit persengketaan sesama pemimpin PH
Ada yang secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir, manakala ada yang terus mendesak dan mengasak supaya peralihan kuasa disegerakan. Kekalutan dan polemik pendapat menjadikan keadaan semakin tegang sehingga kemuncaknya membawa kepada peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Tempias kepada tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan itu telah mengakibatkan banyak implikasi, termasuk pembabitan Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan kedudukan kerajaan semasa. Maka, bermulalah bab baharu dalam kisah politik negara. Soal menentukan pengganti yang agak kompleks dengan komposisi parti dan bilangan kerusi yang “tidak ke sana mahupun ke sini” dengan bermacam ketidaktentuan. Malah, kenyataan Istana Negara petang tadi juga masih belum dapat merungkaikan kemelut melanda negara. Ini bermaksud, isu ini tidak semudah yang dicaturkan oleh parti politik terbabit mengikut tafsiran masing-masing.
Dalam konteks ini, jika mana-mana parti memerlukan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, gabungan parti dari Semenanjung kelihatan akan banyak menghadapi cabaran untuk memancing ahli. Di sinilah kedudukan Sabah dan Sarawak berupaya untuk menjadi ‘King Maker’ dalam menentukan bilangan kerusi bagi membolehkan kerajaan baharu ditubuhkan.
Jika diambil kira kenyataan mereka sebelum ini, Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang mempunyai sembilan kerusi Parlimen, dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) 18 kerusi hanya menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir. Kenyataan Dr Mahathir pula yang menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri asal saja tidak bersekutu dengan UMNO secara total, menjadikan situasi ini semakin menarik.
Jika sokongan GPS dan WARISAN sudah diperoleh dan ditambah pula dengan keupayaan memancing kerusi-kerusi lain daripada kalangan wakil rakyat atas pagar pada waktu ini, sebarang kemungkinan boleh berlaku.
Sarawak yang bergerak secara bersendirian ketika ini, sudah pasti mendapat banyak kelebihan dalam apa jua percaturan yang dibuat. Pastinya keputusan yang telah diambil untuk menyokong atau sebaliknya, sudah dicongak dan diperhalusi kerana yang paling penting buat Sarawak pada waktu ini ialah memastikan segala kepentingan dan apa yang diperjuangkan untuk Sarawak serta rakyatnya sentiasa diutamakan. Biarpun mungkin pernah bercanggah pendapat, apa yang telah dipilih dan disokong itu sudah pasti dilihat bakal memberikan kelebihan kepada Sarawak.
WARISAN sejak awal lagi sememangnya sudah berjuang dan melalui pahit getir bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Dr Mahathir sendiri. Jadi, tidaklah terlalu menghairankan jika WARISAN menyatakan sokongan kepada calon pilihan BERSATU untuk menjadi Perdana Menteri.
Apapun, sebarang kemungkinan boleh berlaku. Sebagai ‘King Maker’, sudah tentu jika pihak yang berkepentingan dapat meyakinkan sokongan terhadap mana-mana gabungan yang berkeinginan bagi mengukuhkan harapan membentuk kerajaan, WARISAN dan GPS mempunyai kelebihan setakat apa yang berlaku pada waktu ini di Semenanjung.
Penulis adalah Pengerusi Pusat Kepimpinan UNIMAS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment