NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Penyatuan Melayu-Islam – Antara Harapan Dan Cabaran



Ismail Mina bin Hj. Ahmad

1. Sesuatu bangsa dan peradaban harus belajar dari sejarah naik-turun dan pengalaman bangsa-bangsa lain, dan juga dari pengalaman generasi bangsanya sendiri. Ini diperingatkan oleh Allāh di dalam al-Qur'ān al-Karīm Surah Āli ‘Imrān (3): 140,
وَتِلْكَ الْأَيَّام ُنُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ
 - terjemahan: Dan masa [kejayaan dan kehancuran] itu, Kami gilirkan di antara manusia [agar mereka mendapat pelajaran].

2. Lebih 60 tahun, Bangsa Melayu-Islam menikmati kuasa politik memerintah. Namun, selepas itu, mereka mengalami dekadensi politik kekuasaan yang amat parah. Justeru, mereka perlu berani bertindak tegas, mengembalikan politik kekuasaan supaya benar-benar berada pada mereka. Mereka memerlukan suatu overhaul pemikiran dan falsafah politik baharu, dan juga membina political alignment baharu sesuai dengan kehendak-kehendak sebenar Perlembagaan Persekutuan. Mereka wajib menyusun strategi yang menguntungkan Bangsa Melayu-Islam di dalam keadaan demografi yang amat krusial. Perkara ini adalah suatu tuntutan masa atau وَاجِبُ الْوَقْتِ.

3. Untuk mengembalikan politik kekuasaan, pemikir sosial-politik seperti Ibn Khaldūn  berkata, sesuatu bangsa itu memerlukan semangat ‘asabiyyah positif atau esprit de corp. Ia terlalu amat penting dan menjadi tonggak fundamental demi mempertahankan serta melestarikan kekuasaan sesuatu bangsa. Perkara ini dibuktikan oleh Sīrah Nabawiyyah dan sejarah Negara Madīnah.

4. Semangat kekitaan, kesepaduan serta perpaduan bangsa atas cinta dan mahu membela bangsanya adalah tidak dilarang oleh Syarī‘at Islām berdasarkan Ḥadīth riwayat Imām Ibn Mājah nombor 3949 yang terjemahannya berbunyi - Saya [Fasīlah] mendengar ayah saya berkata: saya bertanya Nabī : wahai Rasūlu’llāh, apakah termasuk ‘aṣabiyyah seseorang lelaki mencintai kaum [bangsa]nya? Nabī  menjawab: Tidak, tetapi ‘aṣabiyyah adalah lelaki yang menolong kaum [bangsa]nya di dalam kezaliman. Dan di dalam Perang Ḥunayn, seperti riwayat Imām al-Bukhārī nombor 2864 dan Imām Muslim nombor 1776 berbunyiأَنَا ابْنُ عَبْدِالْمُطَّلِبِ .

5. Tindakan membina dan menjana perpaduan puak dan bangsa telah dilaksanakan oleh Junjungan Sayyidinā Nabī  di antara qabilah atau golongan Aws dan Khazraj, kemudian di antara mereka dengan golongan ‘Arab Makkah yang berpindah ke Madīnah pula. Ini adalah tindakan strategi seorang pemimpin yang peka kepada kelestarian politik kekuasaan negara dalam misi Raḥmatan li’l-‘Ālamīn. Perpaduan bangsa adalah tenaga fundamental politik kekuasan negara, sebab itu Junjungan Nabī  memilih elit bangsanya iaitu Quraysy membantu Baginda  mengurus negara.

6. Suruhan dan penegasan berkaitan perpaduan dan larangan berpecah-belah, amat jelas di dalam Surah Ᾱli ‘Imrān (3): 103 berbunyi: وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا. Para Mufassirūn menafsirkan bahawa ayat ini adalah suruhan berpegang kepada konsep dan epistemologi baku Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah dan larangan berpecah di dalam pemikiran dan doktrin ‘Aqīdah yang justeru akan berpecah pula di dalam fizikal mereka – dalam konteks perbincangan hari ini ialah perpecahan doktrin dan falsafah politik. Allāh  menegur para Ṣaḥābat yang berpecah di dalam menyikapi golongan Munāfiq seperti di dalam Surah al-Nisā’ (4), ayat 88 – terjemahan: Maka mengapa anda [berpecah] menjadi dua golongan dalam menghadapi orang-orang Munāfiq? Maka di dalam mendepani musuh, Allāh  melarang berpecah dan diwajibkan bersatu. Ayat ini menjadi naṣṣ kepada setiap orang Islām supaya mereka bersatu dan tidak berpecah di dalam menghadapi musuh. Dalam konteks bangsa Melayu, mereka tiada pilihan melainkan bersatu dan berpadu demi melestarikan epistemologi حِفْظُ الدِّينِ, حِفْظُ الْمُرُوءَةِ dan حِفْظُ الْوَطَنِ.

7. Orang-orang yang menjadi pemimpin politik kekuasaan, wajib menyedari bahawa mereka mempunyi dwi fungsi di dalam mengurus negara iaitu أُمُورُ الدِّينِ dan أُمُورُ الدُّنْيَا. Ini bermakna mereka wajib menegakkan al-Dīn di dalam wacana حِفْظُ الدِّينِ, dan tidak boleh berpecah di dalam urusan untuk menegakkannya seperti firman Allāh di dalam Surah Syūrā, ayat 13 berbunyi أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ. Di dalam konteks ini, mereka wajib memiliki Integriti, Intelektualiti dan Spiritualiti yang tinggi. Mereka adalah amanah Allāh  yang akan ditanya mengenai amanah tersebut seperti Ḥadīth muttafaqun ‘alayh berbunyi وَكُلُّكُم مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ.

8. Tanggungjawab dan amanah kepimpinan yang memiliki Integriti, Intelektualiti dan Spiritualiti ialah menjana komunikasi politik atau political communication aras tinggi dalam membina budaya politik aras tinggi yang melestarikan kehendak-kehendak Perlembagaan. Di dalam konteks penyatuan Bangsa Melayu berkaitan politik kekuasaan, mereka sudah muak dengan komunikasi politik kain batik atau gula dan tepung. Mereka sedar sekarang ini bahawa komunikasi politik diabolik-dajjālik telah menyebabkan kuasa politik mereka hilang. Justeru, komunikasi politik baharu ialah komunikasi yang menjana al-sa‘ādah al-sarmadiyyah atau kebahagiaan sejati di kalangan Bangsa Melayu-Islām yang berpanjangan yang terasnya ialah semangat ‘aṣabiyyah positif.

9. Untuk menjayakan agenda penting abad ini berkaitan Bangsa Melayu-Islām Malaysia, unsur-unsur cabaran sudah pasti ada. Di antara cabaran utama ialah cabaran memahami konsep dan epistemologi di dalam wacana al-Dīn. Illuminati telah menawarkan racun epistemologi baharu yang menolak Agama Islām sebagai satu-satunya Agama yang tinggi dan hanya diterima Allāh . Mereka gantikan dengan gagasan Liberalisme Agama dan Pluralisme Agama. Pemikiran ini juga menolak bangsa sebagai sesuatu yang signifikan di dalam membina negara dengan gagasan egalitarianisme dan ekualiti.

10. Sebagai kesimpulan, gagasan penyatuan Bangsa Melayu-Islām di dalam bingkai politik kekuasaan akan berjaya jika kimia-kimia positif di dalam diri masing-masing dijana supaya sesuai dengan suruhan ayat al-Qur'ān dan Ḥadīth yang telah disebut terdahulu. Maka di sinilah setiap Bangsa Melayu memerlukan himmah ‘āliyah!

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo