NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakatan Nasional hanya bahayakan DAP


oleh: Subky Latif

MENTERI Kewangan dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mati sebelum mati dengan berita tidak benar dari kayangan tentang apa yang dikatakan pembentukan kerajaan pintu belakang oleh Pakatan Nasional yang tidak wujud di bumi.

Lalu atas berita kayangan itu, dia meracau boleh dikira menempelak Islam dan Melayu yang sedang dilagang PAS dan Umno menerusi demokrasi yang dibenarkan oleh perlembagaan dan peradaban merdeka Malaysia.

Senggongannya atas khabar kayangan itu boleh mengundang memburukkan lagi muafakat kaum dan politik yang sudah pun huru hara di bawah pentadbiran PH 21 bulan sekarang.

Tempelak DAP atas politik Muafakat Nasional PAS-Umno menjelang PRU15 dan berita palsu kayangan tentang kerajaan pintu belakang adalah ulangan ketakutan parti sentimen Cina tentang apa yang dirongrongnya PAS konon mahu masuk Umno semasa PAS masih dalam Pakatan Rakyat.

Atas percayanya pada berita palsu atau rekaannya sendiri atas berita palsu itu, PAS meninggalkan Pakatan Rakyat. PAS hadapi PRU14 sendirian berjaya menambah kerajaan kepada dua dengan mengulangi menang di Terengganu, kurang beberapa kerusi Parlimen berbanding bersama DAP dalam Pakatan Rakyat.

Pasca PRU14 baru PAS mengubah strategi tidak bertanding tiga penjuru dalam PRU kemudiannya. Baru PAS menjalin ta’awun dengan Umno, tidak masuk Umno tetapi membentuk Muafakat Nasional bagi menumbang kerajaan PH yang tidak pro Islam dan tidak pro Melayu.

Maka Guan Eng mengulang politik takutkan PAS di ambang menerajang PAS dari Pakatan Rakyat dahulu. Gagasan Muafakat Nasional bukan anti Cina tetapi meraikan sama didalamnya Cina tidak sentimen Cina dan India tidak sentimen India dalam BN dahulu.

DAP bukan satu-satunya parti Cina tetapi ramai lagi Cina dan India di luar DAP, yang mengira Malaysia tidak selesa dalam kerajaan sentimen Cina PH sekarang.

PAS tidak terikat dengan politik sentimen Guan Eng dan DAPnya rasa bertanggungjawab mengakhiri kerajaan DAP dalam PRU15, maka selesa pula dengan Umno sekarang. Jika dahulu Guan Eng takut PAS masuk Umno, sekarang dia takut pula brsama Umno.

Politik Muafakat Nasional tidak membahayakan negara dan tidak menggelap masa depan Malaysia. Tetapi ia membahayakan DAP dan kudanya PH serta ia menggelapkan sentimen politik DAP seperti gelapnya politik Lee Kuan Yew di ambang Singapura dikeluarkan dari Malaysia.

Celupar dan tempelak DAP atas politik masa depan PAS bersama Umno itu samalah seperti celuparnya Kuan Yew semasa dalam Malaysia dahulu. Yang ditakutinya ialah tidak dapat jadi Perdana Menteri Malaysia sama seperti Kuan Yew tidak dapat jadi PM Malaysia.

Lalu dia menakutkan bukan Melayu tentang Muafakat Nasional. Tiga wawasan PAS mengagetkan politik barunya menjadi King Maker. Berta’awun dengan Umno yang dimusuhinya 70 tahun.

Menyokong PM Mahathir yang dua kali dibacanya Yasin semasa memimpin Umno dahulu. Menasihatkan Umno menjadi calon BN di Tanjung Piai sedang parti iu ditentangnya sejak 70 tahun lalu.

Politik yang DAP, Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia tidak duga selama ini. Kerajaan pintu belakang, jika ada hanya dikayangan, bukan di bumi. Politik PAS keempat di bumi sekarang ialah menemukan usul kepercayan kepada Mahathir atas baki penggal PMnya sekarang.

Kita tunggu apa DAP dan Anwar kata di Parliman tentang usul PAS itu? Yang bahaya/gelap bukan negara, bahkan DAP dan PH.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo