NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ibu, bayi 12 bulan parah dirempuh pemandu mabuk


ALOR SETAR: Seorang wanita dan bayi perempuannya yang berusia 12 bulan parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu individu di bawah pengaruh alkohol di kawasan Persiaran Sultan Abdul Hamid, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa Bashirah Mohd Yazid, 31, dan anaknya, Norhidayah Ahmad Yusof cedera parah manakala suaminya, Ahmad Yusof Che Kar, 42, dan seorang lagi anaknya, Mohamad Taufiq, 10, mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya menerima laporan nahas itu pada 11.45 malam yang membabitkan sebuah kereta, sebuah van dan empat mangsa yang berada di tepi jalan.

"Kejadian berlaku apabila pemandu lelaki berusia 39 tahun yang membawa kereta jenis BMW dari arah Jalan Teratai melanggar sebuah van persiaran jenis Toyota yang dipandu lelaki berusia 58 tahun yang datang dari arah Persiaran Sultan Abdul Hamid.

"Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar empat sekeluarga yang berada berhampiran lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rozi berkata kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk rawatan manakala pemandu kereta berkenaan pula dirawat di sebuah hospital swasta.

"Hasil ujian alkohol yang dijalankan mengesahkan pemandu kereta terbabit memandu di bawah pengaruh alkohol, namun siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo